Belum ada sepatah perkataan pun keluar daripada mulutnya mengenai perkara ini, meski semua orang tahu media arus perdana adalah dibawah kawalannya.
Untuk itu, Najib perlu tampil untuk menjelaskan sekurang-kurangnya tiga persoalan ini:- Pertama, beliau perlu menjelaskan apakah mengetahui permainan yang sedang dicatur oleh pegawai dan para penasihatnya, terutama oleh individu yang bernama HR mengenai serangan terhadap Daim melalui media arus perdana itu?
Kedua, jika mengetahui, apakah beliau merestui semua tindakan yang dilakukan oleh para pegawai dan penasihatnya itu, manakala kalau di luar pengetahuannya pula, kenapa setelah heboh diperkatakan, masih juga berdiam diri mengenainya?
Ketiga, apakah selepas Daim, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan anak-anaknya pula merupakan sasaran seterusnya untuk dimalukan melalui media arus perdana atau turut diseret kepada siasatan SPRM?
Tiga persoalan ini penting untuk dijawab dan dijelaskan oleh Najib kerana ahli-ahli UMNO seluruh negara ingin mengetahui hakikat sebenar mengenainya. Sekarang ini, sementara ramai yang keliru di sebalik sikap berdiam dirinya itu, dalam masa yang lebih ramai sebenarnya yang meluat dengan cara serangan yang dilakukan keatas Daim ini.
Mereka mengatakan ini bukan cara yang betul melayan bekas pemimpin yang cuba menegur dan memperbaiki keadaan dalam UMNO dalam negara. Teguran kepada Najib, kata mereka, tidak dapat dielakkan kerana kepincangan dan kelemahan dalam mengurus parti dan negara begitu ketara sehingga kesannya dapat dirasai oleh rakyat jelata.
Mahathir pernah ditegur oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein manakala Pak Lah pula ditegur oleh Mahathir tetapi kedua-dua bekas Perdana Menteri itu tidak pula melayan teguran dan kritikan itu seburuk seperti apa yang dilakukan oleh Najib ketika ini.
Sementara Mahathir dan Pak Lah tidak takut menjawab setiap kritikan dengan hujah, Najib sebaliknya hanya berdiam diri tetapi dalam masa yang sama melakukan tindakan lain yang lebih keras dan tidak berhemah terhadap pengkritiknya.
Apa yang dilakukan kepada Daim ini memberi gambaran bahawa Najib seorang pemimpin yang tidak boleh ditegur oleh ahli dan mereka yang berada dalam UMNO. Jika menegur dan mengkritik, bersedialah menghadapi tindak balasnya.
Selepas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan yang membuat laporan polis mengenai 1MDB tetapi kemudian dirinya "ditelanjang" dan "diselongkar" sehingga kes muflisnya didedahkan serta rumahnya terjual, serangan terbuka kepada Daim jelas memperlihatkan kecenderungan ke arah yang sama. Melalui serangan berterusan, termasuk memberi publisiti kepada Anwar Ibrahim untuk turut sama menambah rencah melalui bukti yang sedia diserahkan kepada SPRM, matlamatnya tidak lain ialah untuk mencalar dan memperlekeh imej bekas Menteri Kewangan itu.
Tetapi oleh kerana serangan kepada pengkritik daripada UMNO ini melebihi berbanding apa yang dilakukan terhadap parti-parti pembangkang, kesan politiknya lebih dirasai oleh UMNO sendiri.
Walaupun ada yang menyokong, tetapi yang keliru, benci dan meluat lebih besar bilangannya. Di sinilah pentingnya Najib tampil dengan penjelasannya. Sebagai pemimpin, beranilah berkata benar dan jangan bersikap baling batu sembunyi tangan.
Kalau mengetahui dan merestuinya, berdirilah dengan penuh tanggungjawab sebagai seorang yang berani. Jika semua itu di luar pengetahuannya dan hanya kerja-kerja pegawai dan penasihatnya saja, segeralah menghentikannya sebelum ia memberi lebih banyak masalah kepada UMNO dan juga dirinya sendiri.
Namun, berdiam diri dan bisu seperti selalu bukan lagi pilihan ketika ini. 0 Shares 0 Comments Share: oleh Mike Tan KOMEN: Kehidupan bekas mejar, Zaidi Ahmad sememangnya telah berubah secara drastik sejak beliau dipecat daripada Tentera Udara Diraja Malaysia hanya seminggu lalu.
Seorang bekas juruterbang dan komander Tentera Udara, Zaidi agak tidak dikenali di luar kalangan tentera sebelum laporan polis mengenai dakwat kekal Suruhanjaya Pilihan Raya dan perbicaraan mahkamah tenteranya menjadikan beliau terkenal di seluruh negara.
Tiada siapa yang menjangkakan tumpuan orang ramai yang kini sedang dilimpahkan kepada beliau.
Beliau telah mengendalikan tumpuan media dengan agak baik, tetapi sekali lagi, ini adalah seorang lelaki yang biasa memberikan arahan – Zaidi bukan sahaja seorang pemimpin skuadron pejuang jet perisik negara, tetapi juga pegawai pemerintah pangkalan udara Butterworth.
Keputusan bersalah itu telah mengunci reputasi beliau sebagai seorang pemberi maklumat dan pengumuman "Jumpa di mahkamah Allah” beliau telah memenangi hati ramai rakyat Malaysia, yang kini melihat beliau sebagai seorang yang berprinsip yang bersedia untuk menegakkan apa yang beliau percayai, tidak kira apa akibatnya.
Beliau mempunyai bakat untuk menjadi ahli politik yang berjaya, dan terdapat desas-desus yang bertiup kencang sama ada beliau berhasrat untuk memulakan kerjaya dalam bidang politik.
Usaha memikatnya telah pun bermula, dengan tawaran kerja dari kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.
Pada 17 Januari, Zaidi bercakap mengenai kemungkinan kerjaya dalam bidang politik, dan dilaporkan berkata bahawa beliau "pasti akan menyertai Pakatan Rakyat" jika beliau bertanding.
Beliau berahsia mengenai parti tertentu yang beliau akan sertai, menyatakan bahawa dia "akan merahsiakannya".
Hakikat yang beliau menjadi bintang politik yang berpotensi adalah akibat yang tidak dijangka daripada perbicaraan mahkamah tentera itu.
Sebaliknya, keputusan bersalah itu seolah-olah telah menjejaskan tentera, kerana pendapat awam berada kukuh di pihak Zaidi. Walaupun PRU14 masih jauh lagi, keputusan kes Zaidi akan memberi kesan yang mendalam kepada prestasi BN.
Pemecatan Zaidi dari tentera boleh disamakan dengan pemecatan Anwar dari Umno pada bulan Oktober 1998. PKR ditubuhkan selepas pemecatan Anwar, dan berjaya melemahkan penguasaan Umno terhadap pengundi Melayu. Umno dan BN telah terjejas sejak itu, mencatatkan prestasi yang paling teruk dalam pilihan raya umum yang terbaru.
Walaupun kesan Zaidi ini mungkin tidak sebegitu drastik, ia masih merupakan detik perubahan kerana ia menandakan kali pertama bahawa seorang pegawai berpangkat tinggi berani untuk bersuara menentang pihak berkuasa, dengan cara terbuka.
Tentera Malaysia telah lama dilihat sebagai sebuah institusi yang menyokong kerajaan BN (sama ada patut atau pun tidak), dan tindakan mereka memecat Zaidi mengukuhkan lagi tanggapan itu. Tentera, seperti Umno, boleh dibahagikan kepada dua kelas sosial, golongan elit dan bawahan.
Tindakan menganiayaai seorang pegawai berwibawa oleh pihak atasan mungkin tidak diterima baik oleh anggota lain, terutamanya apabila hukuman Zaidi ini sepatutnya menjadi contoh kepada semua anggota yang berani melanggar perintah.
Zaidi sememangnya ternyata telah menjadi contoh, tetapi bukannya jenis yang pihak atasan mahukan.
Beliau tidak ditambat hidung, dan tidak berkias apabila menyatakan yang perbicaraan beliau adalah bermotifkan politik. Jika sokongan orang ramai terhadapnya kini merupakan satu petunjuk, maka BN seharusnya mempunyai sebab untuk bimbang.
Sekiranya Zaidi menceburi bidang politik dan memenangi hati dan minda anggota tentera negara kita, maka BN mungkin kalah teruk dalam PRU akan datang.
Pemecatan Major Zaidi mungkin berubah menjadi tumbukan terakhir yang menghumban BN keluar dari Putrajaya. Walaupun tentera telah memenangi pertempuran undang-undang, mereka seolah-olah telah menyebabkan BN kalah dalam perang politik Malaysia. -
Posted & copy by RAKYAT MARHAEN
No comments:
Post a Comment