Krisis Selangor dilihat semakin meruncing apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Selangor dikatakan akan meninggalkan parti dan menyertai Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ADUN bebas.
Belum pun sehari selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan agar Abdul Khalid mengekalkan tugas sebagai MB, difahamkan tiga ADUN PKR sudah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan, terutama terhadap Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut sumber dalaman PKR, ADUN berkenaan juga akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat selain mahu bersama di bawah pentadbiran Abdul Khalid.
"Kebanyakan pimpinan PKR juga tidak berpuas hati dengan tindakan Anwar yang melantik isterinya sendiri yang juga Presiden PKR sebagai calon MB.
"Namun semua masih tidak berani untuk berbuat apa-apa kerana bimbang hilang jawatan dalam PKR. Bagaimanapun, beberapa ADUN yang berani akan mengambil langkah meninggalkan parti," kata sumber itu.
Pada Isnin, Sultan Selangor memberi perkenan agar Abdul Khalid mengekalkan tugas sebagai MB Selangor.
Abdul Khalid pada petang Isnin menjelaskan, sehingga ada perkembangan baharu, dia kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
Bagaimanapun Abdul Khalid dalam sebuah portal turut menasihati mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) yang tidak menyokongnya supaya meletak jawatan.
Jelasnya, dia akan bertemu 10 exco Selangor pada Selasa untuk mengetahui pendirian mereka, sama ada mahu meneruskan tugas atau meletak jawatan.
Sebelum ini, pemerhati politik melihat Abdul Khalid berdepan laluan mencabar jika tetap dengan pendiriannya untuk tidak melepaskan jawatan nombor satu di negeri itu.
Abdul Khalid, tokoh politik yang 'muncul' dalam arena politik menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ijok pada 2007, antara lain perlu menghadapi ADUN Selangor khususnya daripada PKR yang telah "menyahkan" beliau daripada kepimpinan politik Selangor.
PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu pada Sabtu lapor AstroAwani
No comments:
Post a Comment