Saya membaca komentar politik mantan mufti Perlis yang kini kembali jadi mufti, Dr Asri Zainal Abidin dengan senyum yang sampai ke telinga.Ramai yang begitu tergesa-gesa menabrak pendapat beliau, saya nasihatkan baca dahulu dua tiga kali sebelum membuat kesimpulan. Tajuk berita sahaja tidak mampu mempermudah mantiq Dr Asri itu.
Mari kita perinci satu demi satu bacaan politik beliau, supaya kita temukan kefahaman yang lebih menyenangkan hati.
Dr Asri memulakan bacaan politik ringkasnya dengan mengingatkan kita PAS dan Umno sudah terlalu lama berbalah. Bahkan perbalahan PAS dan Umno ini masih lagi tidak selesai, di tengah-tengah rancak perbincangan dan ramalan kononnya kedua-dua parti politik Melayu ini akan bergabung.
Beliau kemudiannya menggesa usaha ke arah perpaduan Umno-PAS itu disegerakan. Kenapa? ‘Demi kebaikan rakyat negara ini,’ katanya.
Dalam ayat seterusnya, Dr Asri mengenakan ‘caveat’ kerjasama itu ‘jika’ dengan maksud tolong-menolong ke arah kebaikan, maka ia merupakan suruhan agama.
Kata ‘jika’ di situ turut meletakkan andaian secara ‘mafhum mukhallafah’, jika sebaliknya ia tidak bermaksud untuk tolong-menolong ke arah kebaikan, maka ia ditegah oleh agama.
Jadi apa maksud Umno dan PAS mahu bergabung? Adakah demi menyelamatkan Umno yang sudah tiga suku nyawa, atau bagaimana?
Seterusnya Dr Asri memberitahu lagi "PAS berjuang di luar sekian lama untuk membaiki politik Umno".
Di sini Dr Asri memberitahu kita a) Politik Umno ini rosak dan b) PAS sangat lama berjuang demi memperbaiki kerosakan Umno. Maka kemudian beliau bertanya, "Mengapa tidak PAS mencubanya pula dalam satu kerajaan?"
Soalan ini perlu dijawab. Mengapa tidak, dan kalau pun patut, apa pula sebabnya? Adakah kerana PAS sudah puluhan tahun dibuli dan ditipu Umno?
Atau kerana PAS dahulu pernah berada di dalam Barisan Nasional dan sudah tahu usaha memutihkan Umno ini kerja mencangkul angin?
Dr Asri kemudian bertindak menjelaskan ‘kerjasama’ yang dimaksudkannya itu, bagaimana sifatnya.
Beliau menegaskan "kerjasama bukan bermaksud menghapuskan identiti". Identiti siapa yang boleh terhapus? Adakah kedua-dua Umno dan PAS mempunyai identiti berbeza? Adakah yang satunya lebih Islam dari yang lain, atau yang satu lagi lebih Melayu dari yang lainnya?
Seterusnya datang perenggan yang lebih penting, di mana Dr Asri memperjelaskan sebab musabab beliau mencadangkan supaya usaha penggabungan Umno-PAS dipercepat.
Dr Asri memberitahu "Impian rakyat untuk melihat persaingan sihat antara kerajaan dan pembangkang akan lebur jika PAS terus berkrisis’. Secara mudah, selagi PAS berbalah, kerja lain tidak boleh jalan.
Dan lagi, Asri bermadah, sekiranya rancu dalam PAS ini berlarutan, ada kemungkinan pada PRU ke-14 nanti akan wujud persaingan 3 penjuru seperti yang terjadi di beberapa kerusi dahulu yang mengakibatkan Pakatan Rakyat tewas dan BN menang akibat kedegilan beberapa pihak yang meletakkan calon tambahan.
Penyudahnya Pakatan Rakyat tewas di beberapa kerusi.
Kita pastinya masih ingat betapa serabutnya keadaan di kerusi DUN Kota Damansara. Tetapi benda sudah lepas, lain kalilah kita bincang.
Persaingan 3 penjuru dalam sistem dua parti di mana BN hanya berlawan dengan Pakatan Rakyat bukan sahaja bodoh, malah hampir sahaja pasti memenangkan BN.
Perenggan paling penting dalam bacaan MAZA ini hadir di hujung sekali, apabila beliau menyatakan "ruang untuk persaingan siasah dengan idea-idea baru akan muncul lebih subur dengan pergabungan antara PAS dan Umno."
Simbiosis PAS dan Umno akan sedikit sebanyak membunuh elemen-elemen yang lebih lemah di kedua-dua parti.
Baik daripada segi pengaruh, kewangan, jentera kempen, kapasiti intelek dan kapasiti gerak kerja. Golongan yang lebih lemah akan dikalahkan yang lebih kuat, ini sebahagian hukum alam.
Jika geng ulama’ lebih kuat maka habislah semua yang kurang berilmu dalam Umno. Begitu juga sebaliknya jika geng rasuah lebih kuat, maka habislah kalangan yang suci dalam PAS.
Dr Asri menambah lagi "di pihak pembangkang akan membuka ruang kepada platform baru politik menggantikan tempat PAS."
Ini menarik sekali. Siapakah yang akan menggantikan PAS di dalam Pakatan? Adakah PAS akan berpecah sebelum berpisah, dan serpihan ini akan bergabung dengan anasir-anasir lain membentuk sebuah parti baru yang lebih selesa dengan rakan-rakan dalam Pakatan?
Ini persoalan yang amat menarik untuk dibincangkan.
Tidak cukup di situ, Dr Asri berkata lagi "banyak common ground antara PAS dan Umno selama ini, terutama di sudut aliran kefahaman Islam kedua-dua parti itu. Hanya bahasa yang berbeza."
Ya, seperti ayam dan itik barangkali. Kedua-duanya berbicara tentang mahu terbang dengan sayap yang ada, namun keduanya tidak faham apa-apa. Mungkin begitulah.
Lebih menarik lagi, Dr Asri meramalkan golongan Muslim yang lebih progresif mungkin akan mempunyai ruang baru dengan ‘hilangnya bayangan Islam PAS yang selama ini dilihat pelbagai versi.’ Ah sudah, ini apa pula?
Adakah Dr Asri cuba membayangkan Islam yang dibawa PAS selama ini begitu memeningkan kepala dan sekadar bayang-bayang?
Akhir sekali Dr Asri menyimpulkan rakyatlah yang akhirnya menjadi hakim penimbang-tara menilai sejauh mana kedua-dua PAS dan Umno benar-benar jujur setelah mereka bergabung.
Kesimpulan akhir ini menunjukkan Dr Asri sebenarnya seorang demokrat yang menyerahkan kuasa politik dan pemberian mandat sebenar kembali kepada rakyat.
Barangkali Dr Asri patut masuk DAP.
Posted on Wednesday, February 25 @ 14:41:45 MYT by paktam
No comments:
Post a Comment