اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Thursday, April 24, 2014

Tulisan yang kelakar, Jangan lawan kerajaan! – Dr Azman Ibrahim


lawak pelupa

“Orang PAS ni dok habih-habih nak lawan kerajaan. Semua hok kerajaan buat dok kena belako!” Seorang pakcik yang datang ke sebuah kedai kopi di Jabi dengan Honda Cup buruk membebel sambil makan nasi berlauk.



“Anak kita sekolah kerajaan, jalan kerajaan buat, lektrik kerajaan bagi, air kerajaan bagi tapi dok tahu nak terima kasih, nak lawan semacang kerajaan!” Saya terdengar dialog ini daripada seorang pakcik umur 50-an yang tengah naik haji di atas wakaf ketika kebetulan saya singgah membeli nasi bungkus di sebuah gerai di Kuala Besut.

Sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, ada terdengar di telinga saya, “Calon PAS tu boleh jadi doktor kerana bantuan kerajaan, tapi kelik lawan kerajaan. Pesen dok kenang budi!”
“Makcik bukan tak boleh nak pakah PAS, tapi kerajaan banyak bantu makcik. Dekat nak raya kekgi, boleh pitih pulok.” Jawab seorang warga emas di Jabi ketika saya mengunjunginya dalam kempen pilihan raya 2008.

“Awe nak suruh ambo pakah PAS? Kalu awe boleh bawak sedulang emas pun, ambo tak akan pakah PAS untuk lawan kerajaan!!” Ini ucapan yang keluar daripada seorang kaum ibu Umno di Kampung Kuala Kubang, Jabi ketika saya mengunjungi rumahnya dalam kempen PRU13 lalu.

Apa kesimpulan yang boleh kita ambil daripada senario di atas? Saya cerita di sini level tahap kefahaman orang kampung saya di Besut, tapi sebenarnya orang bandar pun sama dan serupa. Kefahaman yang ditelan sejak turun temurun, lawan Umno maknanya lawan kerajaan!
Bila kita masuk pilihan raya bermakna kita nak tukar kerajaan. Berapa peratus orang yang faham, PAS masuk pilihan raya untuk nak tukar parti pemerintah, bukannya hendak tukar kerajaan? Yang kita nak tukar adalah Umno/BN.

Kerajaan kekal, polis kekal, askar kekal, bomba kekal, jalan raya kekal, elektrik kekal, Jabatan Pelajaran, universiti kekal, persatuan bola sepak kekal, Jabatan Kebajikan Masyarakat kekal, Risda kekal, Felda kekal, Felcra kekal, Petronas kekal, Lebuhraya Utara Selatan kekal cuma buang plaza tol saja, KLIA kekal, Stadium Nasional kekal, Masjid Negara kekal dan Putrajaya kekal!

Semua salah faham dalam masyarakat ini berlaku tidak lain tidak bukan kerana ajaran salah Umno.
Bantuan kerajaan dilekatkan logo keris dan dacing. Premis kerajaan jadi premis Umno. Projek kerajaan menggunakan wang rakyat diletakkan label “Satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional” lengkap dengan logo penimbang kati.

Masa pilihan raya, habis jentera kerajaan jadi jentera Umno, premis-premis milik kerajaan jadi tempat pemimpin Umno bertemu dengan rakyat. Presiden Umno masih ke sana sini dengan pesawat kerajaan walaupun Parlimen sudah bubar.

Orang tua dulu kalau lawan Umno tidak dapat baja subsidi. Kalau lawan Umno kena tukar tempat kerja. Cikgu yang lawan Umno kena surat tunjuk sebab. Isteri yang jadi calon PAS lawan Umno, suami pula yang dapat notis tukar 24 jam. Ayah yang lawan Umno, anak pula susah nak dapat duit Yayasan Terengganu. Lawan Umno, tidak dapat duit ehsan. Lawan Umno tidak disambung kontrak guru Kafa dan pelbagai lagi.

Seolah-olah subsidi baja tu daripada duit Umno, cikgu tu kerja dengan Umno, Yayasan Terengganu tu hak Umno, guru Kafa Umno yang bayar gaji dan duit ehsan dikeluarkan daripada akaun Umno untuk diberi kepada penerima.

Inilah perangai Umno yang sudah lama jadi hantu raya yang menakutkan rakyat dengan bayang-bayang.
Kerana itulah saya pernah jumpa pegawai tinggi polis yang menasihatkan saya supaya jangan lawan kerajaan. Kesian dia. Di topi ada logo kepala harimau, di baju pun ada kepala harimau, atas bahu ada bintang, ada crown lagi. Celah ketiak ada tali, tak cukup dengan pistol, ada tongkat pula. Tapi penakut dengan Umno dan tidak tahu hendak beza dia kerja dengan Umno atau kerajaan!

Bekas dekan saya di Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM dulu pun memang Umno tulen. Selalu dia sebut kepada saya, kita kena mendokong polisi kerajaan, jangan lawan kerajaan. Saya kata, tidak ada masalah untuk kita dokong polisi kerajaan, melaksanakan dasar-dasar kerajaan kerana itu memang tanggungjawab kita sebagai pegawai kerajaan. Yang saya lawan adalah Umno, bukannya kerajaan!
Apa sebabnya pegawai kerajaan takut sangat dengan Umno, fobia dengan PAS dan Pakatan Rakyat?
Kalau anda seorang pegawai polis, PAS memerintah pun anda tetap pegawai polis. Cikgu-cikgu tidak akan jadi penoreh getah. DO tidak akan kena kerja kait buah kelapa sawit. Pegawai pelajaran tak akan jadi cikgu mengajar beruk naik nyior dan pilot kapal terbang tak akan jadi pemandu teksi.

Kalau sekarang anda makan nasi, PAS dan Pakatan Rakyat memerintah pun, dengan izin Allah anda tetap akan makan nasi. Cuba tengok di Kelantan, berapa ramai orang yang beli Beras Nasional berbanding dengan orang beli beras Siam yang lebih berkualiti? Sepatutnya dengan lebih 20 tahun PAS memerintah, sudah banyak restoran yang menghidangkan menu ubi kayu berbanding nasi.
Cukup-cukuplah dengan kebodohan itu!

Sumber The Malaysian Insider
Share on Facebook

1 comment:

  1. betul tu... dalam fikiran diaorang ni ni seolah olah karajaan Malaysia tu hanya milik BN sampai kiamat.. parti apa pun yang diberi amanah untuk memerintah perlu melaksanakan tanggungjawap sebagai kerajaan kepada rakyat.. tu lah kalau orang yg jenis x faham ni..susah nak diubah.. bodah x boleh diajar cerdik x boleh mengajar.

    ReplyDelete