JEPIARDY SEMENYIH
Dalam
tempoh beberapa minggu lagi perintah panel arbitrasi London akan
diputuskan, sama ada kerajaan Malaysia untuk sekian kalinya tewas dan di
dalam kes ini Malaysia terpaksa membayar levi sebanyak lebih kurang
RM2.12 bilion kepada kerajaan Singapura, ataupun keputusannya memihak
kepada Malaysia agar levi yang dikenakan oleh kerajaan Singapura ini
kepada Khazanah Nasional tidak perlu ditunaikan.
Akar
punca kepada isu ini ialah berkaitan bekas tanah milik Keretapi Tanah
Melayu (KTM) di Tanjong Pagar, Singapura. KTM yang dimiliki oleh
kerajaan Malaysia telah diberi hak untuk mengurus sebidang tanah di
Tanjong Pagar secara pajakan selama 999 tahun yang seluas 217 hektar
melalui satu perjanjian yang telah dimeterai semenjak era kolonial
British lagi.
Stesen
keretapi ini menempatkan pusat kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ)
kerajaan Malaysia, justeru menjadikan para pengguna perkhidmatan
keretapi ini berada di dalam zon sempadan negara yang kabur, di mana
lokasi stesen itu adalah wilayah Malaysia sedangkan secara fizikalnya
dikelilingi oleh Singapura.
Di dalam
perjanjian berkenaan, KTM tidak dibenarkan membangunkan wilayah
anugerah tersebut, dan ianya hanya boleh digunakan untuk tujuan keretapi
sahaja. Oleh yang demikian, Malaysia tidak dapat mengkormesialkan
wilayahnya di Singapura ini kecuali syarat pajakan tersebut diubah
dengan persetujuan Singapura.
Bagi
mengatasi masalah persempadanan ini, pada tahun 1998 kerajaan Singapura
telah menaiktaraf stesyen keretapi Woodlands sebagai pusat CIQ yang
baru, dan seterusnya mendesak KTM supaya memindahkan operasi stesyennya
ke Woodlands. Sehinggalah pada tahun 2010, melalui pendekatan ‘memberi
dan menerima’, kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk memindahkan
pengoperasian KTM ke Woodlands dan menyerahkan kembali stesyen keretapi
Tanjong Pagar ini kepada Singapura bermula 1 Julai 2011.
Apabila
operasi KTM berpindah ke Woodlands, secara automatik perjanjian yang
telah dimeterai selama ini termansuh, dan kerajaan Singapura berjaya
mengambil alih wilayah Malaysia ini melalui desakan undang-undang
domestiknya yang bersifat kata dua kepada kerajaan Malaysia. Kerajaan
Singapura sudah tentu setelah berjaya mengambil alih wilayah kabur
seluas 217 hektar ini dari Malaysia, akan memajukannya dengan pelbagai
lagi projek hartanah bernilai berbilion dolar.
Sebagai
timbal balasnya, beberapa projek pembangunan telah dirangka untuk
manfaat bersama kedua-dua negara yang mana termasuklah menubuhkan
usahasama untuk membangunkan projek hartanah di empat bidang tanah di
Marina South, dan dua bidang tanah lagi di Ophir Roche, dengan Malaysia
mempunyai 60% pegangan saham dan Singapura pula sebanyak 40% pegangan
saham. Dipercayai nilai hartanah projek usahasama ini sebenarnya jauh
lebih rendah jika dibandingkan dengan nilai semasa bekas tanah KTM di
Tanjong Pagar jika ianya boleh dikomersialkan.
Namun
kegagalan kerajaan Malaysia untuk memastikan tiada sekatan terhadap hak,
untuk bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan wilayahnya sendiri ketika
memeterai perjanjian berkenaan, seharusnya menjadi pengajaran yang
berguna kepada pemimpin generasi sekarang. Akan tetapi, mengapa pula di
dalam terma rujukan JV ini tidak mengambil kira halangan-halangan dan
muslihat terkemudian seperti levi yang menyusahkan ini? Kerajaan
Malaysia berulangkali terpedaya dengan muslihat diplomatik Singapura.
Ketika
Malaysia mempunyai hak yang sangat jelas untuk membina 'jambatan
bengkok', keputusan ditarik semula hanya gara-gara kononnya menghormati
perjanjian air 1961 dan 1962. Sedangkan Singapura dilihat dengan begitu
mudah memperdayakan perjanjian pajakan 999 tahun tanah wilayah Malaysia
dengan undang-undang domestik yang diperkenalkan.
Kerajaan
Malaysia perlu menjadikan sejarah Thailand yang walaupun terlewat 23
tahun 'diperalatkan' oleh Singapura melalui MoU pertahanan yang dirangka
sehingga membolehkan SAF secara unilateral menggunakan pangkalan udara
dan ruang udara Thailand untuk kepentingan strategik Singapura di rantau
Asia Tenggara ini, namun kesedaran untuk tidak selamanya dicaturkan
oleh Singapura akhirnya membolehkan MoU yang tidak seimbang tersebut
dinaiktarafkan supaya Thailand juga mendapat hak yang sewajarnya di
dalam hubungan bilateral mereka bersama Singapura selepas ini.
Sesungguhnya
sejarah telah merakamkan bahawa sesuatu transformasi hanya boleh
direalitikan apabila sesebuah kerajaan mempunyai sang ketua yang
berprinsip dan tegas. Pilihannya hanya dua, sang ketua berubah atau sang
ketua diubah. Agaknya itulah yang Tun Dr. Mahathir bising-bisingkan
ketika ini.
* Penulis merupakan calon PhD tahun akhir di bidang pengajian strategi dan keselamatan, UKM.
Najib perdana menteri penuh masalah...akan dengan mudah ditipu olrh pemimpin asing...tapi yang benarnya penduduk malaysia yang memberi undi padanya adalah paling bodoh dan bebal....
ReplyDelete