GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Umno agar memecat 12 anggota parti itu yang bertindak samseng menceroboh Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang kelmarin.
Ini kerana, setelah dibebaskan dengan ikat jamin oleh seorang bertaraf VIP, 12 samseng Umno itu semalam tanpa rasa bersalah ingin mengulangi tindakan mereka dengan berkumpul di luar Dun.
"Bagi pihak kerajaan negeri, kami ingin mengutuk ahli-ahli Umno yang bertingkah laku macam samseng mahu merusuh di luar perkarangan Dun Pulau Pinang.
"Kami menghargai kehadiran polis untuk menjaga ketenteraman tetapi meminta tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap mereka," ujar Guan Eng ketika menggulung perbahasan sidang Dun.
Menurut Guan Eng, walaupun Ketua Pembangkang yang juga Adun Telok Air Tawar, Datuk Jahara Hamid memohon maaf bagi pihak 12 ahli Umno itu semalam dan mengakui tindakan itu salah, namun mereka yang terbabit masih mahu mengulangi tindakan mereka.
"Memandangkan ahli-ahli Umno (itu) masih berdegil lagi, adakah tindakan pemecatan dari Umno akan dilakukan memandangkan mereka ini tidak hormati undang-undang negara tetapi memilih cara keganasan?
"Beranikah Umno memecat mereka untuk membuktikan kepada rakyat Pulau Pinang bahawa Umno menjauhi dan tidak mendokong keganasan?" soal beliau.
- HARAKAHDAILY, 23/5/2014
No comments:
Post a Comment