Mudah-Mudahan Anwar Dipenjara...!!
Tanggal 10 Februari 2015 hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Tarikh
itu begitu ditunggu-tunggu untuk melihat sama ada Anwar Ibrahim akan
bebas atau didapati bersalah.
Jika bebas, ia adalah peluang terakhirnya untuk berjuang menawan
Putrajaya bersama PR dengan imejnya yang sudah dibersihkan tetapi jika
didapati bersalah pula, beliau mungkin menghuni penjara sekali lagi.
Bedasarkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menjatuhkan
hukuman lima tahun penjara keatas Anwar, jika bersalah, ada kemungkinan
hukuman itu akan dikekalkan tetapi ramai juga menjangka lebih berat
daripada itu.
Sejak Anwar dipecat daripada kerajaan pada 1998 dan menggerakkan
kekuatan pembangkang, isu yang paling utama ialah mengajak rakyat
melakukan reformasi dan perubahan.
Jika dilihat apa yang berlaku hari ini, hasrat kepada perubahan itu
sudah meresap ke dalam jiwa dan keinginan majoriti rakyat. Hampir semua
kelompok masyarakat bercakap tentang perubahan dan yakin dengan adanya
perubahan saja negara ini menjadi lebih baik, perangai pemimpin lebih
baik dan kekayaan negara diurus dengan lebih baik.
Tidak cukup dengan rakyat biasa, pengundi atas pagar dan penyokong PR
yang mahukan perubahan, ahli dan penyokong UMNO juga semakin ramai yang
"letih" dengan kerajaan yang ada.
Dalam PRU 13 lalu, memang rakyat telah menunjukkan keinginan untuk
berubah. 52 peratus yang menolak kerajaan adalah bukti ke arah itu
tetapi BN kekal memerintah hanya kerana sistem pilihanraya yang
digunakan dan pecahan kawasan Parlimen yang tidak seimbang.
Menjelang detik 10 Februari dan berhadapan dengan PRU 14 akan datang,
isu perubahan sekali lagi menjadi bualan. Ada yang percaya dengan
memenjarakan Anwar menjadikan peluang BN lebih cerah untuk mengekalkan
kuasa.
PR dikatakan akan pecah dan tiada lagi lagi pemimpin yang boleh menyatukannya sebagai Anwar berjaya melakukannya selama ini.
Tetapi pemenjaraan Anwar juga menjadikan simpati rakyat lebih tinggi dan
perbualan mengenai hukuman itu dan sistem kehakiman tidak terhenti
sampai bila-bila. Ia mungkin sama seperti rakyat terus bercakap tentang
motif pembunuhan dalam kes Altantuya walaupun mahkamah paling tinggi
telah memutuskan Azilah Hadri dan Sirul Azhar bersalah.
Dalam masa yang sama, jika sudah dipenjara juga akan menjadikan UMNO dan
BN tidak boleh lagi mempergunakan kelibat Anwar untuk menakut-nakutkan
rakyat seperti menggambarkan beliau sebagai ejen Amerika, ejen Yahudi,
pejuang plural dan sama rata dalam agama, pro Cina, alat DAP dan
pelbagai kaitan yang lain.
Cabaran pertama yang bakal dihadapi oleh UMNO dan BN jika Anwar
dipenjara ialah pilihanraya kecil Permatang Pauh serta perbualan
antarabangsa mengenai hukuman yang diterimanya. Kedudukan Anwar sebagai
Ketua Pembangkang yang dihantar ke penjara juga boleh mengundang
persepsi negatif seantero dunia mengenai sebuah kerajaan yang
mengamalkan demokrasi.
Oleh itu, ada juga yang berpendapat, lebih baik Anwar dibebaskan kerana
selain isu mengenai dirinya boleh terus didendangkan, perbualan rakyat
mengenai ketidakadilan kerajaan dan sistem kehakiman yang didakwa
tempang juga dapat dihentikan.
Selain itu, sejarah juga sudah membuktikan bahawa Anwar seharusnya
dihadapi secara politik serta berdepan dan bukannya dengan penggunaan
undang-undang atau kehakiman sebagai alatnya.
Apa yang berlaku dalam konteks kebangkitan rakyat hari ini sebahagian
besarnya ialah kerana simpati dan penolakan terhadap undang-undang dan
kehakiman yang ditekan secara berlebih-lebihan keatas Ketua Pembangkang
itu.
Anwar sendiri, walaupun tidak suka dan cuba mengelak untuk ke penjara
sekali lagi, lebih-lebih lagi dalam usianya yang semakin tua ketika ini,
tetapi tetap realistik dalam konteks perubahan rakyat jika Penjara
Sungai Buloh atau Penjara Kajang bakal menjadi kediamannya sekali lagi.
Menurut Anwar, di sebalik pelbagai masalah yang berlaku dalam dalam PR
ketika ini, sokongan undi popular 52 peratus itu kekal menjadi milik
mereka.
Dengan yakin juga beliau berkata, tentunya berdasarkan simpati yang
lebih tinggi, kebangkitan rakyat dan penolakan terhadap penggunaan
undang-undang dan kehakiman yang didakwa tidak adil - sokongan undi
popular akan meningkat kepada 60 peratus jika takdirnya ke penjara lagi
pada 10 Februari ini.
Seiring dengan keinginan rakyat kepada perubahan, penolakan terhadap
UMNO dan BN serta kepimpinan Najib Razak yang sudah seperti "lemak tepu"
dan tidak mungkin boleh berubah lagi walau sudah kerap dikritik dan
ditegur, pemenjaraan Anwar sebenarnya amat baik sekali untuk rakyat.
Hanya dengan keputusan penjara pada 10 Februari ini, kalau boleh lebih
berat daripada hukumah lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan
sebelum ini, satu-satunya pemangkin yang boleh meletuskan lagi
perubahan.
Berbanding Anwar yang lepas bebas, perubahan yang boleh membawa natijah
kebaikan kepada rakyat sebenarnya jauh lebih utama dan diharap-harapkan
oleh sesiapa saja.
Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa semoga Anwar tetap ke penjara
kerana itulah yang sebenarnya terbaik buat kita semua. (SH 08/02/2015).
Kedahl\Lanie.info
No comments:
Post a Comment