Banyak yang telah ditulis dan dibahaskan berhubung kemerosotan nilai Ringgit dalam tukaran wang antarabangsa, namun kerajaan persekutuan masih tidak menyedari kebimbangan yang dibangkitkan rakyat ini.
Adakah
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dan
Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memberi respon secara
jelas dan serius tentang kejatuhan nilai Ringgit?
Setakat ini, mereka hanya memberikan jaminan kosong bahawa “semuanya baik sahaja”, dan rakyat Malaysia tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Tentulah mereka berdua tidak perlu bimbangkan apa-apa, apabila kekal di kerusi empuk di bilik berhawa dingin mereka.
Sama ada kedua-duanya tidak cekap dalam soal ekonomi dan kesannya kepada orang kebanyakan, atau pun mereka memang tidak peduli.
Jika
mereka cekap dan mengambil berat, mereka tidak akan terus mengeluarkan
kata-kata kosong atau menggunakan semantik untuk cuba menyedapkan hari
rakyat, yang berterusan bergelut dengan inflasi untuk menyara
kehidupan mereka dan keluarga.
Pada 1
April ini (dan ini bukan lawak April Fool), ketika sistem Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST) mula melanda rakyat dan negara, bukan
golongan miskin bandar dan pedalaman sahaja yang akan berhadapan dengan
mimpi negeri kewangan dan eonomi, malah golongan pertengahan dan
eksekutif muda yang mula bekerja pada dekad lalu turut merasa
bahangnya.
Bukankah sudah jelas bagi
Najib dan Zeti, bahawa masalah ekonomi dan kewangan yang membengkak
tidak boleh ditangani tanpa mengambil kira secara efektif kemerosotan
Ringgit?
Sebanyak mana penurunan
harga minyak atau tarif elektrik sekali pun, ia tetap tidak akan
mengurangkan harga barangan keperluan dan perkhidmatan.
Adakah
Najib dan Zeti pernah cuba menjelaskan dengan serius dan terperinci;
mengapa nilai Ringgit melemah dengan begitu cepat? Dan adakah mereka
pernah benar-benar menjelaskan berhubung hutang persekutuan yang
sekurang-kurangnya berjumlah RM800 bilion?
Harga
minyak global mula menurun dengan pantas pada suku keempat tahun lalu,
dan Ringgit menjadi mata wang paling teruk prestasinya di rantau Asia.
Ringgit
berada pada nilai terendah dalam masa enam tahun, apabila ditutup pada
kadar RM3.60 bagi dollar AS pada 20 Januari lalu. Ia adalah kedudukan
terendah sejak April 2009.
Masihkah
anda ingat tentang ketakutan dan kebimbangan yang melanda, ketika
krisis ekonomi di mana Ringgit jatuh pada nilai RM3.80 berbanding
dollar AS? Ia berlaku selepas Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk
Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan pada 1998.
Kini,
nilai ringgit terus jatuh sejak harga minyak mentah mula merosot pada
separuh kedua tahun lalu. Ia hilang kira-kira 6.5 peratus daripada
nilainya.
Tidakkan kerajaan Umno-BN
belajar apa-apa daripada krisis kewangan global yang bermula dengan
krisis sub-prima di Amerika enam tahun lalu, yang mencetuskan krisis
perbankan dan menyebabkan keperlahanan seluruh dunia, sehingga
menjejaskan negara yang bergantung kepada hasil eksport?
Dengan
penyusutan besar nilai Ringgit berbanding dollar AS, adakah Najib dan
Zeti tidak bimbang akan berulangnya krisis kewangan Asia 1997/98, atau
krisis kewangan global 2008/09?
Dan
apa yang Zeti mampu jelaskan kepada rakyat hanyalah ini: “Kelemahan
Ringgit tidak mencerminkan asas semasa Malaysia yang masih kukuh.”
Najib
dan Zeti boleh dakwa apa sahaja yang mereka mahukan bahawa “semuanya
baik-baik sahaja” buat Malaysia. Tetapi mereka pastinya tidak akan
dapat berbohong kepada rakyat kebanyakan yang bergelut untuk menyara
kehidupan.
Dan apabila tekanan ekonomi dan kewangan tidak dapat ditahan lagi, agaknya siapakah yang akan kehilangan kerja mereka?
Posted on Monday, March 09 @ 14:55:08 MYT by Paktam
No comments:
Post a Comment