IPT bertaraf dunia, tapi kenapa graduan tak ada kerja?
BUKIT MERTAJAM, 24 FEB: Kenyataan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh bahawa pengajian tinggi Malaysia bertaraf dunia bersifat ‘syok sendiri’ kerana hakikatnya kadar pengangguran graduan IPT Malaysia sangat tinggi kerana kurang kemahiran.
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan Pemuda DAP Steven Sim hari ini mempersoalkan kenyataan menteri UMNO itu di samping menyifatkannya sebagai satu gejala penyakit kerajaan yang selalu ‘percaya kepada penipuannya sendiri’.
“Jika benar IPT kita bertaraf dunia, 40 peratus graduan tempatan masih lagi menganggur, kenapa?
“Ini, menteri kena jawab,” kata Steven.
Mengikut peratusan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan sekitar 30 hingga 40 peratus graduan masih menganggur atau berada di bidang kerja yang tidak sesuai dengan kelayakan mereka, ujar Steven.
“Bank Dunia pula menyatakan pada 2013 kadar pengangguran pemegang ijazah sarjana muda di Malaysia adalah yang paling tinggi, satu dari lima orang graduan muda berusia bawah 25 tahun adalah penganggur.
“25.6 peratus dari 220,527 graduan tidak mempunyai kerja walaupun setelah enam bulan selesai pengajian mereka.
“Paling terkini laporan dari jabatan perangkaan 2014 mendedahkan 31 peratus dari penganggur Malaysia mempunyai ijazah pengajian tinggi mewakili jumlah 130,000 orang,” jelas Steven.
Graduan IPTA kurang kemahiran
Sehubungan dengan itu, Steven menambah penganggur yang mempunyai ijazah kebanyakannya adalah produk IPTA yang dikatakan Idris Jusoh sebagai universiti bertaraf dunia.
“Mengikut ‘Perangkaan Pendidikan Nasional: Sektor Pengajian Tinggi’ majoriti penganggur Malaysia adalah graduan IPTA.
“Ini kerana mengikut laporan Bank Dunia 2014, 62 peratus firma di Malaysia merungut tentang payahnya mencari pekerja berkemahiran walaupun peluang pekerjaan ada.
“Laporan itu menyimpulkan adanya jurang antara kemahiran yang diajar di IPT dengan keperluan majikan,” tambah Steven lagi.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, kerajaan sebenarnya tahu realiti pengangguran di kalangan graduan ini. Kerana itulah kerajaan menjalankan “program-program pelatihan semula” kepada graduan seperti Skim Kebolehpasaran Siswazah (GEMS) dan Pasukan Kebolehpasaran Siswazah (GET).
Namun, program-program berkenaan menelan biaya sehingga berbilion ringgit, sedangkan IPTA seharusnya menyelesaikan masalah tersebut.
“Jika benarlah IPT negara kita bertaraf dunia, kenapa perlu belanja bilion ringgit lagi untuk pasarkan graduan kita?
“Malang sungguh apabila Idris Jusoh sanggup mengeluarkan kenyataan tidak jujur mengenai mutu IPT kita.
“Penafian berterusan terhadap krisis yang melanda sistem pendidikan kita oleh kerajaan hanya akan terus menyebabkan masalah ini semakin parah,” tegas Steven lagi.
No comments:
Post a Comment