Oleh Mohd Farhan Darwis March 22, 2014
Calon
PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Ismail hari ini berkata beliau tidak tahu jika pertukaran jawatan
menteri besar Selangor akan berlaku selepas Pilihan Raya Kecil (PRK)
DUN Kajang berakhir.
Presiden PKR itu berkata, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih lagi kekal
sebagai menteri besar di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) itu.
“Khalid masih lagi menteri besar. Tak, saya tidak tahu (akan berlaku
pertukaran menteri besar),” katanya kepada pemberita pada sidang media
di Bilik Gerakan PKR di Kajang, petang tadi.
Dr Wan Azizah menggantikan suaminya, yang juga Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR di DUN Kajang selepas Anwar
terlucut kelayakan bertanding apabila Mahkamah Rayuan menjatuhkan
hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas kesalahan meliwat bekas
pembantunya.
Anwar sebelum ini dikatakan akan menggantikan Khalid sebagai menteri
besar sekiranya beliau menyertai pentadbiran kerajaan negeri Selangor
selepas memenangi kerusi DUN Kajang.
Anwar juga penasihat ekonomi Selangor.
Dr Wan Azizah akan bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN),
Datin Paduka Chew Mei Fun dalam pertandingan satu lawan satu esok.
Kerusi DUN Kajang sengaja dikosongkan penyandang, Lee Chin Cheh
daripada PKR untuk membolehkan Anwar menyertai barisan kepimpinan negeri
Selangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan Elizabeth Wong turut
menegaskan perkara itu tidak berbangkit ekoran isu itu tidak pernah
dibawa dalam mana-mana perbincangan.
"Saya sebagai exco kerajaan negeri dan juga ahli Majlis Pimpinan Pusat
PKR ... tiada sebarang perbincangan untuk menukar jawatan menteri besar.
"Apa yang kita sasarkan adalah untuk menang dengan majoriti tinggi," katanya dalam sidang media tersebut.
PRK DUN Kajang dilakukan selepas PKR berkata wujudnya ancaman terhadap
kerajaan Selangor oleh Umno, sekaligus memaksa mereka melaksanakan
"Langkah Kajang" bagi memastikan mereka terus memerintah Selangor.
Pemimpin PR berkata, melalui perkara itu, PR berazam menawan Putrajaya
dengan menjadikan keputusan PRK DUN Kajang sebagai referendum mereka
dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – 22 Mac, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment