Saja aku
carik pasal 'Turbulence' kat internet, tetiba jumpa ni. 'Turbulence' tu
ialah gegaran disebabkan pelanggaran awan dan angin yang kuat. Aku dah
la selalu menggunakan kapal terbang untuk balik ke kampung halaman, tak
sangka tragedi kapal terbang terhempas pernah berlaku di Malaysia dan
ianya membuatkan aku cuak jugak.
Pada
hari Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan
rakyat Malaysia dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS) apabila salah
sebuah pesawat miliknya terhempas dan mengorbankan banyak nyawa termasuk
orang kenamaan. Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang
bersama tujuh krew penerbangan telah meletup dan terhempas di sebuah
kawasan paya bakau dekat Kampung Ladang, Tanjong Kupang, Gelang Patah,
Johor.
Rangka
pesawat itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas
kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya. Peristiwa yang
berlaku 37 tahun lalu itu juga meninggalkan memori hitam kepada sejarah
negara apabila ia turut mengorbankan Duta Cuba ke Malaysia yang pertama,
Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya, Gladys yang dalam perjalanan
pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar di Pulau Pinang.
Berdasarkan
kisah yang dinyatakan kepada umum, pada pukul 7.21 malam hari kejadian,
pesawat Boeing 737 yang dikendalikan Kapten G.K. Ganjoor dan
pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu sedang dalam perjalanan dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke
Lapangan Terbang Subang.
Sebelum
sempat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Subang, Ganjoor sempat
memberitahu menara kawalan mengenai kehadiran pengganas di dalam pesawat
yang sedang dikendalikannya. Selepas mengetahui perkara tersebut, pihak
berkuasa Lapangan Terbang Subang segera mengosongkan laluan 33 bagi
membolehkan pesawat Boeing 737 kendalian Ganjoor dan Kamarulzaman
mendarat dengan selamat.
Bagaimanapun,
pesawat tersebut tidak sempat untuk melakukan pendaratan di lapangan
terbang itu, sebaliknya Ganjoor bertindak terbang semula ke awan dan
memberitahu menara kawalan yang dia diarahkan oleh pengganas untuk
menuju ke Singapura. Peristiwa ini mempunyai kisah misteri dan seramnya
tersendiri, untuk mengetahui kisah misteri dan seram tersebut, teruskan
membaca dengan klik link dibawah ni.
Kira-kira
pukul 8.15 malam, pesawat yang membawa 93 penumpang bersama tujuh krew
penerbangan itu hilang dari radar menara kawalan dan terhempas di sebuah
kawasan hutan paya bakau di Tanjong Kupang, Gelang Patah.
Selain
mengorbankan Mario Garcia dan usahawan Jepun, Tomio Gotto, tragedi
pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali
Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid;
Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; Timbalan
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican serta dua
pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime.
Tempat
tragedi pesawat MH653 itu adalah sebahagian daripada kawasan paya seluas
800 hektar milik kerajaan yang kini diletakkan di bawah jagaan
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) secara konsesi dan dirizabkan sebagai
zon bebas aktiviti manusia. Paya yang hangus dan menjadi saksi kepada
100 jiwa yang terkorban itu kini hanyalah hamparan muka bumi yang mirip
hutan sekunder.
Peristiwa Misteri dan Seram
Bagaimanapun,
kejadian itu terus mewujudkan pelbagai andaian, cerita dan kenangan.
Pelbagai cerita aneh turut diceritakan pelbagai pihak selepas kejadian
itu. Antaranya, kisah seorang pemandu teksi mengambil penumpang wanita
muda bersama seorang anak kecil di kampung itu, tidak jauh dari kawasan
kemalangan. Penumpang berkenaan meminta dihantar ke Jalan Kebun Teh
iaitu tanah perkuburan khas bagi menempatkan mangsa tragedi.
Apabila
sampai di situ, wanita itu meminta keluar sebentar untuk menziarah makam
dengan menumpangkan anak kecilnya di tempat duduk hadapan teksi.
Bagaimanapun, sebaik berpaling melihat wanita itu berjalan ke arah
makam, anak kecil di sebelah tempat duduknya bertukar menjadi batu nisan
dan wanita itu turut ghaib.
Sehingga
kini, tidak ada pokok termasuk pokok bakau dapat hidup di kawasan kapal
terbang terhempas itu. Ketua Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Abu Bakar
Mohd Ali (gambar), 58, berkata beliau masih teringat kira-kira lima hari
selepas kejadian, dia menerima kedatangan seorang pelanggan, seorang
anggota polis hutan yang membeli barangan keperluan di kedai runcitnya.
Beliau berkata, ketika itu, dia perasan, wang yang digunakan untuk
membeli barangan adalah wang kertas RM5 yang banyak ditemui di lokasi
kemalangan serta berbau darah.
“Saya
mengesyaki wang berkenaan milik mangsa yang terbabit dalam nahas itu.
Saya mencium wang berkenaan untuk memastikannya selepas pelanggan
berkenaan meninggalkan kedai dan saya yakin ia berbau darah,” katanya.
Abu Bakar berkata, berikutan kejadian itu, dia menjadi gelisah dan tidak dapat tidur semalaman.
“Bagaimanapun
apa yang menakutkan ialah bayangan lembaga hitam mengganggunya sehingga
dia berasa seolah-olah ada benda berat menindih badannya. “Saya tidak
dapat melihat dengan jelas lembaga hitam itu sama ada lelaki atau
perempuan. Bagaimanapun, saya percaya ia disebabkan saya menerima wang
milik mangsa kemalangan berkenaan.“Kejadian itu menyebabkan saya menjadi
seperti tidak tentu arah dan sentiasa terperanjat hampir seminggu,”
katanya.
Seorang
nelayan, Sulaiman Othman, 58, berkata kawasan nahas berkenaan
berhampiran sebuah pangkalan nelayan. Katanya, dia sering berulang-alik
di kawasan itu termasuk pada hari kejadian apabila turun ke laut untuk
menangguk udang kira-kira jam 7.30 malam bersama dua lagi rakan.
“Kira-kira
jam 8.45 malam, kami terdengar bunyi bising. Pada mulanya, kami ingat
bunyi kapal terbang Singapura menjalani latihan. Bagaimanapun, bunyinya
pelik dan berdesing seperti wisel. “Tidak berapa lama kemudian, kami
melihat sebuah pesawat terbang rendah dan terdengar bunyi dentuman
sebelum satu letupan kuat dan api menjulang beberapa puluh meter ke
udara,” katanya.
Sulaiman berkata, kejadian itu menyebabkan pelbagai dokumen dan barangan turut tercampak ke laut.
“Saya
amat terkejut dan bersama seorang rakan kembali ke darat untuk melihat
apa yang terjadi. Saya dapati pelbagai barangan bersepah berhampiran
tempat kejadian seperti pakaian, makanan, kertas dan sebagainya. “Kami
juga melihat satu daripada sayap kapal terbang berkenaan tercacak pada
benteng manakala tayar di kawasan bakau. Selain itu, banyak wang kertas
RM5 turut ditemui bertaburan di atas tanah serta perut manusia. “Semua
mayat sudah hancur dan tidak lagi kelihatan bentuk. Apa yang kami dapat
lihat ketika itu hanya gumpalan daging saja,” katanya.
Beliau
yang dipercayai penduduk kampung pertama sampai di tempat kejadian
mendakwa menemui ikan kurau kering masih elok di dalam sebuah bakul yang
biasa dibawa masyarakat Cina pada masa itu. Katanya, tidak lama
kemudian, satu helikopter dari Singapura sampai di tempat kejadian dan
mula menyuluh ke tempat kejadian.
“Mereka
juga mengikuti pergerakan kami di lokasi berkenaan untuk tempoh beberapa
minit menyebabkan kami meninggalkan lokasi berkenaan. “Mungkin mereka
menyangka kami antara mangsa terselamat dalam nahas berkenaan,” katanya
yang mendakwa tidak lama kemudian berpuluh-puluh ambulans dan jentera
bomba datang ke tempat kejadian untuk membantu mangsa nahas.
Sulaiman
berkata, tiga hari selepas kejadian, dia memasuki kawasan tragedi dan
cuba mengambil sebelah kasut kulit yang ditemui di tempat kemalangan
berkenaan.
“Saya
sungguh terkejut apabila mendapati ada kaki manusia di dalam kasut
berkenaan. Saya juga ada mendengar cerita seorang penduduk kampung
mengambil kasut di kawasan kemalangan tetapi terpaksa memulangkan semula
apabila tidak dapat tidur,” katanya.
Bagaimanapun,
Sulaiman dan Abu Bakar kesal kerana janji untuk membina peringatan di
atas kawasan nahas berkenaan tidak ditunaikan. Kawasan itu kini diambil
alih dan menjadi sebahagian tanah milik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Tragedi
itu mengorbankan 73 rakyat Malaysia, tiga rakyat Australia, Inggeris
(lima), Jerman (empat), Afghanistan (satu), India (tiga), Thailand
(satu), Jepun (satu), Singapura (satu), Kanada (satu) dan tiga rakyat
Indonesia, Amerika Syarikat (satu), Cuba (dua) dan Greece (satu).
Tugu
Peringatan Tanjong Kupang di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru itu telah
dibina sebagai usaha untuk memperingati mereka yang terkorban dalam
tragedi Tanjung Kupang.
Sumber : Pengalamanituguruterbaik, Anak Jati Muar
No comments:
Post a Comment