SEJAK mendengar berita Malam Perhimpunan Perpaduan Melayu (MPPM) akan diadakan saya sudah menyangka ia adalah acara anjuran ataupun ada kaitan dengan dan mendapat sokongan/tajaan kerajaan Umno-BN.
Apabila program yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, 28 Februari lalu itu dihadiri oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak yang turut berucap berdegar-degar, sangkaan saya memang tepat.
Hebahan atau promosi MPPM itu juga disiarkan menerusi rancangan bual bicara televisyen milik Media Prima Berhad yang dimaklumi adalah media kerajaan Umno-BN. Semasa berucap dalam MPPM, Najib menggariskan tujuh amanat sebagai rujukan kepada orang Melayu bagi menjamin mereka terus maju dalam abad ke-21. Antaranya termasuklah keperluan melatih orang Melayu menjadi bangsa berilmu dan mengukuhkan ekonomi mereka.
Perkara lain yang ditekankan oleh Najib ialah keperluan memperjuang kepentingan agama Islam dan syiarnya; mempertahan institusi raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu; menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni, dan memelihara institusi keluarga.
Kelihatan tidak banyak beza dengan amanat yang selalu disampaikan saban tahun dalam perhimpunan Agung Umno.
Telah kerap dipantakkan, tetapi kedudukan orang Melayu masih tidak berubah menjadi lebih baik.
Ada rakan menyimpulkan bahawa setiap kali Umno berasa lemah atau memang sebegitu, ia akan menganjurkan atau menaja perhimpunan yang mengajak ke arah perpaduan Melayu.
Kebanyakan yang datang adalah muka yang sama kerana dipaksa atau diupah untuk menyertainya. Yang tersurat, berhimpun. Yang tersirat, mengajak semua orang Melayu menyertai Umno. Sungguh malang!
Seperti biasa, ada yang memuji dan menganggap amanat tersebut sebagai baik, malah sangat baik. Tidak pasti sama ada jujur atau kerana mengampu semata-mata.
Mereka menganggap mesej perpaduan yang dilontarkan itu perlu terus disuburkan untuk kekal memacu kemajuan dan kelangsungan masyarakat Melayu pada masa depan.
Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh misalnya, mengakui wujud anasir yang cuba memporak-perandakan perpaduan orang Melayu.
Namun, katanya, itu semua tidak menjadi halangan utama bagi orang Melayu melakar lebih banyak kejayaan.
Tegas Idris, orang Melayu jangan menganggapnya sebagai penghalang. Katanya, orang Melayu perlu terus berfikiran positif dan memastikan mereka sentiasa bersatu.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang pula berkata, perpaduan Melayu amat penting dan generasi muda diharap dapat memperkukuh perpaduan dalam memastikan nikmat keamanan terus terpelihara.
Sambil menyifatkan MPPM sebagai acara bersejarah, Abu Zahar berharap di bawah kepimpinan Najib, orang Melayu dapat membina semula semangat untuk bersatu.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man menganggap perpaduan adalah kunci pada kekuatan yang akan melonjakkan lagi kecemerlangan orang Melayu pada masa depan. Tujuh amanat yang diucapkan oleh Perdana Menteri, katanya, amat baik dan relevan untuk orang Melayu capai hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim pula berkata amanat yang disampaikan oleh Najib perlu diteliti dari semasa ke semasa. Ia, tambahnya, adalah satu agenda yang amat serius dan perlu diberi perhatian.
Demikianlah hebatnya sikap mengampu walaupun yang diampu itu tidak hebat. Oleh sebab itulah yang diampu tidak sedar-sedar.
Mungkin kerana itu jugalah tidak cukup dalam ucapan, Najib menuliskannya dalam akaun Twitter beliau. Presiden Umno itu yakin Melayu akan terus melangkah menjadi bangsa yang disegani di mata dunia.
Najib menzahirkan keyakinan itu berdasarkan semangat para hadirin, terutamanya golongan belia yang bersama-sama dengan beliau dalam MPPM. Namun, tegasnya, Melayu tidak harus leka, tetapi terus melangkah maju dan berdikari. Kata Najib, panduan tersebut wajar menjadi wadah dan maslahah yang akan terus diperjuang dan digunakan untuk memajukan orang Melayu.
Perdana menteri turut yakin jika orang Melayu mengekalkan keutuhan perpaduan dalam kalangan mereka dan berusaha ke arah memajukan bangsa, semuanya mampu dikecapi bersama.
Pada hakikatnya, orang Melayu tidak pernah dan tidak mungkin akan bersatu kerana mereka ada ideologi atau anutan politik masingmasing.
Yang berbeza anutan politik tentu tidak dapat bersatu dalam sebuah parti politik.
Berpisah dalam politik memang menghalang kesatuan.
Yang tidak meminati atau tiada anutan politik pula akan mengasingkan diri. Tindakan itu juga menggagalkan usaha perpaduan.
Adakah jika semua orang Melayu menyokong serta menganggotai Umno dan BN, baharu mereka dikatakan bersatu. Mustahil semua orang Melayu menyokong serta menjadi ahli Umno kerana banyak yang menyokong PAS serta tidak kurang KeADILan dan DAP.
Sementara itu, semacam satu ironis, harga minyak naik semula beberapa jam selepas MPPM tamat. Selepas harganya menurun sejak beberapa bulan lalu, harga bagi RON95, RON97 dan diesel masing-masing naik 25 sen.
Mulai 1 Mac lalu, harga baharu RON95 ialah RM1.95, RON97 (RM2.25) dan diesel (RM1.95) seliter. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Hasan Malek, kerajaan akan mengikuti perkembangan harga kos produk dan kadar pertukaran mata wang setiap masa untuk menentukan harga runcit petrol dan diesel bulanbulan berikutnya.
Pada Februari, harga RON95 turun ke paras terendah sejak ia diperkenal pada 2009, didorong oleh kejatuhan mendadak harga minyak dunia, yang kini agak bertambah baik.
Harga bahan api tertakluk pada sistem apungan terurus sejak Disember 2014 selepas kerajaan menghapuskan sistem subsidi. Ketika itu, RON95, RON97 dan diesel masing-masing dijual pada harga RM2.26, RM2.46 dan RM2.23 seliter.
Pada 1 Januari, bagaimanapun, RON95, RON97 dan diesel masing-masing dijual pada harga RM1.91, RM2.11 dan RM1.93 seliter.
Kenaikan harga minyak seperti tidak dihiraukan oleh semua orang Melayu yang menyertai MPPM. Beberapa jam selepas mengangkat tangan dan menjerit “Hidup Melayu,” mereka terkena lagi oleh gelagat gila kerajaan Umno-BN. Ternyata orang Melayu terus ditipu! Di mana NGO tegar Melayu seperti Perkasa. Mengapa diam membisu?
Posted on Friday, March 13 @ 10:09:38 MYT by paktam
No comments:
Post a Comment