SEREMBAN: Mesyuarat Agung Tahunan Umno Cawangan Pantai dan Pantai Setia, di sini, membuat
satu kejutan apabila sebulat suara meluluskan usul tergempar
membabitkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan,
Dato’ Seri Mohamad Hasan, yang didakwa menyalahgunakan kuasa.
Ketua Umno Cawangan Pantai, Dato’ Ishak Ismail mendakwa Mohamad telah
melakukan perbuatan sedemikian dalam urusan pemilihan Pengerusi dan
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung
Batu 7, Batu 8 dan Batu 9, Pantai, di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Ishak
yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng berkata,
jelas sekali, keputusan tersebut dibuat tanpa merujuk dan mempedulikan
segala cadangan dikemukakan oleh pihak Umno Cawangan Pantai dan Pantai
Setia.
“Beliau (Mohamad) selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri
langsung tidak mahu mendengar dan mengambil kira suara ahli Umno yang
lain.
Maka, tiada gunanya kita bertuankan orang seperti ini lagi,” katanya kepada pemberita di Dewan Masyarakat Pantai, dekat sini.
Susulan itu, beliau berkata, Mesyuarat Agung Tahunan Umno berkenaan
turut membahas dan meluluskan usul bagi menolak perlantikan jawatan
Pengerusi dan Setiausaha JKKK yang telah dibuat oleh kerajaan negeri,
baru-baru ini.
“Kita menolak pelantikan terbabit berikutan mendapati individu yang
dipilih tidak memenuhi kriteria ditetapkan seperti mempunyai rekod
jenayah, bukan ahli Umno tempatan, tidak menetap dalam kawasan jagaan
dan membantu pembangkang berkempen semasa Pilihan Raya Umum ke-13 tahun
lalu.
“Justeru, kita akan bawa perkara ini ke Mahkamah Sesyen Seremban. Kita
mahu mahkamah membatalkan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan
negeri dalam pelantikan jawatan JKKK terbabit,” katanya yang bersedia
menerima sebarang risiko, termasuk kehilangan jawatan dimiliki sekarang.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abdul Rahman pula
bertanya jika Mohamad tidak berlaku adil pada ahli Umno sendiri
bagaimana pula ingin berlaku adil pada rakyat biasa?
“Jika benar dakwaan Ishak berhubung perlantikan Pengerusi dan Setiausaha
JKKK itu, maka ini menunjukkan Mohamad tidak berlaku adil dan tidak
menghormati ahli Umno sendiri. Bagaimana pula beliau hendak berlaku adil
dan menghormati pada rakyat biasa?
“Malah jika dakwaan ini benar, ini juga menunjukkan kepincangan pentadbiran Mohamad yang mengamalkan kronisme.
Sepatutnya Mohamad perlu dengar suara akar umbi dan memilih Pengerusi
dan Setiausaha JKKK berdasarkan merit atau menepati kriteria tertentu
seperti yang dinyatakan oleh Ishak.
“Secara logiknya mestilah melantik orang yang menetap di dalam kawasan
jagaan seperti kata Ishak,” ujar MK Ibrahim yang juga merupakan Yang
Dipertua PAS Seremban.
-Harakah
No comments:
Post a Comment