Akhirnya
Tun Dr Mahathir Mohamed mengaku beliau berada di tanah air ketika
kejadian Memali yang mengorban 18 rakyat pada 19 November 1985.
Namun, beliau berkata dia tidak ingat Tun Musa Hitam, Timbalan Perdana
Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu, datang
memujuknya agar tidak pergi ke Beijing.
"Saya tidak ingat yang Tun Musa datang berjumpa saya untuk tidak pergi
ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai
orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke China.
“Waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya
tidak pergi luar negara," kata Dr Mahathir dalam blognya hari ini.
Dr Mahathir juga cuba meletakkan kesalahan ini kepada Musa dengan berkata, "Tun Musa akui beliau bertanggungjawab”.
"Dalam sistem kabinet yang kita amalkan semua anggota kabinet, terutama
Perdana Menteri bertanggungjawab," kata Dr Mahathir dalam blognya.
Baru-baru ini, Musa mendedahkan di Kota Baru, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika peristiwa Memali berlaku.
Selepas itu, Musa juga membuat kenyataan bertulis mempertahankan
kenyataan itu dengan berkata, dia bersama Pemangku Ketua Polis Negara
ketika itu memberi taklimat kepada Dr Mahathir pada hari kejadian.
Musa menegaskan dalam kenyataan itu, dia bukan pemangku perdana menteri ketika itu kerana Dr Mahathir masih berada dalam negara.
Ia bertentangan sekali dengan catatan sejarah yang dibuat pelbagai pihak
termasuk ensiklopedia bebas, Wikipedia, yang merekodkan Dr Mahathir
berada di China ketika kejadian itu berlaku.
Dalam hal ini, Dr Mahathir dalam tulisannya hari ini berkata, beliau
tidak pernah menyatakan beliau tidak berada di Kuala Lumpur ketika itu.
"Soal peristiwa saya kononnya tidak ada dalam negeri semasa peristiwa
berlaku bukan disebar oleh saya. Dalam buku saya pun saya tidak sebut
perkara ini," kata Dr Mahathir.
Pakar propaganda Umno dan bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia yang
juga bekas Menteri Penerangan Datuk Zainudin Maidin bertegas bahawa Dr
Mahathir berada di China selepas kenyataan Musa bahawa Dr Mahathir
berada di Kuala Lumpur ketika itu.
Namun Zainudin menegaskan, ia berdasarkan ingatan beliau.
Dr Mahathir mengaku, pada 20 November 1985, sehari selepas kejadian
Memali, beliau mengepalai satu rombongan swasta yang amat besar ke China
dan Musa antara yang berada di lapangan terbang.
Dr Mahathir berkata, beliau begitu yakin yang Musa dapat menangani
keadaan "sehingga saya melantik beliau sebagai Pemangku Perdana
Menteri", iaitu selepas kejadian itu.
Yang diketahui umum, kata Dr Mahathir, Datuk Musa Hitam ialah Menteri
Dalam Negeri, di samping memikul jawatan Timbalan Perdana Menteri pada
masa itu.
"Sebagai Menteri Dalam Negeri, rundingan dan laporan oleh Ketua Polis
Negara dibuat kepadanya. Menteri Dalam Negeri juga terlibat dalam
memutuskan tindakan yang diambil. Jika hanya apabila semua berjalan
dengan baik pengakuan bertanggungjawab dibuat, tentulah ini kurang
manis," tulis Dr Mahathir.
Dr Mahathir juga berkata, harus diingat bahawa anggota polis dibunuh sebelum polis menembak balas.
"Amat malang sekali sementara kematian Ibrahim dan pengikutnya diingati,
bahkan dilaung sebagai syahid, kematian anggota polis yang menjaga
keselamatan kita dilupakan," tulis beliau.
"Ya. Sepatutnya insiden ini tidak berlaku. Tetapi sanggupkah kita
membiar sehingga sesuatu itu sudah melarat baru kita ambil tindakan.
“Lihatlah keadaan yang sedang berlaku di beberapa negara sekarang ini
kerana polis tidak dibenar bertindak secara berkesan," tulis Dr
Mahathir.
Peristiwa Memali berlaku apabila polis cuba menahan Ibrahim Libya di
bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan
ajaran sesat.
Ibrahim pula tidak mahu menyerah diri kalau ditahan di bawah ISA.
Akibatnya polis merempuh perumahan Ibrahim dan pengikutnya dengan kereta
perisai dan mengakibatkan 14 penduduk kampung dan empat anggota polis
terbunuh.
Musa dipersalahkan atas peristiwa itu dan Dr Mahathir selaku perdana menteri terlepas kerana dia diberitakan berada di China.
Pendedahan Musa memberikan satu episod baru dalam peristiwa hitam ini.
PAS menyifatkan semua yang terbunuh sebagai mati syahid manakala Sultan
Kedah Tuanku Abdul Halim menziarahi kubur Ibrahim dan pengikutnya serta
menyiramkan air mawar di atas pusara mereka.
Ekoran pendedahan Musa, PAS dan DAP mencadangkan Suruhanjaya Diraja
dibentuk bagi menyiasat semula kejadian ini. – 10 April, 2014.
No comments:
Post a Comment