5.30 pagi: Reuters - Agensi polis antarabangsa, Interpol, semalam menolak tanggapan Malaysia bahawa pangkalan datanya untuk menyemak pasport adalah terlalu rumit.
Interpol berkata walaupun beberapa negara lain menggunakan pangkalan data itu berjuta kali setiap tahun, tetapi Jabatan Imigresen Malaysia tidak memeriksa pasport penumpang pesawat dengan pangkalan data agensi itu sepanjang tahun ini sebelum kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac.
Kenyataan agensi itu dibuat ekoran komen Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi di Parlimen Rabu lalu bahawa bebanan pangkalan data Interpol memperlahan pemeriksaan imigresen.
Zahid berkata pangkalan data Interpol yang mengandungi data kehilangan 40.2 juta pasport adalah "terlalu besar" dan akan menjejaskan sistem pengurusan pangkalan data Malaysia.
Akhbar Malay Mail Online memetik Zahid sebagai berkata tambahan pula, maklumat Interpol mengenai pasport yang hilang, boleh melambatkan proses pemeriksaan imigresen di kaunter.
Interpol, yang berpangkalan di Lyon, Perancis berkata, ia hanya mengambil masa 0.2 saat untuk pangkalan datanya mendedahkan kepada pihak berkuasa sama ada pasport disenaraikan sebagai dicuri. Tidak ada negara lain yang pernah mengadu proses itu terlalu perlahan, katanya.
"Keputusan Malaysia tidak merujuk kepada pangkalan data Dokumen Perjalanan Hilang (SLTD) Interpol sebelum membenarkan pelancong memasuki negara atau menaiki pesawat, tidak boleh dipertahankan dengan menyalahkan teknologi atau Interpol.
Jika ada sebarang tanggungjawab atau untuk dipersalahkan atas kegagalan ini, ianya adalah Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.
Dua penumpang yang menggunakan pasport Austria dan Itali yang dicuri dapat menaiki pesawat tersebut yang hilang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac. - mkini
No comments:
Post a Comment