Catuan air di S'gor hingga Ramadhan? Ini penjelasan exco
ISU lanjutan catuan air di negeri Selangor terus mendapat perhatian banyak pihak termasuk yang cuba mengambil kesempatan politik melalui isu ini.
Oleh kerana Selangor adalah negeri dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat, isu catuan air di negeri ini menjadi modal politik bagi sesetengah pihak dengan memberi gambaran puncaya adalah kelemahan pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor.
Serangan dalam isu ini dibuat sehingga menutup maklumat bahawa catuan juga dibuat di negeri-negeri di bawah pentadbiran BN seperti Johor, Negeri Sembilan dan Perak.
Lebih menimbulkan keresahan kepada rakyat, apabila ada laporan menyebut catuan di negeri ini akan berlanjutan sehingga bulan Ramadan atau penghujung bulan Jun ini.
Bagi mendapatkan penjelasan isu ini, wartawan Harakahdaily Mohd Nazri Abdullah bersama jurukamera Shukri Mohamad mewawancara Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus bin Hairi di pejabatnya semalam.
HARAKAHDAILY: Bagaimana kerajaan Selangor boleh memutuskan untuk membuat catuan bekalan air di negeri ini?
DR AHMAD YUNUS (DAY): Asas kita buat catuan ini adalah apabila berlaku musim kering secara menyeluruh bukan sahaja di Selangor tapi di seluruh negara, yang tidak berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.
Sejak bulan Januari hingga Mac, kita tidak mengelamai hujan khususnya di Selangor. Maka berlaku penyusutan air di empangan-empangan khususnya di empangan Sungai Selangor.
Paras kawalan di empangan adalah 45 peratus. Apabila kita dapati paras mula turun bawah 50 peratus dan maklumat metrologi kata musim kering ini akan berpanjangan, maka kerajaan negeri memikirkan perlu tindakan segera dengan melakukan pencatuan air. Kita memohon kelulusan dari (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) SPAN. Ekoran itu kita lakukan catuan.
Bagaimanakah keadaan semasa paras empangan-empangan di Selangor sekarang ini?
DAY: Kita memberi keutamaan kepada paras empangan Sungai Selangor itu sendiri kerana ia membekalkan lebih 60 peratus keperluan air kepada selangor. Menteri Besar juga telah mengatakan bahawa jika paras empangan ini naik ke paras 55 peratus insya Allah catuan ini akan ditamatkan.
Alhamdulillah pada April ini hujan mula turun. Malangnya ia tidak turun di kawasan tadahan termasuk di empangan Sungai Selangor. Beberapa empangan kita yang lain mula dituruni hujan termasuk Langat, Semenyih dan lain-lain. Di empangan ini ada peningkatan. Cuma di empangan Sungai Selangor dan Klang Gate tidak berlaku hujan.
Di empangan Sungai Selangor, kita buat pembenihan awan tapi tidak banyak membantu. Dua tiga hari lepas, paras empangan Sungai Selangor 37.79 peratus. Dengan hujan agak lebat sehari dua ini, saya rasa sekarang sudah menghampiri 40 peratus. Bagaimanapun saya tak dapat pastikan lagi, kena cek dulu.
Rakyat mula merungut apabila kerajaan negeri memutuskan melanjutkan catuan hingga penghujung April ini. Malah ada juga yang sehingga lima enam hari baru dapat air. Apa komen YB?
DAY: Kita maklum keperluan rakyat sangat mendesak lebih-lebih lagi rumah ibadat, sekolah, hospital dan sebagainya yang keperluannya cukup besar. Kita jangka kediaman akan dapat air enam jam selepas kunci air dibuka.
Ada juga kita dapati sampai lima, enam hari tak dapat air disebabkan oleh tekanan yang masih rendah. Kita pun masih tak dapat jangka berapa jumlah yang sebetulnya yang patut dilepaskan untuk dapat sampai ke kediaman paling hujung. Dan kita juga khuatir bila kita tutup dan kita buka balik, ia memberi tekanan dan paip pula pecah. Ini pun kita ambil kira juga.
Apa perancangan kerajaan negeri disamping pelan catuan yang diadakan ini dalam usaha meningkatkan paras empangan?
DAY: Kita jangkakan hujan akan turun sehingga pertengahan bulan Mei. Kita juga khuatir sebab selepas itu akan mula semula musim kemarau. Sebab itu kita berhati-hati dalam membuat keputusan.
Kalau hujan berlaku dengan konsisten, mungkin kita boleh capai paras 55 peratus pada pertengahan Mei. Dalam keadaan hujan biasa, jika kita mahu untuk sampai penuh empangan Sungai Selangor, mencapai paras selesa iaitu 80 hingga 90 peratus, ia memerlukan tempoh enam hingga lapan bulan.
Kalau hujan tak turun di kawasan, kita juga manfaatkan hujan yang berlaku di muka sauk. Kita boleh ambik air muka sauk itu bawa ke loji rawatan untuk kita gunakan.
Pada masa sama kita juga akan manfaatkan sumber air bawah tanah. Kita juga telah memulakan projek Hybrid off River Augmentation System (Horas). Kita buat satu tasik dan ambil air dari anak sungai yang berlebihan arahkan ke situ untuk jadi takungan. Kita dalam peringkat permulaan pembinaan di sungai Darah Kuala Selangor dan kita jangka tahun depan sudah boleh digunakan. Ianya akan mendapatkan 600 juta liter sehari (JLH).
Tadi YB kata ada berlaku kenaikan paras air di empangan-empangan lain selain empangan Sungai Selangor. Tidakkah boleh untuk ambil air dari empangan ini untuk disalur ke kawasan terjejas tanpa menunggu empangan Sungai Selangor sampai 55 peratus?
DAY: Sistem sedia ada ini ada kekangan. Bukan dalam bentuk 'triangle'. Kita tak boleh nak ambil dari empangan lain menampung empangan yang tak cukup air. Sebab itu inisiatif kerajaan negeri lakukan perstrukturan semula air supaya sistem air ini dalam bentuk 'circular' atau 'triangle' supaya boleh diambil dari empangan lain jika satu-satu empanganitu menyusut.
Dalam keadaan sekarang ini, apa nasihat YB kepada rakyat dalam usaha untuk sama membantu kerajaan negeri.
DAY: Disamping catuan, kita harap rakyat juga mainkan peranan guna air secara berhemah. Kalau kita buat catuan dan rakyat tidak menggunakan secara berhemah dia tidak membantu keadaan kita hari ini. Saya tak nafikan rakyat mula simpan air, tapi penggunaan biar secara berhemah.
Sebagai didikan juga kepada rakyat, kalau pada diri saya sendiri lah, dalam keadaan tiada air paip tetapi hujan lebat, kita boleh simpan air hujan untuk kegunaan selain makan minum. Ambil peluang masa hujan ini. Jangan bergantung 100 peratus pada air paip. Kalau saya sendiri tidak ambil air hujan ini dalam keadaan air paip saya tak ada, apa yang saya boleh kata pada diri saya selain 'malas'.
Kepada pemimpin ataupun rakyat, saya hanya mahu mengingatkan begini. Air ini satu anugerah cukup besar oleh Allah SWT. Kita juga dilaporkan bahawa air bawah tanah masih lagi banyak. Jadi isu air di Selangor ini bukan isu kritikal tetapi isunya adalah pengurusan. Dengan keadaan kemarau yang belaku ini mengajar kita bagaimana kita harus berjimat dan sebagai seorang Islam kita harus memohon kepada Allah dengan banyak bertaubat, berpuasa tiga hari dan solat istisqa (mohon hujan).
(HD)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jangan lupa, mari beramai-ramai solat minta hujan.
No comments:
Post a Comment