- USTAZ AZHAR YAHYA
Dunia Islam juga dirundung duka dengan tragedi penghakiman Al-Minya: 529, yang menyaksikan mahkamah kerajaan perampas di Mesir menjatuhkan hukuman gantung terhadap pejuang Islam yang sebelum ini diisytiharkan sebagai pengganas oleh pengganas sebenar iaitu As-Sisi.
Selaku umat Islam kita dikehendaki mengamalkan ayat 155 surah Al-Baqarah.
“Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
اِنَّا ِللهِ وَاِنَّا اِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ
"Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."
Kepada ahli keluarga mangsa mintalah kebaikan di sisi Allah di sebalik apa yang berlaku berdasarkan arahan Nabimu di dalam Sahih Muslim iaitu:
اللَّهمَّ أجِرني في مُصيبَتي واخلُفني خيرًا مِنها
"Ya Allah, berilah pahala padaku menerusi musibah ini dan gantikanlah untukku dengan yang lebih baik”
Berita gembira kepada kaum keluarga mangsa MH370 yang beragama Islam dan juga para pejuang Islam kerana kedua-dua tragedi ini adalah mereka yang telah terpilih menerima janji Rasulullah sebagai orang yang mendapat ganjaran mati syahid akhirat.
Ini berdasarkan hadis di dalam Shahih Ibnu Hibban untuk mangsa tragedi MH370.
الشهادة سبع سوى القتل في سبيل الله : والغريق شهيد ،…، وصاحب الحريق شهيد
“Ada tujuh lagi golongan yang syahid selain daripada terbunuh di dalam perang sabilillah, antaranya mereka yang mati lemas,... dan mereka yang mati dalam kebakaran…”
Manakala hadis Rasulullah saw di dalam Abi Daud dan Musnad Ahmad pula memberikan kehebatan kepada para pejuang Islam yang kini sedang berada di ambang rahmatNya;
مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ
“Barangsiapa yang dibunuh sebab mempertahankan hartanya maka ia mendapat syahid, barangsiapa yang dibunuh sebab mempertahankan keluarganya maka ia mendapat syahid, barangsiapa yang dibunuh sebab mempertahankan agamanya maka ia mendapat syahid…”
Kematian mereka merupakan kematian terindah, walaupun tragis dan boleh menimbulkan trauma jika dibayangkan saat kematian tersebut namun rahmat Allah lebih besar untuk mereka, khasnya warga MH370 yang kini sedang aman seumpama di dalam dakapan ibu sambil menunggu tiupan sangkakala kedua yang akan membangunkan semua manusia untuk ke padang mahsyar menghadapi Hari Perhitungan.
Wahai para pejuang di Bumi Kinanah, kamu sedang berada di ambang syahid yang sering kamu laungkan, kamu telah bertemu jejak yang ditinggalkan Asy-Syahid Sayid Qutb, bahkan kamu sedang dalam senarai Allah untuk menyertai ribuan syuhadak di Bumi Kinanah yang telah menyirami Bumi Kinanah dengan darah syuhadak seawal darah Al-Banna sehingga tragedi Raba’ah.
Bumi Kinanah, sesuai benar gelaran itu, “Bumi Yang Menjadi”. Mudah-mudahan bumi Mesir yang dikuasai Islam di zaman Sayidina Umar tanpa pertumpahan darah di seluruh wilayah melainkan Iskandariah itu semakin subur Islamnya dengan siraman darah syuhada. Wahai Kinanah, Islam datang kepadamu tanpa pertumpahan darah, kamu menerima Islam dengan perdamaian melainkan tentera Romawi di Iskandariah, tetapi setelah seribu tahun Islam bertapak kukuh dengan pasakan padu Al-Azhar pula, kini Islam bermandikan darah untuk ditegakkan di bumimu….
Kami diiringi seluruhnya dengan jutaan doa dan pengharapan yang terbaik buat mangsa tragedi MH370 dan AL-Minya: 529. Pelbagai bacaan Al-Quran mengiringi mereka, semuanya ini memberikan satu gambaran awal kemuliaan mereka. Tragedi yang menimpa mereka menyebabkan ummah bersatu dengan tangan yang penuh pengharapan mendoakan kebahagiaan mereka.
Yang tinggal ialah kita yang masih tidak tahu destinasi manakah berakhirnya denyutan nyawa kita, bagaimanakah tercabutnya nyawa kita? Adakah dengan rentapan malaikat maut...di saat sedang terkinja-kinja dengan kelalaian yang diaktifkan lagi dengan dadah?
Yang tinggal ialah kita yang perlu mengikut segala acuan Allah dan Rasul-Nya bagi memastikan kematian kita juga kematian terindah, kematian terpilih.
Sesungguhnya kita kini sedang berada pada zaman fitnah, Nabi dihina di tengah-tengah keghairahan ummah berselawat tetapi tiada tindakan tuntas. Muslim yang hanya pada nama berpesta syaitan di saat ummah menadah tangan beristisqa’ dan bersolat hajat. Pemerintahnya sibuk melayan 29 juta pelancong yang dijunjung dengan pelbagai konsert dan acara yang memanggil murka Allah.
Yang tinggal ialah kita yang akan meneruskan perjuangan para syuhada dan bakal syuhada Al-Minya: 529. Ayuh ummah, bersama kita meneruskan perjuangan memartabatkan Islam.
Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan.
No comments:
Post a Comment