اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Friday, January 9, 2015

RM800 Juta bantuan banjir.. tapi ada penduduk terabai tanpa bantuan..


Di jambatan menuju ke Kampung Manek Urai Lama di Kuala Krai, Kelantan, tiga wanita pertengahan umur mencangkung di bawah sekeping zink koyak cuba menahan trak yang lalu lalang membawa bekalan makanan ke kampung dipenuhi lumpur.

Kadang-kala ada lori berhenti dan memberikan wanita itu beberapa barangan yang dibawa tetapi sebahagian besarnya terus menuju ke Kampung Manek Urai Lama, yang menjadi terkenal selepas imej kemusnahan seperti tsunami akibat lumpur banjir menjadi “viral” di Internet.


Bagaimanapun, semua wanita di jambatan berkenaan bukanlah dari Kampung Manek Urai Lama, tetapi terpaksa berpusu-pusu di situ kerana tiada bantuan yang didermakan ke kampung mereka, walaupun turut menjadi mangsa banjir.


"Barangan diagihkan tidak sampai ke rumah saya, jadi saya perlu datang ke sini. Saya menunggu selama sejam untuk mendapatkan sedikit makanan yang boleh saya bawa pulang untuk keluarga di rumah," kata Aminah Che Se, 47.

"Kami seperti burung mencari makanan dan jambatan ini adalah pokok yang penuh dengan buah-buahan."

Aminah dan dua rakannya itu berasal dari Kampung Peria, dan mereka terpaksa menempuh perjalanan sejauh 10km dengan menaiki motosikal untuk sampai ke jambatan dengan harapan dapat menerima sebahagian daripada bekalan bantuan yang dalam perjalanan itu.

Beliau kagum dengan aliran kenderaan yang tidak berhenti memasuki Kampung Manek Urai Lama untuk membawa bantuan, dan tertanya-tanya mengapa tiada yang baik hati mengambil peduli memeriksa kampungnya juga.

"Sejak banjir, ketua kampung saya mengagihkan bekalan makanan hanya dua kali. Tiada bekalan yang mencukupi untuk melakukannya! Tetapi di sini, saya tidak dapat mengira berapa banyak kereta yang datang dengan begitu banyak makanan dan minuman serta pakaian,"katanya.

Tetapi di situlah terletak masalah agihan yang tidak sistematik. Menurut pihak Pengurusan Bencana Kebangsaan bagi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, kumpulan yang "melambakkan" barangan bantuan banjir yang melanda kampung-kampung adalah usaha bantuan bencana pihak berkuasa.

Ketuanya, Datuk Dr Bahari Datuk Abu Mansor, memberitahu akhbar berbahasa Inggeris The Star, beberapa buah kampung mendapat lebih daripada bahagian sepatutnya, manakala mereka di lokasi yang jauh ditinggalkan tanpa sebarang bantuan.



Sebagai bukti bekalan yang diterima Kampung Manek Urai Lama, pakaian yang baru didermakan bersepah begitu sahaja di atas tanah berlumpur di setiap beberapa meter, manakala jalan menuju ke kampung ini sesak dengan kenderaan pacuan empat roda yang penuh dengan bekalan.

Sukarelawan yang memberhentikan trak mereka untuk mengagihkan bantuan kepada Aminah dan "burung" lain yang menunggu di jambatan mengakui mereka tidak tahu ke mana hendak dituju dan apa bekalan yang diperlukan, tetapi datang ke sini kerana mendengar ia adalah kawasan paling teruk terjejas.

"Lihatlah, terdapat begitu ramai orang menderma barang di sini. Tetapi tiada satu pun di kampung saya. Sila datang ke kampung saya juga," satu suatu kedengaran merayu kepada sukarelawan.

Seorang penduduk tempatan, Wan Sulaiman Wan Zainal memberitahu The Malaysian Insider kampungnya, Kampung Manek Urai Baru terletak sebelum jambatan itu, namun tiada sukarelawan yang masuk.

"Jadi, kami hanya berdiri di jambatan ini, seperti pengemis dan berharap mendapat sebarang lebihan daripada apa yang jiran kami dapat."

Wan Sulaiman berkata dia kehilangan restorannya dalam banjir – perniagaan yang dibina sejak 1987 – dan disebabkan keperluan mendesak dan kelaparan, datang ke sini beberapa hari lepas dengan dua anak-anaknya.

Di sebelahnya berdiri Mohd Shahri Saga, 54, seorang pegawai tentera bersara yang berkongsi kesusahan yang sama. Dia memberitahu, jika tidak ke Kampung Manek Urai Lama, keluarganya akan kelaparan.

"Saya tidak mempunyai pilihan tetapi datang ke sini. Saya tidak boleh memaksa semua sukarelawan datang ke kampung saya juga. Jadi saya hanya datang ke sini dan menunggu," katanya.

 ~ The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment