PEGUAM Tan Sri Shafee Abdullah telah membuat penjelasan panjang lebar kepada umum tentang kes Anwar Ibrahim selepas kejayaan besar pendakwaannya dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Penjelasan seperti itu oleh pihak kejaksaan baik oleh pendakwa raya atau oleh Tok Hakim yang menang perbicaraan jarang kita dengar di mana-mana atau mungkin tidak pernah dibuat pengamal undang-undang dalam masyarakat yang stabil dan tenang.
Jika ada, ia adalah kejadian yang terpinggir dan ia berlaku di negara 1Malaysia oleh peguam yang amat berprestij tinggi. Pengamal undang-undang tidak ternama secelupar mana pun belum pernah berbuat demikian.
Saya baca penjelasan panjang lebarnya. Tidak berani saya berkata apa-apa tentangnya kerana ia adalah perkara undang-undang oleh pakar undang-undang. Jika yang tidak tahu undang-undang hendak campur tangan dalam isu undang-undang, sahlah jadi pekerjaan loyar buruk dan dilihat/diterima sebagai kegiatan loyar buruk.
Maka yang terbaik ialah dengarkan, dengarkan!
Mungkin penghakiman terbaru itu yang terakhir tentang perbicaraan atas kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri liwat yang dikenakan ke atasnya.
Amat panjang mahkamah kita menangani kes itu, dari hujung 1990-an hingga tahun 2015. Ramai pendakwa raya dan hakim bangun dan tumbang dengan kes itu, tidak juga usai-usai. Hingga datang loyar Shafee Abdullah, yang sebelumnya tidak terlibat langsung dengan kes Anwar itu untuk menamatkan apa yang Anwar klasifikasikan sebagai konspirasi.
Jika ini berakhir, maka akan ada persepsi, tiada pengamal undang-undang yang dapat menutup kes itu melainkan peguam Tan Sri Shafee Abdullah.
Dan dia sendiripun yakin tiada ruang yang munasabah lagi semakan semula atas penghakiman itu.
Biarkan perkara seterusnya tentang isu dan kes itu jadi polemik dan perbincangan sesama pengamal undang-undang dan pelajar undang-undang.
Apa yang saya dapat kata, tindakan peguam itu, tampil ke tengah umum memperkatakan para hakim itu, mengapa begitu dan mengapa begini, seolah-olah keputusan dan penjelasan hakim mengapa Anwar didapati bersalah tidak memadai.
Apakah keputusan hakim dan iringan penjelasan hakim mengapa keputusan itu dibuat begitu dirasai tidak memadai? Hakim lazimnya membuat puluhan bahkan ratusan muka surat tentang penghakiman, memperincikan semua aspek, dikira memadai.
Orang ramai faham, orang awam suka atau tidak suka dengan keputusan dan segala hujahnya, had itulah noktahnya. Tiada dia menambah dan tidak dia memadam apa yang telah diputuskan sekali publik menolak keputusannya.
Banyak kes keputusan mahkamah ditolak oleh masyarakat umum. Contohnya kes Datuk Harun atas perkara rasuah. Hakim Raja Azlan Shah adalah hakim handal masa itu. Banyak penghakimannya dihormati. Akan tetapi orang tidak terima penghakimannya tentang kes Datuk Harun.
Yang arif itu diam dan tidak membuat sebarang penjelasan. Jika ada yang tidak setuju, buat rayuan dan ulang bicara. Terserahlah kepada hakim lain untuk menolak atau menerima. Jika hakim lain takwil keputusannya, dia diam. Begitulah kebiasaan semua hakim dan peguam.
Pada hakim apa yang mereka putus dan jelaskan adalah memadai. Tidak pernah mereka keluar membuat penjelasan tambahan. Memadailah dengan penghakimannya.
Jika penghakiman itu memadai, tidak perlu pengamal undang-undang terlibat masuk kampung keluar kampung seperti orang politik kempen.
Posted on Tuesday, February 24 @ 14:25:05 MYT by paktam
No comments:
Post a Comment