اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Monday, April 7, 2014

Nasib Najib selepas ini


Nasib Najib selepas ini

Posted on Monday, April 07 @ 14:27:01 MYT by paktam

PendapatOleh Liew Chin Tong

MAKA akan genap lima tahun tempoh pemerintahan Najib Razak selaku Perdana Menteri pada 3 April 2014. Persoalannya, apakah nasib Najib selepas ini? Barisan Nasional meneruskan pemerintahan dengan majoriti mudah dari segi bilangan kerusi, walaupun minoriti dari segi undi dalam PRU13.


Namun demikian, untuk dua pilihan raya umum berturut-turut (PRU12 dan 13) mereka tidak menguasai majoriti dua pertiga yang memberi laluan untuk mereka menyempadankan semula kawasan pengundian sewenang-wenangnya.

Sekali imbas, pada 17 dan 25 September 2008, Najib bersama Timbalan Perdana Menteri sekarang Muhyiddin Yassin, telah mengadakan dua pertemuan bersama PM ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi. Pada pertemuan pertama, Abdullah didesak untuk menyerahkan jawatan Menteri Kewangan atas alasan kegagalan beliau dalam PRU12 pada tahun 2008.

Senarionya memihak kepada Najib-Muhyiddin. Seminggu kemudian, gandingan ini mara selangkah ke depan untuk mengasak agar Abdullah berundur. Abdullah akhirnya mengumumkan bahawa dirinya akan berundur pada April 2009.
BN diselubungi kebimbangan hilang kuasa sebelum PRU13, dan prestasi selepas itu memperlihatkan kemerosotan berbanding PRU12 pada tahun 2008 - sungguhpun BN berjaya mempertahankan kuasa kerajaan Persekutuan. Antaranya, Najib telah melakukan beberapa kesilapan yang nyata - memadai untuk dijadikan sebagai alasan agar beliau digulingkan dari kedudukannya dalam parti.

Bagaimanapun, penguasaan Najib terhadap Umno lebih ketat dan menyeluruh jika dibandingkan dengan Abdullah, dari segi penggunaan sumber negara untuk menjaga kepentingan “orangnya”, “pecah dan perintah” ke atas kumpulan yang berbeza dalam parti dan sebagainya.
Maklumlah, Najib yang mula mengorak langkahnya ke Parlimen sejak tahun 1976 telah mengusahakan kerjaya politiknya untuk berdekad-dekad lamanya.

Kesemua “cai” Presiden telah menang dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno pada tahun lalu, sungguhpun kemenangan Hishammuddin Hussein boleh agak “teruk” rupanya. Mengikut perhitungan Najib, beliau perlu mengukuhkan kedudukannya dalam kerajaan dan Umno melalui rombakan Kabinet pada tahun 2014.

Kini, khabar tersebar di kalangan pemimpin Umno, bahawa Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menjangkau usia 67 tahun (berbanding Najib 61 tahun) mungkin menawarkan pengunduran dengan “syaratsyarat tertentu”. Menteri Pertahanan, atau sepupu Najib, Hishammudin, 53, bakal dilonjakkan ke atas tangga kuasa untuk mengambil alih jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Versi khabar angin ini mungkin disebarkan daripada kem Zahid Hamidi, Naib Presiden yang merangkap Menteri Dalam Negeri, sebagai langkah untuk menyekat kemaraan Hishammuddin.

Seandainya rombakan Kabinet dilakukan untuk membariskan lapisan pewaris, maka agak sukar untuk Zahid yang sebaya dengan Najib ditampilkan sebagai pengganti Najib pada masa depan.
Zahid pernah menjadi panglima besar di sisi Anwar Ibrahim, justeru tidak diberi kepercayaan oleh kem Mahathir Mohamad. Zahid tiada pilihan kecuali mendampingi Najib. Jikalau Muhyiddin memilih untuk berundur, maka Najib tidak akan berdepan dengan pencabar yang setara dalam parti buat sementara waktu. Kem Mahathir juga gagal mencari pemimpin yang mampu mencabar Najib buat sementara ini.

Namun demikian, ini tidak bermakna kuasa Najib memasuki zon selamat pada tahun 2014.
Selepas PRU13, Najib menarik nafas lega kerana tidak perlu berdepan dengan tekanan suara rakyat secara langsung. Maka kesempatan ini diambil ketika menguruskan ekonomi. Prinsip dasarnya, kepentingan mereka yang berkepentingan tidak boleh diusik, dan tiada pembasmian rasuah.
Dalam keadaan ini, beban ekonomi dialihkan ke atas bahu rakyat jelata. Maka rungutan dan rintihan mula mengombak, dari masyarakat semua kaum. Banyak soal selidik yang dijalankan memperlihatkan sokongan terhadap Najib jatuh merudum.

Najib tidak menjangka bahawa Anwar akan menembusi kebuntuan politik dengan mengambil “Langkah Kajang” – bertanding di PRK Kajang, dan memimpin negeri Selangor seterusnya. Maka dalam kecemasan Najib mengubah skrip untuk menyekat langkah Anwar dengan mahkamah.
Sekali lagi Najib tidak terduga, bahawa senario ini memaksa Dr Wan Azizah Ismail untuk tampil semula dan masuk ke gelanggang.

Dalam situasi di mana rakyat merungut cara pemborosan Rosmah Mansor, ia akan menjurus kepada pertembungan imej antara “Kak Wan dengan Rosmah”.
Keadaan sedemikian menambah alasan kepada Umno mengapa Najib harus ditukar. Kini, PRK Kajang menyaksikan Umno kehilangan undi Melayu, satu tamparan sengit buat Umno.

Sementara itu, kesan tragedi pesawat MH370 terhadap politik masih dalam tinjauan. Elit propemerintah yang menyanjung Najib sebelum ini beranggapan bahawa tiada pemimpin Umno yang lebih baik prestasinya berbanding Najib dari segi hubungan luar, pertahanan, malah pengurusan ekonomi. Ia menampakkan ketandusan bakat dalam Umno seandainya pandangan ini benar.

Pengamatan awal memperlihatkan kemarahan yang mengombak dari pihak China - mungkin sambutan ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China pada Mei tahun ini boleh dilupakan. Sektor pelancongan Malaysia yang amat bergantung kepada China, mungkin akan terkesan impaknya.

Malah, sektor yang melibatkan pelaburan China, bakal berdepan dengan ujian yang mencabar.
Barangkali terlalu awal untuk kita menjangka sejauh manakah faktor di atas memberi kesan terhadap kerajaan BN dan Najib, tetapi apa yang pasti, ia memberi kesan.
Genap lima tahun Najib menyandang jawatan PM pada 3 Mac 2014. Cuma, apakah kedudukan beliau lebih kukuh, atau semakin tergugat selepas ini?

>> Liew Chin Tong adalah ahli Parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP. Beliau boleh dihubungi di supportlct@liewchintong.com

No comments:

Post a Comment