اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Thursday, January 8, 2015

Mesyuarat kabinet berlalu tanpa makna


 

Mesyuarat kabinet yang pertama dalam masa tiga minggu sejak bencana banjir terburuk meragut nyawa sekurang-kurangnya 23 korban, memindahkan suku juta mangsa, serta menjejaskan lebih sejuta orang dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit, amat mengecewakan.


Ia langsung gagal untuk membincangkan satu pun daripada lima perkara mengenai bencana banjir yang saya sebutkan dalam e-mel kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ahad.

Ia terutamanya mengenai perisytiharan darurat supaya kita dapat menangani kerja-kerja pasca bencana dengan lebih cepat dan efisien.

Perkara lain termasuk mengadakan sidang Parlimen khas dan juga menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan kesiapsiagaan pengurusan bencana banjir; selain daripada menubuhkan Majlis Tindakan Bersama BN-Pakatan Rakyat dan peruntukan RM500 juta sebagai pinjaman tanpa faedah antara RM1,000 ke RM250,000 supaya mangsa banjir dapat memulakan semula perniagaan mereka.

Sewaktu timbalan oerdana menteri yang juga pengerusi Majlis Keselamatan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) berada di Kelantan pada hari Selasa untuk mempengerusikan mesyuarat koordinasi pasca banjir Kelantan, beliau berkata kerosakan terhadap harta benda awam berjumlah RM932.4 juta.

Namun data kerosakan yang dilaporkan oleh beberapa kementerian dan agensi kerajaan dalam kes-kes berikut sudah pun melebihi RM1.6 bilion, iaitu:
  • Kerosakan harta benda sekolah di Kelantan dan negeri-negeri lain - RM500 juta;
     
  • Membaiki jalan rosak dan tebing runtuh - RM434 juta;
     
  • Membaiki kerosakan stesen dan laluan kereta api - RM250 juta;
     
  • Operasi membersih oleh kementerian kerajaan tempatan di Kelantan sahaja: RM200 juta;
     
  • Baik pulih hospital dan klinik oleh Kementerian Kesihatan - RM270 juta;
     
  • Membaik pulih balai polis yang rosak - RM15 juta.
Bagaimana kerosakan swasta?

Tidak semua kementerian dan agensi kerajaan mengumumkan penilaian kerosakan. Dan angka di atas bukanlah anggaran terakhir bagi kerja membaik pulih yang diperlukan.

Seperti yang dikatakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Dr S Subramaniam (bawah) semalam, bil RM270 juta yang dianggarkan untuk memperbaiki kerosakan akibat banjir di Pantai Timur terhadap hospital dan klinik dijangka akan bertambah apabila maklum balas diterima daripada kesemua agensi berkaitan.

Dan beliau turut menyebut bahawa kerajaan akan terpaksa membelanjakan sehingga RM1 bilion untuk kerja-kerja baik pulih keseluruhan bagi kementeriannya sahaja.

Adakah kita sedang melihat perbelanjaan berjumlah RM5 bilion hingga RM10 bilion oleh kerajaan Malaysia untuk kerosakan akibat bencana banjir terburuk dalam sejarah Malaysia?

Jika ini adalah bil Kerajaan Persekutuan, bagaimana pula jumlah kerosakan yang dialami sektor swasta dan juga mangsa-mangsa banjir?

Apa yang lebih memeranjatkan sebaliknya ialah sejumlah RM800 juta yang menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan pada hari Isnin lalu, dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan setakat ini “melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membantu mangsa banjir” bagi menyediakan bekalan makanan, logistik dan membersihkan rumah mangsa.

Rakyat Malaysia langsung tidak boleh percaya dengan angka RM800 juta yang digunakan oleh MKN untuk membantu mangsa ini.

7 hari mangsa lebih 100,000

Ini memandangkan mangsa dan NGO yang membantu dalam masa tiga minggu lalu pun tidak dapat menjadi saksi bahawa Kerajaan Persekutuan, melalui MKN membelanjakan separuh mahupun suku daripada peruntukan RM800 juta seperti yang didakwa Ahmad telah dibelanjakan.

Pada hari Selasa lalu, bersama Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli Parlimen Anthony Loke dan Liew Chin Tong, saya melawat kawasan-kawasan paling teruk terjejas di Manek Urai, Manjor, Karangan, Laloh, Dabong dan Kemubu.

Tidak mungkin boleh dijalankan sebarang kerja-kerja pembersihan memandangkan tidak ada bekalan air mahupun elektrik di kawasan tersebut selepas dua minggu bencana tersebut terjadi.

Pada tahap paling teruk, bencana tersebut mengakibatkan perpindahan hampir suku juta mangsa di beberapa buah pusat pemindahan.

Terdapat tujuh hari di mana angka mangsa banjir melebihi 100,000 orang, daripada 26 Disember sehingga 1 Januari, iaitu:

26 Dis – 119,596;
27 Dis – 156,035;
28 Dis – 169,020;
29 Dis – 225,370;
30 Dis – 246,232;
31 Dis – 167,573;
1 Jan - 110,891.

Tetapi ini bukanlah angka mangsa banjir terbesar dalam sejarah negara, seperti yang ditunjukkan dalam carta berikut mengenai banjir-banjir sebelum ini.





Siapa yang berani?

Terdapat 678,000 mangsa dipindahkan sewaktu banjir tahun 1971 di tiga negeri Kelantan, Perak dan Terengganu.

Berapa jumlah yang dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 1971, sewaktu arwah bapa Najib, Tun Razak menjadi perdana menteri, untuk ‘penyediaan makanan, logistik dan membersihkan rumah mangsa banjir’?

Adakah mana-mana Menteri mempersoalkan Kabinet semalam mengenai dakwaan Ahmad Maslan bahawa RM800 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk “penyediaan makanan, logistik dan membersihkan rumah mangsa banjir”?

Adakah mana-mana menteri menyebut bahawa kita tidak boleh berjimat untuk membantu mangsa banjir namun tidak boleh membazir atau menyalah guna walau satu sen pun, dan bahawa semua mata sedang memerhati kerja-kerja pasca bencana bagi memastikan tidak ada salah laku dalam pembayaran dana berbilion ringgit ini.

Ia seharusnya menjadi contoh integriti dalam operasi membaik pulih bencana - memberi amaran bahawa sebuah bencana tidak sepatutnya diikuti satu lagi bencana berbilion ringgit dirompak oleh usahawan, kroni dan mereka yang mengaut untung daripada musibah?

Tetapi iyalah, menteri mana yang berani untuk bertegas atau mengingatkan tentang kepentingan integriti dalam pembayaran dana operasi bantuan bencana bernilai berbilion ringgit.

Ini memandangkan menteri kewangan juga adalah perdana menteri sendiri. Dan menimbulkan persoalan sedemikian mungkin dilihat mempertikai integriti perdana menteri sendiri?

Keperluan rombak MKN

Adakah mana-mana menteri menimbulkan dalam mesyuarat kabinet tentang kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa mustahil bagi kerajaan untuk menyampaikan makanan kepada setiap isi rumah, bahawa kerajaan hanya boleh menyampaikan bantuan kepada mangsa melalui ketua kampung tetapi tidak boleh mengawal apa yang berlaku di peringkat akar umbi?

Ini langsung tidak boleh diterima. Kerajaan yang efisien dan bertanggungjawab mesti boleh menjamin bahawa bantuan kerajaan mestilah sampai kepada semua mangsa.

Mereka tidak sepatutnya terus merana akibat menjadi mangsa diskriminasi ketua kampung, tidak kira atas sebab politik, agama atau apa-apa sebab sekalipun.

Atau adakah mana-mana menteri kabinet bertanya kepada Muhyiddin kenapa pelan kesiapsiagaan pengurusan bencana banjir begitu lemah, terutamanya bawah MKN yang dipengerusikannya.

Ia tidak kelihatan serius dalam bersiap-sedia bagi menghadapi banjir.

Beliau hanya mempengerusikan satu sahaja mesyuarat MKN sebelum banjir bagi tahun 2014, dan satu lagi sekitar 12 bulan lalu pada 3 Januari 2014.

Jelas sekali wujud keperluan untuk merombak semula MKN. Adakah ini dibincangkan dalam mesyuarat kabinet semalam?


LIM KIT SIANG ketua parlimen DAP merangkap ahli Parlimen Gelang Patah.

No comments:

Post a Comment