Bapa kepada seorang penumpang pesawat MH370 yang hilang memfailkan
permohonan kepada Mahkamah Amerika Syarikat semalam, memohon 26 jenis
maklumat dan rekod daripada syarikat penerbangan dan pembuatnya Boeing,
lapor Bloomberg.
Permohonan itu dibuat oleh Januari Siregar - bapa kepada penumpang
Indonesia, Firman Chandra Siregar - yang difailkan di Mahkamah Negeri
Illinois di Chicago, boleh jadi menjadi permulaan kepada tindakan saman.
Ia difailkan oleh sebuah syarikat guaman yang berpangkalan di Chicago, Ribbeck Law Chartered bagi pihak Januari.
Bapa itu memohon 26 jenis maklumat, termasuk data yang memungkinkan
kecacatan pesawat buatan Boeing 777-200 ER atau komponennya, cara
syarikat penerbangan melatih kakitangannya dan maklumat berkaitan
kargonya, lapor Bloomberg.
Rakan kongsi firma guaman itu, Monica Kelly dipetik sebagai berkata,
Januari menuntut "kemungkinan kelemahan reka bentuk dan pembuatan yang
menyumbang kepada kemusnahan ini."
Pesawat MKH370 hilang daripada radar selepas berlepas dari Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing dengan 239
penumpang dan anak kapal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Isnin lalu kemungkinan
pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi, tanpa ada yang selamat.
Keluarga mangsa di Beijing mengkritik kerajaan Malaysia kerana membuat
kesimpulan pesawat ini berakhir di Lautan Hindi tanpa ada yang selamat
dengan berkata, belum sampai waktunya kerana tiada sebarang serpihan
ditemui hingga kini.
Najib sebelum ini berkata, kesimpulan itu dicapai berdasarkan data satelit daripada Inmarsat.
Firma guaman itu berkata, petisyen mendapatkan bukti itu juga yang
dibuat ketika permulaan tindakan saman ke atas Penerbangan Asiana
selepas terhempas di lapangan terbang San Francisco yang mengorbankan
tiga orang dan mencederakan 181 penumpang yang lain pada 6 Julai tahun
lalu, lapor Bloomberg.
"Itulah kebiasaannya kita memulakan proses," kara Mervin Mateo,
jurucakap firma itu sebagaimana yang dipetik semalam:"Kami mempunyai
pakar tersendiri dalam penyiasatan ini."
"Jika bangkai tidak ditemui, kita akan ada sedikit bukti sahaja atau
tiada langsung, tindakan akan bergantung kepada siasatan firma dan
maklumat berdasarkan kemalangan kapal terbang yang lepas.
"Kami fikir mungkin ada sesuatu yang tidak kena kepada pesawat dan
latihan kepada juruterbang," kata Mateo, tanpa menolak kemungkinan
rampasan atau sebab lain sehingga menghilangkan pesawat itu.
Saman terhadap Asiana masih berjalan selepas firma guaman memohon kes
itu dipindahkan ke mahkamah negeri. Boeing sebelum ini memindahkan kes
itu kepada mahkamah persekutuan, dengan hujah laluan penerbangan itu
adalah di atas air yang dikuasai oleh pihak berkuasa persekutuan.
Boeing, kata Bloomberg, tidak mahu memberikan sebarang komen manakala MAS belum memberikan maklum balas.
Juga ada laporan yang mengatakan keluarga boleh menerima
sekurang-kurangnya US$175,000 (RM578,025) atau lebih pampasan daripada
MAS berdasarkan Konvensyen Montreal 1999.
Persetujuan antarabangsa menetapkan syarikat penerbangan perlu membayar
pampasan kepada setiap penumpang yang mati atau cedera dalam kemalangan,
walaupun sebabnya tidak diketahui.
Jika syarikat penerbangan tidak boleh menunjukkan satu-satunya punca
pesawat hilang kerana pihak lain, seperti pembuatnya atau pengganas,
tanggungannya berdasarkan ketetapan itu adalah lebih tinggi, kata
laporan itu.
Penuntut juga dikatakan akan mempunyai peluang lebih besar jika boleh
menarik kes ini ke Amerika, di mana "pampasan dan penyelesaiannya akan
lebih besar berbanding negara Asia".
"Semua orang mahu pergi ke Amerika," kata seorang peguam firma guaman New York, Dorothea Capone kepada Bloomberg. ~tmi
No comments:
Post a Comment