BISNES Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin terkejut dengan perhatian luar biasa media mesra kerajaan terhadap dakwaan pembangkang berkaitan tuduhan yang dilemparkan padanya.
Daim berkata beliau bersedia membantu dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap kepentingan perbankannya di luar negara.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan daripada pejabatnya berkaitan gesaan ahli politik pembangkang supaya SPRM mempercepat siasatan berkaitan perkara itu.
“Walaupun saya faham motif ahli politik PKR ini kerana mereka tidak tahu perkara lain selain politik dan membuat dakwaan tidak berasas, saya agak terkejut dengan perhatian yang diberikan kepada mereka oleh media mesra kerajaan,” kata Daim.
“TV3 tidak akan memberi walaupun sedikit masa siaran pada Pakatan, tetapi mengudarakan sidang media PKR tidak kurang daripada tiga kali. NST dan Utusan juga menyiarkan laporan itu.”
Semasa pilihan raya kecil Kajang baru-baru ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Daim terlibat dalam transaksi bernilai berbilion ringgit di Afrika dan Eropah timur menggunakan proksi.
April tahun lalu, ketua Pemuda PKR ketika itu Shamsul Iskandar Md Akin membuat laporan polis berhubung dakwaan itu dan menyerahkan dokumen yang didakwa berkaitan aktiviti perbankan Daim.
No comments:
Post a Comment