Sepanjang minggu lepas ramai telah mendoakan semoga Allah selamatkan Kerajaan PR Selangor. Dengan berbagai andaian, senario yang menakutkan telah dinukil oleh beberapa pimpinan dan penganalisis politik. Namun akhirnya, segala ketakutan dan kerisauan dilenyapkan dengan diambil beberapa tindakan oleh watak tertentu yang semestinya diilhamkan oleh Allah SWT.
Untuk mengelak terbentuknya ‘kerajaan minoriti’ antara UMNO dan TSKI sepertimana yang kononnya telah diperkenankan oleh DYMM Sultan Selangor (menurut TSKI), maka PAS mengekalkan ‘sokongan’ buat masa ini untuk TSKI. Empat Exco PAS kekal sebagai Exco dan jaminan diberi bahawa tidak akan ada Exco tambahan dari PAS mahupun UMNO. Empat orang Exco adalah jumlah Exco minima yang perlu dilantik untuk membentuk kerajaan. Sekiranya jawatan ini dikosongkan oleh exco PAS, maka kononnya TSKI akan meminta pekenan Sultan untuk melantik 4 orang Exco baru dari UMNO sambil mengekalkan beliau sebagai MB. Ini boleh dilakukan atas alasan parti PR masih berbalah satu sama lain berhubung calon MB sehingga tiada yang mendapat sokongan majoriti.
Maka tindakan PAS mengekalkan 4 exco mereka dan ‘sokongan’ mereka terhadap TSKI telah memintas kemungkinan ini. Atas tindakan 4 exco PAS dan PAS Selangor menutup ketat pintu belakang kepada UMNO menyertai atau mengambil-alih kerajaan Negeri Selangor, saya ucapkan tahniah.
MEMBUKA PINTU DEPAN UNTUK MASUKNYA KEMBALI KERAJAAN PR
Sambil pintu belakang ini ditutup rapat, tindakan dua ADUN PAS menzahirkan sokongan kepada DSWA sebagai MB Selangor telah membuka pintu depan seluas-luasnya untuk PR mengambil kembali kerajaan Selangor melalui pintu depan. Hakikatnya kerajaan yang terbentuk sekarang bukan kerajaan PR tetapi kerajaan TSKI yang mendapat sokongan ikhlas dan tanpa syarat; serta disokong UMNO/BN walaupun Exconya dari PAS. Keutamaan adalah untuk mendapatkan kembali kerajaan yang telah dibawa-lari pengkhianat PR, iaitu TSKI.
Dengan sokongan dua ADUN PAS, maka PR boleh kembali berkuasa dan tiada alasan munasabah untuk menghalang DSWA mengangkat sumpah menjadi MB dan dengan itu menegakkan kembali kerajaan PR Selangor. Ini adalah kerana terbukti sudah bahawa DSWA memperolehi sokongan majoriti ADUN di DUN Selangor.
Dengan itu terbukti juga bahawa TSKI telah menipu DYMM Sultan Selangor dengan dakwaan beliau mendapat sokongan majoriti. Seharusnya setelah terbukti TSKI seorang penipu dan telah menipu Sultan, maka TSKI beliau sepatutnya meletak jawatan sebagai MB secara baik dan bertanggung-jawab. Kecuali jika ada agenda tertentu?
MENIDAKKAN KEPERLUAN UNTUK DUN DIBUBARKAN
Sekiranya tiada mana-mana pihak mendapat sokongan majoriti, perletakan jawatan oleh TSKI boleh menyebabkan DUN dibubarkan sekiranya diminta oleh TSKI sebagai MB. Oleh yang demikian, Keperluan membubar DUN pada ketika ini telah tidak lagi releven. Tindakan pantas oleh 2 ADUN PAS bukan sekadar membuka pintu depan dengan seluas-luasnya untuk PR kembali memerintah di Selangor, tetapi juga menyebabkan tindakan membubar DUN tidak lagi satu merupakan satu pilihan yang perlu dipertimbangkan DYMM Sultan Selangor. Ini adalah kerana sudah ada yang mendapat sokongan majoriti!
KESIMPULAN
Maka dengan itu tindakan yang berbeza dan bercanggah oleh PAS Selangor dan kedua orang ADUNnya sebenarnya adalah bersifat saling membantu untuk ‘check-mate’ TSKI. Ianya satu rahmat yang tidak disangkai pada awalnya. Pepatah Inggeris menyebut ‘Blessing in Disguise’. Ini kerana yang terhasil, samada secara terancang oleh PAS atau kebetulan adalah:
- Pintu belakang ditutup rapat menghalang UMNO merampas kerajaan,
- Pintu depan dibuka luas untuk PR mengambil alih kerajaan dan
- 3. Pembubaran DUN tidak lagi releven!
Kita merancang dan Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang. Adakah ini jawapan Allah kepada solat hajjat dan doa untuk selamatkan kerajaan PR Selangor yang dilakukan oleh rakyat Selangor sejak krisis ini mula berlaku? Wallahu ’alam. Namun, marilah kita terus berdoa kesejahteraan Negeri Selangor dan semoga doa untuk selamatkan PR Selangor dimakbul Allah. Ameen.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
No comments:
Post a Comment