Agak terkilan membaca sebuah kisah benar tentang hakikat penindasan anak yatim semasa berlangsungnya satu majlis makan malam melibatkan orang kenamaan.
Siapa
sangka sampai macam begitu sekali orang kenamaan mengherdik anak yatim
ini. Jika tak mampu nak prihatin atau jaga diorang, janganlah
menyusahkan diorang. Berdosa. Apa pun bacalah perkongsian yang amat
menyedihkan di bawah ini:
Disember
8, 2013, kami seramai 36 orang menghadiri jemputan Majlis Makan Malam
Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah di hotel Shangri-La Kuala
Lumpur. Itu kali pertama untuk anak-anak kami dijamu di sebuah hotel
mewah bertaraf 5 bintang.
Namun semuanya berakhir tidak seperti yang
dijanjikan. Bermula sekitar 3 minggu sebelum itu, seorang Dato’, wakil
dari Yayasan datang ke rumah kami.
Pada
mulanya, agak angkuh bahasanya kerana beliau katakan melalui wakil kami
En. Pitry Datuk Bahrim yang beliau sangat sibuk jadualnya dan jika
beliau terasa nak datang, beliau akan datang sahaja.
Di situ saja kami
sudah terpaksa mengurut dada bersabar dan bersangka baik, beliau mungkin
ada banyak urusan. Maka, kami kompromi untuk menyesuaikan diri kami
mengikut masa Datuk ini.
Jika
diikutkan, kami tidak harap pun untuk terlibat dalam majlis yang bakal
dianjurkan tetapi kami melihat sebagai satu jemputan yang mana mereka
berkehendakkan anak-anak kami untuk memeriahkan majlis malah menyanyikan
2 buah lagu dalam koir.
Pertemuan
pertama ditangguh banyak kali, begitu juga pertemuan lain yang
diaturkan juga ditangguh dan dan dibatalkan tanpa notis atau dengan
notis minit akhir sedangkan anak-anak kami telah buat persiapan
sepanjang hari untuk kononnya menunjukkan progress latihan lagu-lagu
yang diminta untuk dinyanyikan.
Lebih
dari 4 kali berjanji semuanya tidak ditepati. Nak kata ON pun tidak, nak
kata CANCEL juga tak pasti. Beberapa kali anak-anak menunggu sepanjang
hari sampai ke lewat malam kerana Si Datuk janji nak datang tengahari.
Hancur semua program kem cuti sekolah gara-gara acara ini.
Dalam
kesabaran anak-anak diuji begitu sekali, Datuk yang memetik nama Tuanku
Sultanah Haminah membawa titah meminta anak-anak memainkan lagu “Minta
Sedeqah” yang bertajuk “Tolong Kami” dendangan asal Allayarham Tan Sri
P. Ramlee.
Anak-anak kami sudah kami didik untuk tidak meminta-minta.
Furqan mereka mengatakan, adakah wajar kami nyanyikan lagu ini? Namun
kami pujuk mereka mengatakan lagu ini kita nyanyikan UNTUK PIHAK YAYASAN
yang mahu mengutip derma, bukan kita.
Di dalam
benak kami, masih kami berbaik sangka sedang pada ketika ini kami sudah
lihat seperti ada yang tidak kena. Bukanlah kami ini sombong kerana
tidak meminta derma.
Tetapi kami lebih suka berbuat sebaiknya, dan jika
ada yang simpati dan suka, mereka boleh memberi dengan ikhlas atas dasar
kasih suci kerana Allah, bukan kerana kami meminta-minta.
Begitulah
seterusnya, pelbagai janji kunjungan untuk pemeriksaan latihan, latihan
bersama combo DBKL, pertemuan bersama composer, mesyuarat protocol, nak
bawa anak ke Istana dan entah apa-apa, kesemuanya dibatalkan tanpa
notis.
Kehadiran
terakhir Dato’ ini beberapa hari sebelum majlis membawa titah lagi,
iaitu minta anak berlatih lagu Yayasan terkini oleh Dato’ Siti Nurhaliza
yang bernada tinggi kerana beliau tidak dapat hadir.
Hancur suara
anak-anak sampai ada yang sakit tonsil, ada yang demam termasuk vokalis
utama. Kem Cuti Sekolah yang menjadi rutin tahunan kami kepada anak-anak
kami tergendala sepanjang 3 minggu untuk latihan koir dan MENUNGGU
janji yang tidak ditepati oleh munafik ini.
PADA
PETANG MAJLIS Program rehearsal protokol adat istiadat dan latihan
bersama okestra DBKL yang dijanjikan jam 10 pagi ditunda jam 1 ptg.
Itupun tertangguh lagi. Lagu “Ampuni kami” yang diminta telah
dibatalkan.
Lagu itu mungkin terlalu Islamik, mencacatkan majlis kerana
mereka belum bersedia untuk beristighfar lagi agaknya.
Lagu
“Tema Yayasan” yang membuatkan anak-anak demam dan pecah suara turut
dibatalkan. Yang diminta ialah lagu “Minta sedekah”. Itu pun di’trimmed’
menjadi 3 ++ minit dengan versi mereka, bukan versi yang kami latih
anak-anak.
Segalanya harus dirombak semula dalam masa beberapa jam itu
juga. Janji untuk latihan secara live bersama Okestra juga
mendukacitakan. Kami diberi rakaman minus-one yang entah apa-apa.
Mereka
sibuk melatih Jamal Abdillah, Jaclin Victor dan seorang penyanyi India.
Anak-anak kena jadi pak pacak berdiri memerhati penyanyi Diva berlatih.
Hampir
jam 7, mereka kata masa dah tak ada. Anak-anak tak perlu berlatih dengan
Okestra. Kami kata apa sudah jadi? Lagu diubah senikata, nada dan
kunci. Semua 3 lagu yang dilatih dibatalkan semuanya.
Akhirnya dapatlah
berlatih HANYA 1 KALI bersama okestra. Nak minta tambah mikrofon pun
mereka tak bagi. Datuk menjanjikan 3-4 buah bilik yang akan menjadi
tempat berehat dan persiapan anak-anak lelaki dan perempuan sebelum
persembahan.
Makan
pagi dan tengahari tak perlu risau katanya kerana ia juga telah
disediakan. Datuk juga dengan yakin menjanjikan meja anak yatim di
barisan depan, sebaris meja utama Tuanku Sultan.
Anak-anak ini akan
diraikan sebagai VVIP dalam majlis itu. Nama majlis itu sendiri adalah
untuk meraikan anak-anak yatim kononnya.
Berubah
dari janji awal jam 10 am, kami dipanggil jam 12 tengahari untuk
mengadakan rehearsal penuh bersama combo DBKL dan mesyuarat protokol
pada jam 1 petang.
Kami diingatkan untuk tidak lewat agar tidak menjadi
masalah kepada Pegawai Protokol Istana sedangkan beberapa kali pegawai
protokol dan combo DBKL janji untuk hadir ke RPWP terus senyap begitu
saja..!
Sebelum
jam 12 tengahari, kami sudah berada di sana. Pada ketika ini, kami
terbiar terkontang kanting sendirian apabila Datuk yang menjadi individu
pengatur kami di sana gagal dihubungi.
Telefon tidak berangkat, mesej
tidak berjawab. Keadaan berterusan sehingga beliau sendiri muncul pada
sekitar jam 4 petang. Waktu itu anak-anak sudah kelaparan dan
bergelimpangan atas lantai tepi tandas.
Anak-anak
diberikan satu rakaman dan memaksa mereka ikut rentak baru yang
diringkaskan itu, nada dan senikata semua kena ubah semula. Kami yang
hadir awal akhirnya tiada taklimat protokol dan juga tiada rehearsal
selain penyelarasan mikrofon sahaja.
Dengan Datuk masih terus gagal
dihubungi, 36 orang rombongan yang DIJEMPUT SEBAGAI VVIP ini menjadi
gelandangan di tepi tandas lobi bawah berhadapan dengan ballroom yang
mewah.
Anak-anak
sudah mengeluh lapar dan makanan di hotel kesemuanya terlampau mahal
untuk kami beli. Bilik yang dijanjikan juga tiada, menyebabkan anak
lelaki dan perempuan terpaksa menjadi gelandangan di atas karpet hotel
sementara menunggu jam 6 petang untuk waktu rehearsal yang BARU.
Pada
mulanya, di luar ballroom itu ada juga beberapa set sofa untuk kami 35
orang menunggu dengan perut yang kelaparan, tetapi sehingga jam 2.30
petang, pihak hotel telah mengalihkan kesemua sofa yang tinggal untuk di
bawa ke tempat lain.
Barangkali
itu cara mereka mengusir kita dari bersidaian di lobi itu dan mencemar
pandangan ‘orang-orang tertentu’. Tambahan pula lobi itu menjadi
persiapan satu parti sosial yang macam “sial” lucahnya.
Anak-anak geleng
kepala, bagaimana majlis Ketua Agama Negara dibuat di tempat dan masa
yang sama dengan majlis maksiat yang bertelanjangan dan mabuk-mabuk
semuanya?
Kami
tiada pilihan selain menunggu dengan bersila di atas lantai. Lebih
memalukan, di antara 36 orang ini ialah Pengasas Rumah Pengasih Warga
Prihatin, Dr. Haji Masjuki Mohd Musuri yang dahulu adalah usahawan yang
berjaya. Sekadar Shangri-La bukanlah sebuah hotel yang asing pada
beliau.
Beliau
sendiri memfakirkan kesemua kekayaan dan segala harta yang ada pada
beliau termasuk diri beliau sendiri untuk pembangunan Rumah Pengasih
Warga Prihatin DISOKONG oleh 19 lagi “co-founder” yang lainnya.
Dr.
Masjuki masih tenang sambil berbaring di lantai dek kerana kepenatan
dalam mempersiapkan anak-anak selama tempoh 3 minggu.
Salah
seorang dari co-founder mencadangkan kepada beliau untuk balik dan tidak
beserta dalam program makan malam yayasan itu.
Dr. Masjuki menjawab,
ikutkan hati begitulah juga. Tetapi kerana hormat akan Tuanku Sultanah
dan prinsip mendaulatkan Sistem Beraja, beliau telan sahaja layanan
buruk yang sedang berlaku ketika itu.
Seolah-olah
kehadiran kami di sana tidak wujud dan tiada siapa yang kisah
sekumpulan 36 orang dari Rumah Pengasih Warga Prihatin ini menjadi
gelandangan di situ. Tiada yang prihatin untuk tanya sudah makan ataupun
belum.
Perut anak-anak sudah berkeroncong. Setelah pasti tiada lunch
dari Dato’ penganjur yang tidak nampak muka, kami terpaksa menghantar
wakil untuk mencari makanan luar.
Jam 4
petang, wakil kami pun berjalan lebih 2km untuk mencari makanan yang
wajar untuk mengalas perut anak-anak. Dalam menunggu makanan itu sampai,
Datuk dari Yayasan itu tiba-tiba muncul.
Tidak ada bahasa lagi kerana
kehadiran beliau terus meluru kepada anak-anak untuk dipalau memalu
kompang, bukan nak tanya dah makan ke belum? Dah dapat bilik ke belum?.
Beliau
hanya memeriksa apa yang beliau rasa perlu untuk persembahan malam itu.
Tidak pula beliau menemui, jauh sekali meminta maaf terus kepada Dr.
Masjuki, seorang OKU yang jelas dilihat terbaring di lantai penjuru
dinding itu. Jam 5 petang kami diberikan 2 bilik kecil.
Sebaik saja kami
anak beranak mula makan makanan yang dibeli setelah berjalan merata
bandar itu, 5.30 petang baru kami dijemput ‘makan tengahari’. Rehearsal
pula akan bermula jam 6 petang.
Itu
bermakna, tiada rehat langsung. Kami ambil keputusan hanya anak-anak
nisak dan ibu-ibu saja turun makan, yang lain cukup alas perut makanan
yang telah dibeli. Jelaslah satu pembuktian dari sangkaan kami bahawa
insan ini hanya memikirkan tentang ‘perutnya’ sahaja tanpa mengira akan
kebajikan dan perasaan orang lain.
Minta maaf diberikan lebih kurang
sahaja. Mungkin malu YANG AMAT BESAR lalu mereka berdua tidak berani
berhadapan dengan co-founder, sampai kami pulang.
KONFLIK
REHEARSAL Sebelum makan malam, sesi rehearsal bersama combo DBKL hampir
dibatalkan kerana kesuntukan masa.
Mereka dahulukan latihan seorang anak
India, Jamal dan Jaclin Victor sampai lancar. Dengan tegas kami katakan
kami dipanggil untuk rehersal dan tidak diberi peluang langsung.
Kami
akan tinggalkan majlis kerana tidak mahu mengorbankan maruah anak-anak
kami untuk membuat persembahan tanpa latihan. Akhirnya anak-anak diberi
peluang untuk mencuba. Alhamdulillah latihan agak lancar biarpun Cuma
sekali.
Padahal anak-anak ramai yang DEMAM dan KEPENATAN, terutama
sekali anak perempuan kami yang tidak boleh selamba-selamba baring di
atas karpet dan secara tak langsung membenarkan orang yang lalu lalang
memerhatikan tubuh mereka yang sedang tidur itu.
Mereka
sudah diajar tentang aurat itu bukan sekadar BALUT tetapi menutupi dan
juga postur yang nampak dan menggamit aura.
Apapun, prinsip kami adalah
untuk melakukan apa sahaja dengan bersungguh sungguh. Memang kami didik
anak anak kami untuk mendaulatkan Raja. Atas alasan itu juga kami
teruskan persembahan dengan bersungguh sungguh walaupun tidak dilayan
seperti yang dijanjikan sejak menjejak kaki di hotel pagi itu.
Jika ini
jemputan komersial biasa, pasti kami sudah tinggalkan sahaja majlis
itu. MALAM MAJLIS Kami jenuh menenangkan anak-anak kami yang terkurung
awal dalam dewan, asyik bertanya kenapa maghrib itu tidak solat
berjemaah macam biasa?
Mereka juga pelik kerana dikatakan VVIP majlis,
tapi diletakkan di tepi dinding HUJUNG dewan. Ada 5 meja untuk anak-anak
yatim termasuk dari 2 sekolah tahfiz di sekitar Kuala Lumpur berada
dalam barisan “VVIP” kami di sebelah dapur.
Hiasan bunga di atas meja
juga tidak sama. Menu makanan yang sepatutnya menu masakan Cina pada
malam itu tetapi yang sampai ke meja anak-anak “VVIP” majlis hanyalah
“makanan gorengan mudah” dan tidak ditambah apabila habis.
Mujur
kami didik anak kami untuk tidak gelojoh dalam menjamah. Seorang sudah
terbiasa ambil satu dan tidak lebih.
Tetapi kami sempat jeling meja
anak-anak tahfiz dan yatim yang lain di sebelah kami yang licin tak
berbaki. Ada anak tahfiz yang baru 9 tahun umurnya mengatakan masih
lapar.
Sebak kami mendengarnya kerana mereka juga senasib dengan kami
dan kami juga rasa ia tidak mengenyangkan anak-anak kami. Malang bagi
mereka kerana murobbi mereka tidak ada bersama untuk membela.
Majlis
yang dihadiri seorang Ketua Agama Negara itu menyaksikan seolah-olah
satu pertunjukan fesyen pula. Anak-anak kami yang diletak di belakang
asyik bertanya..> “Ayah, ayah… boleh ke makcik tu pakai tudung baju
ketat begitu?” pakai tudung tapi dada terbelah begitu?
“Boleh ke pakai
sopan tapi kain terbelah sehingga ke pangkal paha?” “Kenapa pakaian
Makcik itu terbelah di belakang”… Dan macam-macam lagi soalan yang
terpaksa kami jawab kepada anak-anak kami. Baik juga kerana boleh kami
tunjukkan mana baik dan mana yang buruk.
Pada
kami, ia seperti satu penghinaan kepada seorang ketua Agama Negara Islam
yang berdaulat dengan tetamu majlis berpakaian secara jahilliyah.
Duduk
sahaja Sultan dan Sultanah, seorang MC wanita membuka tirai program
dengan mempersilakan sebuah tarian kebudayaan persembahan JKKN.
Hati
kami terdetik, di manakah daulat Ketua Agama Islam apabila disambut
dengan tarian kebudayaan dan sepanjang aturcara sehingga pulang tiada
langsung doa dibacakan.
Kami
berbaik sangka lagi, mungkin kerana berkompromi dengan kira-kira 10-20%
tetamu beragama lain. Di dalam ucapan Datuk Wira yang juga orang kuat
kepada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah, beliau menyatakan
highlight program-program sepanjang tahun yang lalu. Kami mendengar
dengan khusyuk.
Pastinya dalam program yang singkat, beliau memberikan
highlight kepada program yang paling besar sahaja.
Antara program yang dinyatakan ialah seperti;
1. Lawatan ke rumah anak yatim
2. Pembelian baju kelengkapan sekolah untuk 200 orang anak yatim
3. Sunat
beramai-ramai (50 orang) Dengan kutipan derma berjumlah RM2.3 JUTA
diumumkan pada malam itu, kami sebagai pentadbir Rumah Pengasih Warga
Prihatin dengan 109 orang warga berani katakan kesemua program di atas
itu sepatutnya tidak menelan belanja lebih dari RM100,000.
Jika
di”lajak”kan sekalipun mungkin boleh cecah RM500,000 dan ia masih jauh
dari kutipan yang diperolehi.
Kami tak
mahu menyangka-nyangka tentang ini, cukuplah kami tinggalkan satu
persoalan di sini. Dalam ucapan Datuk Wira, beliau membacakan banyak
hadith tentang anak-anak yatim.
Antaranya adalah pesanan untuk tidak
mengherdik anak yatim. Namun bagi kami, mengherdik itu tidaklah hanya
terhad kepada meninggikan suara kepada anak-anak yatim.
Apabila hak asas
mereka mendapat makanan itu juga dinafikan, kami kira itu lebih dari
satu herdikan halal seorang guru kepada muridnya. Kedudukan meja VVIP
yatim, Jenis makanan berbeza untuk VVIP yatim, bilik rehat dan makan
tengahari yang dijanjikan kesemuanya gambaran MENGHERDIK secara hakikat.
Yang
paling penting ialah bagaimana mereka mengeksploitasi anak-anak yatim
semahunya untuk kepentingan kutipan yang kami tidak pasti untuk apa.
Sejak 8 tahun dengan residen seramai 109 orang, kami di RPWP jalankan
usaha dengan cara berpuasa.
Semua co-founder mengeluarkan dana dan
tenaga sendiri mentadbir rumah ini.
Mungkin
pada malam itu, sebahagian pegawai Yayasan memandang kami yang MENGIRING
ini sama seperti mereka yang mendapat faedah dari kutipan tetapi di
sebalik itu mereka mungkin tidak Nampak, Dr Masjuki sendiri bukan
bertambah kaya setelah menubuhkan RPWP sebaliknya terus menjadi fakir.
Begitu juga co-founder yang lain. Semuanya korbankan harta masing-masing
dahulu dan tidak mengharap derma untuk menjalankan program harian kami.
Kami sedar, mereka rupanya tidak cukup atau mungkin tiada anak yatim di
bawah naungan mereka.
Anak-anak
kami diwajibkan memakai badge Yayasan dan dengan itu ucapan Datuk Wira
boleh memberikan highlight kepada Sultanah yang di dalam ballroom pada
malam itu ada 66 orang anak-anak yatim.
Pengacara
Aznil jelas mengatakan Yayasan yang memberikan penempatan untuk
anak-anak kami kerana lencana Yayasan itu, atau mungkin diminta berkata
begitu. Jelas kami dah faham.
Sebuah yayasan yang sebenarnya tidak /
kurang memiliki atau menjaga anak-anak yatim secara sistematik, juga
tiada laman web yang aktif dengan facebook yang baru 300 likes membuat
makan malam dengan menggunakan Nama Sultanah Kedah (Permaisuri Agong)
bagi mengutip derma korporat dan persendirian dengan jumlah yang banyak.
Kami tak
mahu melanjutkannya seperti ia satu tuduhan yang pasti, tetapi yang
nyata kami hanya di bawa untuk menyanyikan lagu “minta sedekah” dan
langsung diletak di hujung dewan TANPA ADA SEORANG PUN pegawai Yayasan
yang sudi menjengah meja-meja yang “Kononnya VVIP” itu.
Kehadiran
anak-anak yatim di hujung dewan hanya satu lesen bagi penganjur
mengatakan mereka ada anak yatim dan juga membuka simpati penderma untuk
menderma lagi.
Operasi kami memelihara 109 orang anak yatim dan asnaf
yang menjadi residen berbeza sekali. Di atas tanah seluas setengah ekar
dengan kos pembinaan, makanan berkhasiat, pendidikan dari pakar
pendidik.
Prasarana
asas yang memadai yang kami bina sendiri secara gotong royong lebih
dari 8 tahun lalu. Belanja bulanan kami hanya sekitar RM35,000-45,000
sebulan.
Bukan mewah tetapi mencukup. Jika dihitung selama 1 tahun, kos
operasi kami adalah sekitar RM500,000 sahaja. Semuanya berkat infaq dan
hasil perniagaan kecil kecilan yang kami tabungkan kesemuanya. Kuncinya
ialah PUASA.
Kami pihak co-founder MELABUR harta dan diri kami, BUKANNYA
mengambil sebahagian untung dari pendapatan derma.
INILAH
JULUNG KALI kami izinkan anak-anak kami turut serta dalam program malam
amal setelah bertahun-tahun kami menolak permintaan banyak pihak lain
untuk menggunakan Nama kami untuk tujuan ini.
Dan apa saja penyelewengan
yang kami bimbangkan jelas terjadi pada kali pertama ini juga.
Kami
kecewa dengan apa yang berlaku. Kami pasti Tuanku Permaisuri Agong juga
akan kecewa jika mengetahui perkara sebenar di belakang tabir. Kami pula
tiada laluan memandangkan laluan untuk kami menyuarakan perkara ini
bagi pihak Yayasan mengambil pelajaran seperti tertutup.
Maka,
artikel ini kami karang supaya ia menjadi pelajaran kepada yang
lain-lain. Jika ada laluan yang lebih baik untuk kami memaklumkan
perkara ini kepada Kebawah Duli Tuanku, pasti kami juga tidak gemar
menyampaikannya dalam rencana terbuka sebegini.
Sebelum ini kita dengar
ada rumah-rumah anak yatim dari utara Malaysia yang anak-anaknya dikerah
menjual barang dan meminta derma kononnya mereka daif. Tetapi dilihat,
pengasasnya berkereta mewah dan akhirnya ia diharamkan.
Rupanya,
kita mungkin akan saksikan apa yang terjadi ini adalah satu scam
berprofil tinggi. Pengutipan derma untuk anak yatim tanpa ada anak
yatimnya. Sebagai hamba rakyat, kami tidak rela jika nama raja yang
menyayangi anak-anak yatim dan asnaf digunakan untuk kepentingan
segolongan manusia.
Ramai
yang meminta kami menyaman penganjur, namun itu bukan kerja kami. Banyak
lagi urusan kami yang lain untuk anak-anak ini. Cukuplah kisah ini
diambil pelajarannya oleh masyarakat.
Para pengasas tidak hairan dengan
makanan dan bilik hotel. Tapi apa yg dilakukan terhadap anak-anak kami
SANGAT KAMI TIDAK RELA… Kerana kami sayang mereka, kami tatang mereka
macam minyak yang SANGAT penuh.
P/s:
Saya pun pernah jadi anak yatim. Siapalah yang tak terasa bila terbaca
artikel ini. Mungkin vvip dan orang yang terlibat tu perlu jadi anak
yatim dulu baru nak faham perasaan mereka.
No comments:
Post a Comment