KUALA LUMPUR: Dalam banyak demonstrasi sebelum ini, sama adadi hadapan Kedutaan Amerika, Australia, Great Britain dan sebagainya yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin, walaupun beliau juga beraksi dengan gaya marah dan darah yang sedang meluap-luap, tetapi memorandum tidak pernah dikoyak atau dicampakkan.
Menurut Shahbudin Husin, ini kerana memorandum adalah isi hati yang mengandungi hujah dan fakta yang menggambarkan ketinggian akal fikiran seseorang atau sesebuah parti dalam isu yang diperjuangkan.
“Bagaimana perasaan kita mahu dibaca dan difahami oleh pihak lain jika memorandum pun dikoyakkan yang seolah-olah ianya tidak mahu dibaca?
“Buat apa menyiapkan dan membawa memorandum jika akhirnya hanya dikoyakkan?” tulis beliau di dalam blognya.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas aksi demonstrasi yang diketuai Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan di hadapan ibu pejabat DAP untuk bertemu dengan wakil DAP bagi menyatakan bantahan mereka dan menyerahkan memorandum.
Bagaimanapun, memorandum yang mahu diserahkan itu kemudiannya dikoyakkan dan dicampakkan.
Dalam masa yang sama, tulisnya lagi aksi demonstrasi juga diadakan ketika suasana kempen pilihan raya kecil di Bukit Gelugor dan Teluk Intan.
Sudah tentulah aksi tersebut memberi gambaran yang kurang baik mengenai Umno kepada pengundi Cina, pengundi Melayu serta juga pengundi muda di kedua-dua kawasan itu, lebih-lebih lagi dalam masa yang sama juga memperlihatkan wakil DAP dan Cina yang menyambut aksi demonstasi itu hanya senyum dan tenang saja.
Bagi Shahbudin, oleh kerana DAP bertanding di kedua-dua kawasan itu,wajah tenang dan senyum wakil DAP sementara wakil Pemuda Umno pula kelihatan ganas dan takut berhujah, pemuda Umno seperti sedang membunuh calon BN dan mahu DAP memenangi pilihan raya kecil itu.
No comments:
Post a Comment