- Mar 22, 2014
- ANIS NAZRI
KAJANG: Sehari sebelum pengundi Kajang membuat pilihan untuk memilih wakil rakyat, kempen ganas dan kotor terus mencemari kempen pilihan raya kecil Dun Kajang.
Awal pagi tadi, sebutir molokov cocktail didapati mencemari bilik gerakan PKR dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
Insiden tersebut yang dipercayai berlaku sekitar jam 3 hingga 6 pagi itu berlaku di Bilik Gerakan Taman Kajang Baru, bagaimanapun tidak meletup.
Ketua Jentera Daerah Mengundi Taman Kajang Baru, Dr. Xavier Jayakumar berkata ketika kejadian, tiada sesiapa berada di bilik gerakan tersebut setelah kebanyakan petugas parti baru meninggalkan bilik gerakan itu kira-kira 2.45 pagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media, di Bilik Gerakan Utama di Sungai Sekamat, petang ini.
Jelas Xavier, biarpun botol tersebut hanya terbakar, namun tidak meletup, ia tetap menggambarkan kebimbangan atas keselamatan petugas parti sepanjang kempen pilihan raya kecil ini.
"Memang botol tersebut terbakar, tapi kami tetap bersyukur kerana ia tidak meletup. Juga tiada petugas kita berada di dalam bilik tersebut," tegas beliau kepada media.
Menjangkakan kempen sedemikian akan berterusan, lebih-lebih lagi dalam tempoh terakhir kempen ini, Pakatan Rakyat bertindak membuat laporan polis pada jam 11 pagi tadi.
Laporan polis tersebut dibuat oleh ketua bilik gerakan tersebut, Anuar Norazlan bagi meminta pihak berkuasa segera menyiasat dalang di sebalik kejadian tersebut.
Dalam pada itu, petugas Pakatan Rakyat turut menahan beberapa orang yang dipercayai petugas BN ketika sedang giat memasang kain rentang yang memburuk-burukkan calon pakatan.
Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, berkata pihaknya telah membuat laporan polis seawal jam 5 pagi tadi berhuhung kejadian tersebut.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata BN perlu mengingati semula pesanannyang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga Pengarah Pilihan Raya BN N25 Kajang, Tan Sri Muhyidin Yassin.
"TPM ada menyatakan BN akan berkempen secara gentleman. Tetapi kita tengok saat akhir ini, semakin banyak kain rentang berbentuk provokasi dipasang sekitar Kajang ini," kata beliau.
Justeru, Fahmi menggesa BN untuk berhenti menjalankan kempen sedemikian, sebaliknya memanfaatkan tempoh yang tidak sampai 24 jam ini untuk berkempen secara politik sihat dan matang.
No comments:
Post a Comment