Dr Dzulkefly Ahmad  
SEHINGGA 17 Ogos ini atau esok, semua pimpinan Pas khususnya di Selangor diarah untuk tutup mulut dan tidak mengeluarkan sebarang pendirian dan kenyataan terhadap krisis politik di Selangor dan pada masa ini juga mereka perlu patuh kepada keputusan Majlis Syura Ulama Pas memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Namun kurang tiga sebelum tarikh itu, Lajnah Politik Pas pula bermesyuarat dan memutuskan untuk menolak cadangan supaya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.

Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat merangkap Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad untuk mengulas lanjut kemelut politik yang dihadapi Pas untuk terus kekal relevan dalam landskap politik di negara ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Pas melihat krisis politik di Selangor memberi kelebihan atau bencana kepada Pas untuk kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor selepas dirampas oleh Menteri Besar dari Adun Bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim?


DZULKEFLY: Saya telah nyatakan pada mulanya krisis ini saya sangat tertekan dengan cara kesemua komponen dan pimpinan parti dalam PR mula menembak sesama sendiri.

Ketika itu saya mengeluarkan beberapa kenyataan menyebutkan istilah sebagai PR dalam kemelut memusnahkan PR sendiri.

Lalu saya menekankan betapa pentingnya Majlis Presiden bersidang atau bermesyuarat untuk segera menangani kemelut itu.

Alhamdulillah esoknya itu keluar kenyataan mengingatkan semua pimpinan supaya berhenti daripada menembak sesama sendiri.

Setelah Tan Sri Khalid dipecat, berlaku krisis (pemecatan enam Exco PR Selangor) yang saya istilahkan sebagai ‘ribut yang sempurna’.

Lalu ketika itu juga tindakan parti-parti komponen itu jelasnya nampaknya sedikit berbeza, Pas semacam agak terasing daripada DAP dan PKR.

Tentunya ia telah mencetuskan pelbagai persepsi yang gusar dan khuatir, tidak memahami kenapa Pas mengambil tindakan-tindakan seperti ini.
Saya mahu jelaskan terdapat dua perkara sebagai penjelasan dan pencerahan daripada saya untuk memahami apa yang berlaku.

Pertama saya ingin tegaskan, meskipun dalam tindakan setelah berlaku pemecatan dan Tan Sri Khalid menghadap Sultan Selangor seraya mengatakan bahawa beliau masih mendapat sokongan dan Tuanku memperkenankan Tan Sri Khalid terus memerintah sekaligus PR telah hilang kerajaan ketika itu.

Kerajaan negeri Selangor itu sudah menjadi kerajaan Tan Sri Khalid dan ketika itu jugalah empat Exco dari Pas mengambil pendirian yang agak berbeza.

Undang-undang Tubuh Negeri mensyaratkan sekurang-kurang empat Exco, maka mereka boleh meneruskan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Saya memberikan tafsiran ini meskipun dilihat sebagai satu yang negatif kepada Pas tetapi saya pernah menyebut dalam penulisan awal bahawa dengan ‘campur tangan langit’ sahaja dapat mengelakkan PR daripada hancur apabila pimpinan PR mula menembak sesama sendiri.

Bagi saya langkah ini walaupun tidak nampak sebagai satu cemuhan daripada rakan-rakan dalam PR, saya berani menyatakan bahawa langkah ini sangat penting untuk mengelakkan kerajaan negeri Selangor ini dirampas kuasa mengikut pintu belakang (back door coup d'etat).

Apabila empat Exco kami ini menyatakan sokongan kepada Tan Sri Khalid dengan meletakkan syarat supaya Tan Sri Khalid tidak akan melantik mana-mana Adun dari Umno sebagai Exco, sekiranya berlaku maka mereka akan letak jawatan serta-merta.

Langkah ini saya fikir sangat berani dan konvensional sekaligus mencetuskan pelbagai persepsi terhadap Pas, namun saya berani mengatakan bahawa langkah itu telah menyelamatkan Pas daripada dirampas kuasa oleh Umno.

Saya juga mendengar daripada sumber-sumber sahih bahawa ada pihak mengatakan Umno akan dilantik oleh Tan Sri Khalid untuk mengambil alih kesemua kerusi Exco yang dikosongkan oleh wakil PR itu.
Ketika episod kedua berlaku yang diambil oleh PKR, kita dapati sekali lagi Pas menyelamatkan keadaan dengan pintu depan.

Dua Adun Pas Selangor yang mempunyai komitmen dan keyakinan diri mereka bahawa mereka bertindak dengan semangat dalam lingkungan dasar yang diputuskan dalam Muktamar Pas untuk mengukuhkan PR.

Mereka membuat ijtihad dan mereka berdepan dengan kecaman dan pelbagai tuduhan dari luar dan dalam, maka saya anggap satu tindakan itu tidak konvensional, tidak dijangka dan sangat luar biasa.

Dengan itu sekaligus mengizinkan PR membuka 'pintu depan' kepada apa yang ada pada hari ini nyata menjadi satu cabaran kepada Tan Sri Khalid bahawa kononnya bahawa dia dapat suara ramai (majoriti) dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.

Jadi tinggal 30 suara Adun jelas kepada Tuanku bahawa ia membuka isyarat jelas mengikut Undang-undang Tubuh Negeri, kita tahu siapa kerajaan di Selangor ini.

Walaupun kenyataan Tan Sri Khalid sangat mengejutkan yang mengatakan bahawa tiada kerajaan PR dan tidak wujud PR di Malaysia kerana tidak berdaftar kononnya.

Selama ini dia (Khalid) berdiri di atas apa ya? Itu perkara yang ditanya oleh rakyat. Sekali gus penafian Tan Sri Khalid itu tidak mengizinkan Sultan Selangor membubarkan Dun Selangor.

Dua perkara itu sangat penting bagi kami dalam Pas yang mahu difahami kerana banyak cemuhan kami terima kononnya kami telah keluar dari PR, kami menyokong orang yang sudah dipecat dan sebagainya.
Politik sangat kompleks bukan boleh dibaca selapis tetapi beberapa lapis, beberapa strategi yang “multipronged”.

Akhirnya yang penting bagi PR ialah melakukan transisi kepada pertukaran Menteri Besar Selangor dan PR kembali memerintah Selangor.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah pendirian Pas tidak konsisten selepas menyokong Tan Sri Khalid kemudian mahu meletak jawatan jika Adun Umno dilantik menjadi Exco?

DZULKEFLY: Sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam, kita juga ada perhitungan-perhitungan, kita boleh terangkan secara jelas, sering kali perhitungan strategik itu yang dilihat dalam tindakan dan amalan kami termasuk pendekatan yang telah kami lakukan.
Saya kira dalam hal sangat penting, akhirnya rakyat boleh lihat dengan apa yang dilakukan oleh empat Exco Pas itu, ia tidak mencetuskan satu keadaan huru-hara.

Ada yang mengatakan boleh saja diMagerankan negeri ini, atau boleh diambil alih atau boleh saja dibubarkan DUN Selangor sekaligus boleh mengundang Pilihan Raya Negeri serta-merta.

Kami mahu tindakan-tindakan kami dilihat dengan segala rendah hatinya, bukannya kami mahu jadi hero, perhitungan kami itu ada asasnya dan terbukti apa yang dilihat pada hari ini.
Kepelbagaian tindakan itu kami berharap akan dapat difahami oleh kawan dan lawan.


SINAR HARIAN ONLINE: Pas dikatakan lambat menyatakan pendirian dalam krisis Menteri Besar ini sedangkan parti komponen lain dalam PR menyatakannya lebih awal.

DZULKEFLY: Itu saya tidak boleh beri jawapan yang tepat, perhitungan itu dalam pemikiran Presiden Pas, walaupun saya tidak setuju, tetapi saya menghormati pandangan beliau itu dan saya yakin 17 Ogos nanti kita akan buat keputusan begitu cermat dan teliti setelah mendapat pelbagai pandangan.

Saya juga berpandangan kalau boleh kita mengadakan mesyuarat dengan segera kerana isu ini melibatkan pengurusan krisis.

Pas nampaknya tidak pandai mengurus krisis walaupun kita ada seorang pakar iaitu Dr Mujahid Yusof Rawa di mana PhDnya dalam “Crisis Management”.

Pas ini dilihat seperti berlengah-lengah, tidak tahu erti krisis, saya kira tuduhan-tuduhan itu bolehlah kita terima sebagai muhasabah dan peringatan bagi kami.
Sementara saya mahukan perkara ini disegerakan, saya masih menghormati pendirian Presiden Pas yang mungkin ada perhitungan-perhitungan tertentu.

Hanya tinggal 24 jam lagi dan kita akan bertemu dengan kenyataan dan realiti dalam membuat keputusan yang sangat besar untuk masa depan Pas dan PR.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Dr melihat tindakan Tan Sri Khalid itu yang membuat keputusan agak drastik memecat enam Exco DAP dan PKR disebabkan enggan bekerjasama dengannya?

DZULKEFLY: Saya kira beliau telah menjadi seumpama seekor harimau yang cedera, ia sangat ganas, dan juga kerana itu orang tahu beliau melanggari prinsip demokrasi.
Kalau kita sudah hilang kepercayaan oleh parti kita sendiri dan gabungan politik, maka kita tidak ada lagi moral untuk terus mentadbir sebuah negeri mahupun negara.

Perkara itu sudah jelas dalam tindakan-tindakan, menurunkan ketua negara itu bukannya sesuatu yang pelik, ia telah berlaku berulang kali dan kali ini berlaku dalam PR.

Jangan dianggap sebagai di luar daripada amalan demokrasi, mengikut peruntukan pun dia mesti lepaskan jawatan, tapi nampaknya Tan Sri Khalid pula lebih mengganas.

Kita tahu bahawa hari-harinya sudah tinggal beberapa hari untuk dihitung. Kita juga menunggu 27 Ogos ketika Tuanku balik, perkara ini kita akan terus hadapi, ketika itu pun Pas sudah membuat keputusan.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Pas menolak khabar angin mengenai kerajaan perpaduan akan menggantikan kerajaan negeri Selangor?

DZULKEFLY: Ini adalah politik, gelanggang politik itu dikatakan bermacam kemungkinan boleh berlaku dan mampu dilakukan.
Saya terlibat dalam politik sejak sekian lama, bagi saya ia bukan satu kejutan atau aneh di luar jangkaan, perkara itu perlu diambil kira oleh mana-mana pimpinan politik.

Persoalannya bagaimana kita menangani dan menggarap kemelut itu yang penting. Sesiapa pun boleh melontarkan apa jua cadangan, resepi, formula dan sebagai, tetapi inilah yang akan menguji kesepaduan, kematangan dan kedewasaan PR sebagai satu gabungan parti politik.

Apakah mampu kita atasi semua ini dan pada akhirnya keluar dengan satu kekuatan yang lebih ampuh, lebih mampu dan lebih berpadu.

Dengan pengalaman ini tentunya banyak sisi pandang dan iktibar yang perlu kita ambil dan kita kena perkemaskan tadbir urus dan cara-cara kita membuat penyelesaian pengurusan krisis seperti ini.

Krisis ini saya kira agak besar yang pernah berlaku dalam pengalaman kami dalam PR, mungkin kita ada dulu sebelum ini dalam Barisan Alternatif (BA), tetapi saya tidak merasakan ia akan menggugat PR.

Saya berpandangan bahawa Pas akan kembali meletakkan asas pendekatan politik kami dengan apa yang diputuskan bersama dalam beberapa muktamar Pas lalu secara berurutan dan berterusan menekankan betapa pentingnya untuk kita terlibat dalam tahaluf siyasi atau muafakat politik PR sebagai hanya satu wadah yang mampu menggugat, menyemak imbang dan dengan izin ALLAH mampu menumbangkan Umno dan BN.

Inilah wadahnya, jika tiada PR, rakyat di Malaysia ini sudah hilang satu kuasa menyemak imbang dan mencabar.
Sistem dua parti itu adalah sangat penting dalam kehidupan sesebuah politik yang sifatnya bertenaga dan punya sifat semak imbang.

Bayangkan jika tiada PR, maka saya berani mengatakan sampai kiamat negara ini akan ditadbir oleh Umno-BN dengan segala kebejatan kerana tiada pencabarnya.

Ini meletakkan demokrasi di negara kita dalam keadaan sangat tempang kerana ia tidak dapat mewujudkan sistem dua parti.
Dalam Islam pun dua sistem parti itu dikatakan sebagai prinsip dalam Al-Quran, prinsip Sunnatul Tadafuk.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah mungkin kerajaan campuran akan diwujudkan di Malaysia susulan krisis MB Selangor ini? Adakah konsep kerajaan itu boleh diterima?

DZULKEFLY: Saya memandang kerajaan campuran ini sebagai sesuatu yang berlawanan dengan apa yang kami mahukan sebagai pola sistem dua parti dalam gabungan politik.
Pas pernah punya pengalaman dalam Perikatan atau BN, jadi ia mengimbau pengalaman yang cukup pahit bagi kami, nampaknya lawan kami hanya mahu memanggil kepada gabungan ketika mereka sedang berdepan dengan tekanan dan kelemahan.

Tetapi ketika mereka kuat nanti, mereka akan tendang kami keluar, tetapi lebih penting bagi saya ialah saya mementingkan persoalan mewujudkan sistem dua parti.

Sangat bahaya seandainya berlaku gabungan antara Umno dan Pas kerana gabungan Melayu dan Islamis itu akan membawa satu pola yang dikatakan Melayu Islamis Supramasis satu doktrin yang sifatnya itu boleh membawa kepada pertentangan kaum, agama dan budaya.

Bagi saya untuk bergerak kehadapan ia (kerajaan campuran) tidak baik bagi sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, kaum dan budaya.

Saya rasa lebih sesuai dengan Islam dengan sifat demokrasi dalam Islam itu sendiri, ia kekal sebagai sistem dua parti, yang sana ada Umno, di sini ada Pas, di sana juga ada parti pelbagai kaum dan di sini juga ada begitu.

Itulah semak imbang yang cantik, cumanya kami mengingatkan semasa orang politik supaya jangan jadikan gelanggang politik ini hingga menjadikan satu sifatnya yang memusnahkan dan “zero sum game”.

Hal ini tidak dalam semangat politik Islam sebenar-benarnya. Siapa pun pemerintah, pembangkang menyemak dan mungkin suatu hari nanti akan bertukar kuasa ini.

Saya mengharapkan ia menjadi kematangan politik di negara ini yang langsung akan mengangkat keupayaan dan daya saing negara dengan segala sumber yang kita miliki.

SINAR HARIAN ONLINE: Baru-baru ini Merdeka Centre ada menyebut bahawa krisis politik di Selangor banyak menjejaskan keyakinan rakyat negeri itu ke atas PR?

DZULKEFLY
: Saya terpaksa mengakui sedikit sebanyak ia telah menjejaskan kepercayaan dan keyakinan rakyat khususnya pengundi sama ada pengundi tegar atau baharu kepada PR termasuk kepada Pas khususnya.

Kesemuanya saya pernah tweet sebelum ini, bahawa adat alam ini, ada panas, ada hujan, sekali sekala ada ribut. Tetapi ribut itu jugalah adalah penting menangani jerebu-jerebu yang tercetus.
Kadang kala jerebu itu diperlukan untuk membawa pergi segala pencemaran alam.

Begitulah pada sifat alam itu, saya dan kawan-kawan dalam PR khususnya Pas mengakui banyak penulisan yang dibuat, kadang kala orang bertanya, adakah benar “Pas for All”, nampak lebih kurang macam Umno dan sebagainya.

Apabila reda ribut ini, mereka akan nampak perkara sebenarnya, komitmen kami kepada Islam sebagai agama menaungi dan memberi keadilan semua.

PR adalah wadah untuk membawa satu landskap politik ke arah dua sistem parti ini adalah sangat penting untuk kita kekalkan.

Saya tidak kata PR mesti ambil alih Putrajaya, sama ada kami berjaya atau tidak, itu hanya ALLAH saja tahu dan takdirkan.

Tetapi saya minta supaya rakyat memahami adalah kepentingan untuk kita kekalkan sistem dua parti ini dan jangan kembali kepada sistem dominasi satu parti yang tidak mengizinkan negara ini diangkat sebagai negara maju kerana segala kebejatan tadbir urus sebuah kerajaan yang tidak disemak imbang oleh pembangkang yang kuat.


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah pembangkang di Malaysia itu kuat, teruji dan terbukti?

DZULKEFLY: Saya kira inilah waktu-waktu dan era pembangkang paling kuat di negara ini.

 Saya berani mengatakan bahawa kita tidak pernah melihat kekuatan dan kesepaduan pembangkang di negara ini kecuali apa yang sedang berlaku dalam PR sekarang.

 Inilah gabung pembangkang yang terkuat di negara ini, jadi saya mengharapkan kita dapat mengekalkan kekuatan ini, momentum ini dan gagasan ini supaya ia tidak kembali kepada sistem dominasi satu parti kerana jika ia menyebabkan negara pincang dan tempang.


SINAR HARIAN ONLINE: Cubaan PR untuk berdaftar sebagai pertubuhan yang sah di negara ini dan hal ini telah dipertikaikan oleh Tan Sri Abdul Khalid. Adakah kekangan ini terus memberi cabaran kepada pimpinan PR membawa gabungan ini dalam sistem dua parti di negara ini?

DZULKEFLY: Saya yakin perkara itu sesuatu yang perlu kita tangani, namun saya sendiri terlibat dalam usaha mendaftarkan PR, suatu masa dahulu dan sebelum pernah mendaftar Barisan Alternatif, saya juga terlibat dalam sekretariat tersebut.

 Barisan Alternatif itu merupakan pengalaman pertama saya dan pengalaman kedua dalam PR saya terlibat pada peringkat awal ketika itu bersama Datuk Zaid Ibrahim dan sekarang ini usaha yang sama diperbaharui oleh sekretariat baharu ini.

 Saya yakin kalau benar-benar Kerajaan Persekutuan ikhlas dan berjiwa besar, mereka seharusnya memberi laluan untuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengizinkan kami (PR) berdaftar sebagai satu gabungan.

 Saya mengharapkan perkara ini dapat diatasi dalam waktu seberapa segera kerana cemuhan bahawa kami ini adalah Pakatan tiruan dan sebagainya itu adalah sangat tidak adil.

 Di atas semangat untuk membangunkan negara bersama, izinkan PR didaftar sebagai sebuah gabungan yang sah di negara ini.


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah mungkin berlaku sekali lagi perpecahan gabungan pembangkang dalam PR sepertimana yang berlaku dalam Barisan Alternatif pada 2001?

 DZULKEFLY: Saya mengharapkan peristiwa itu tidak berulang dan berakhir begitu, dan 17 Ogos akan menentukan bagaimana Pas menangani seterusnya cabaran politik masa depan.