- HARAKAHDAILY
Wacana tersebut diadakan di Auditorium MPAJ, Pandan Indah bermula jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang ini.
Ianya dianjurkan Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Penganjur Program, Iskandar Abdul Samad yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor berkata, dengan wacana ini diharap menjadi titik tolak kepada kajian seterusnya oleh mana-mana institusi akademik atau bukan kerajaan yang ingin menjadikan sektor perumahan sebagai subjek dalam kajian terhadap GST dan TPPA.
"Kajian juga harusnya tertumpu kepada perolehan negara yang pincang. Isu rasuah, ketirisan, kronisme dan pembaziran masih lagi gagal ditangani oleh pihak kerajaan, dan GST bukanlah satu tindakan yang bijak ke atas rakyat untuk menyelesaikan permasalahan tadi," kata beliau.
Antara panelis yang terlibat termasuk bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Dr Rosli Yaakop, Pengarah Penyelidikan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Azlan Awang dan juga wakil Persatuan Pemaju dan Hartanah Negeri Selangor (REHDA).
Wacana tersebut akan dikendalikan oleh Dekan Fakulti Perniagaan UNISEL Prof Madya Dr Mohd Fuad Salleh, yang bertindak selaku moderator.
Objektif utama penganjuran wacana ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna khusus tentang kesan GST dan TPPA secara langsung atau tidak khususnya terhadap sektor perumahan.
Contohnya, adakah GST yang baru diluluskan pada 7 April lalu memberi kesan terhadap kos bahan binaan seterusnya memberi implikasi terhadap harga rumah itu sendiri?
Antara sudut lain yang perlu dilihat ialah faktor perkembangan ekonomi yang dijana oleh pihak pemaju dan syarikat yang berkaitan yang terlibat dengan hartanah.
TPPA masih kabur
Begitu juga dengan perjanjian TPPA yang masih kabur dan tidak pernah didedahkan draf perjanjian oleh pihak kerajaan kepada umum.
Adakah pasaran rumah dan hartanah dibuka secara bebas kepada negara-negara yang terlibat dengan perjanjian ini dan adakah kawalan pemilikan rumah dilonggarkan dan bagaimana pula dengan nasib pemaju serta pembekal tempatan?
Ini yang dbimbangi dan wajar diperhalusi sebelum perjanjian itu dimuktamadkan.
Jika ini berlaku, dikhuatiri peluang rakyat untuk memiliki rumah semakin tipis, tambahan pula rakyat makin dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi tidak setimpal dengan kenaikan gaji tahunan serta terpaksa bersaing dengan pasaran buruh asing.
No comments:
Post a Comment