Memegang
jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, satu kerusi yang
selama ini dianggap "kurang ong" kerana ramai yang pernah memegang
jawatan itu akhirnya terkandas di tengah pendakian hireaki parti,
Ismail Sabri seperti sedang membuktikan sebaliknya.
Tan Sri Sanusi Junid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara pemimpin UMNO yang cemerlang tetapi akhirnya tidak sampai ke puncak pendakian dalam UMNO. Ramai yang percaya ianya kerana kedua-duanya pernah menjadi Menteri Pertanian suatu ketika dahulu.
Datuk
Seri Najib dan Tun Abdullah Badawi pula dipercayai berjaya menjadi
Perdana Menteri kerana tidak pernah menjadi Menteri Pertanian. Tun
Mahathir Mohamad juga dikatakan berjaya menjadi Perdana Menteri kerana
turut tidak pernah menjadi Menteri Pertanian.
Jika
Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak berjaya menjadi Perdana Menteri,
maka hampir sahlah bahawa kerusi Menteri Pertanian bukanlah loncatan
yang baik untuk mana-mana pemimpin UMNO yang bercita-cita menjadi
Perdana Menteri. Tan Sri Muhyiddin pernah menjadi Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani ketika Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri.
Tetapi
Datuk Seri Ismail Sabri berjaya melonjakkan namanya melalui jawatan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang disandangnya ketika ini.
Melalui status tulisan di Facebook yang kemudian dianggap rasis,
berhadapan kemungkinan saman oleh pemimpin DAP Perak, didesak menarik
balik kenyataannya serta diminta meletakkan jawatan oleh sesetengah
pihak, Datuk Seri Ismail sebaliknya telah dianggap sebagai "hero baru"
dalam UMNO.
Pandangannya mengenai
penurunan harga barang dianggap tindakan yang berani dan mencerminkan
watak sebenar seseorang yang mahu berjuang dalam UMNO. Lantaran itu,
ketika beliau diasak atas kenyataannya yang dianggap bersifat perkauman
dan tidak mencerminkan jiwa Malaysia, seramai 92 Ketua UMNO Bahagian
menyatakan sokongan terbuka terhadapnya.
Berikutan
sokongan 92 Ketua Bahagian itu juga menyebabkan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak turut bersama dan sekata dengan beliau dengan turut
mendesak peniaga agar bersikap lebih adil terhadap pengguna berikutan
penurunan harga minyak ketika ini.
Cumanya,
berbanding Datuk Seri Ismail Sabri yang secara jelas meminta orang
Melayu sebagai kelompok pengguna terbesar memulaukan peniaga yang
majoritinya kaum Cina, Perdana Menteri pula agak berlapik dengan
menyebut peniaga tanpa mengira kaum dan tidak berani menyebut peniaga
Cina secara khusus.
Sama ada
kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri itu bersifat perkauman atau
sebaliknya, ia masih boleh diperdebatkan lagi. Namun dalam konteks
perjuangan UMNO dan kemahuan majoriti ahlinya, pandangan Datuk Seri
Ismail Sabri itu amat digemari oleh penyokong akar umbi dan mudah
sekali memikat sokongan.
Sebab itu,
tidak sahaja 92 Ketua Bahagian berdiri teguh bersamanya, lontaran suara
pro UMNO di media-media sosial juga amat galak menyokong apa yang
disuarakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri itu. Malah berdepan kecaman,
serangan dan ugutan sekali pun, hakikatnya Datuk Seri Ismail Sabri
sedang menjadi perhatian dan sebutan dalam UMNO ketika ini.
Lantaran
namanya yang kian mengharum dalam lingkungan UMNO ketika ini, beberapa
pemimpin kanan UMNO juga turut bersuara senada dengannya. Selain Datuk
Seri Zahid Hamidi yang menyatakan kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri
itu harus disokong pengguna tanpa mengira kaum, Datuk Hishammuddin juga
menyatakan apa yang disuarakan itu cukup penting dan realist dalam
usaha mendesak penurunan harga barang ketika ini.
Datuk Hishammuddin juga turut menyebut bahawa Datuk Seri Ismail Sabri adalah rakan lamanya sejak zaman Pemuda UMNO lagi.
Terbaru
pada 6 Februari lalu pula, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin
melalui Akademi Kepimpinan Kapten Hussein atau AKHI turut menjemput
Datuk Seri Ismail Sabri berforum sepentas dengannya di bawah tajuk
"Keuntungan Orang Tengah - Sahih atau Sabotaj?"
Selain
nama Datuk Seri Ismail Sabri yang sedang menjadi sebutan ramai dalam
UMNO ingin ditumpangi, yang lebih ditakuti sebenarnya ialah 92 Ketua
Bahagian yang ketika ini secara terbuka bersama dengan Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani itu.
Dengan
UMNO mempunyai seramai 191 Ketua Bahagian, sokongan terbuka 92
daripadanya yang diterima oleh Datuk Seri Ismail Sabri dalam isu
penurunan harga barang ini, bermakna hampir separuh daripada UMNO sudah
berdiri bersama dengannya.
Datuk
Seri Ismail Sabri yang disebut-sebut akan bertanding jawatan Naib
Presiden UMNO dalam pemilihan parti tahun depan, berdasarkan situasi
ini pasti dapat merasakan laluan selesa bagaikan sudah terbentang
untuknya.
Tidak kira sama ada
ketiga-tiga penyandang sekarang iaitu Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk
Seri Hishammuddin dan Datuk Seri Shafie Apdal, tetap mempertahankan
jawatan atau ada antaranya ingin mencari tempat lebih tinggi lagi, satu
daripada kerusi Naib Presiden UMNO bagaikan sudah "ditempah" oleh
Datuk Seri Ismail Sabri bersama 92 Ketua Bahagian yang sudah sedia
bersama dengannya.
Juga, tidak kira
sama ada perjuangan menurunkan harga barang ini berhasil atau
sebaliknya dan apakah 92 Ketua Bahagian ini benar-benar mempraktikkan
desakan itu di kawasan masing-masing atau sama ada tindakan ini bakal
mengurangkan lagi sokongan pengundi bukan Melayu terhadapnya, yang
nyata Datuk Seri Ismail Sabri sudah ada tempatnya sendiri dalam UMNO
ketika ini.
Cuma yang menjadi persoalan, berjayakah beliau mengekalkan momentumnya sehingga pemilihan UMNO tahun depan?
Sumber : Detikdaily.
Posted on Sunday, February 08 @ 12:01:01 MYT by paktam
No comments:
Post a Comment