Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menelefon Perdana Menteri Datuk
Seri Mohd Najib Razak hari ini mengesahkan penemuan dua objek di kawasan
pencarian, kemungkinan serpihan milik penerbangan MH370 yang hilang,
kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Pemangku menteri pengangkutan itu mengesahkan perkara itu pada sidang
media hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari
ini."Hari ini, Perdana Menteri Australia telah menghubungi Perdana
Menteri memberitahu mengenai penemuan dua objek di kawasan pencarian.
"Dua objek tersebut berbentuk bulat dan segi empat," kata
Hishammuddin.Hishammuddin berkata kemungkinan Kapal Tentera Laut Diraja
Australia, HMAS Success yang terlibat dalam misi pencarian dan
menyelamat akan tiba di lokasi objek tersebut ditemui hari ini atau
esok.
"HMAS Success ketika ini berada di kawasan tersebut dan kemungkinan
objek tersebut dapat diambil dalam tempoh beberapa jam atau mungkin
seawal pagi esok," katanya.
Dua objek tersebut menurut Hishammuddin dikesan menerusi radar milik HMAS Success yang berada di kawasan pencarian tersebut.
Ketika ini, enam kapal dan tiga helikopter milik Malaysia dikerahkan ke
kawasan pencarian bahagian utara di sebelah koridor selatan Perth.
Pihak berkuasa Malaysia meminta Canberra mengambil tanggungjawab mencari
di "Koridor Selatan" dalam usaha mencari Boeing 777 yang hilang pada
pagi 8 Mac semasa perjalanan ke Beijing, China dengan 239 penumpang itu.
Satelit Australia sebelum ini mendedahkan penemuan dua imej satelit yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air.
Kerajaan Malaysia percaya, pesawat itu secara sengaja ditukar hala
tujunya dan terbang beberapa jam selepas keluar daripada laluan asalnya –
sama ada ke utara Asia Tengah atau ke selatan di Lautan Hindi.
Lautan Hindi yang ketiga terbesar di dunia mempunyai kedalaman purata lebih daripada 12,000 kaki atau dua batu (3.6 kilometer).
Ia lebih dalam daripada Laut Atlantik di mana masa dua tahun diambil
untuk mencari bangkai pesawat Air France di dasar laut yang hilang pada
2009 walaupun serpihan terapung dapat dilihat dengan cepat di lokasi
kemalangan.
Setakat ini, operasi mencari oleh tentera laut dan pesawat yang
melibatkan lebih 10 negara gagal mencari MH370 yang hilang sejak 8 Mac
lalu selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing dan mengalihkan
laluan penerbangan dari laluan asal.
Selepas mendapat maklumat tersebut, Hishammuddin memberitahu empat
pesawat telah dikerahkan ke barat daya Perth yang berkeluasan 2,500
kilometer. ~tmi
No comments:
Post a Comment