اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Friday, August 8, 2014

Kes-Kes Bersabit Integriti Melibatkan Tan Sri Khalid Ibrahim WAJIB BACA



LATAR BELAKANG

KEADILAN telah mencapai persetujuan sebulat suara di dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bersidang pada 21 Julai 2014 untuk menggantikan Menteri Besar Selangor sedia ada iaitu YAB Tan Sri Khalid Ibrahim. Persetujuan sebulat suara itu juga mencalonkan YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN sebagai Menteri Besar Selangor yang baru untuk menggantikan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

Keputusan ini kemudiannya dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 23 Julai 2014 dan dimaklumkan secara rasmi kepada PAS dan DAP. PAS dan DAP di dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu bersetuju pada dasarnya bahawa prinsip pencalonan jawatan Menteri Besar Selangor adalah dari KEADILAN[1].

DAP telah menyatakan sokongan secara terbuka kepada pencalonan YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail[2] sementara PAS akan membincangkan pendirian dalam mesyuarat AJK PAS Pusat pada 10 Ogos 2014.

Laporan ini ditulis sebagai mengambil pandangan pimpinan-pimpinan PAS yang memberikan gambaran timbul keperluan KEADILAN memberikan sebab musabab secara rasmi kepada PAS yang mendorong keputusan KEADILAN untuk menukar Menteri Besar Selangor.

Laporan ini disediakan oleh ibu pejabat KEADILAN dan diluluskan oleh pimpinan tertinggi KEADILAN. Ia berdasarkan maklumat dari laporan Kerajaan Negeri dan Pusat, carian umum, rekod rasmi mahkamah, syarikat dan urusniaga, keterangan yang diberikan oleh individu yang terbabit serta laporan-laporan media mengenai isu ini.

KERAGUAN MUNASABAH MENGENAI PENYELESAIAN MASALAH HUTANG BANK ISLAM BERJUMLAH USD18,521,806.13 (BERSAMAAN RM59.5 JUTA SETAKAT 13 NOVEMBER 2006) DAN FAEDAH KE ATASNYA

Masalah keberhutangan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Bank Islam sudah diketahui umum sejak beliau belum menjadi ahli politik dan Menteri Besar. Sebelum tahun 2011, beliau juga pernah berunding dengan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri jalan untuk menyelesaikan tindakan Bank Islam terhadapnya dengan baik.

Keberhutangan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Bank Islam bermula dalam tahun 90an semasa beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Guthrie Berhad. Bank Islam pada mulanya meluluskan kemudahan pembiayaan al-murabaha kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membeli saham-saham dalam Kumpulan Guthrie Berhad.

YAB Tan Sri Khalid gagal membayar bayaran pinjaman pertama di bawah kemudahan pembiayaan al-murabaha ini yang sepatutnya dilunaskan pada 24 Oktober 1998. Beliau menulis secara rasmi melalui satu surat bertarikh 16 Oktober 1998 untuk menangguhkan bayaran tertunggak tersebut. Seterusnya beliau sekali lagi gagal melunaskan bayaran pinjaman pertama dari pinjaman kedua di bawah kemudahan pembiayaan ­al-murabaha dan memohon untuk menangguhkan juga bayaran tersebut melalui satu surat bertarikh 20 Oktober 1999.

Oleh kerana kegagalan berterusan untuk melunaskan hutang yang diambil melalui kemudahan pembiayaan al-murabaha ini, Bank Islam dan YAB Tan Sri Khalid bersetuju untuk menstrukturkan kembali hutang-hutang ini melalui satu kemudahan pembiayaan yang baru.

Maka pada tahun 2001, Bank Islam meluluskan penstrukturan hutang-hutang itu melalui kemudahan pembiayaan Islam al-Bai Bithaman Ajil (“BBA”) kepada YAB Tan Sri Khalid. Terma kemudahan pembiayaan ini dimuktamadkan di dalam Surat Tawaran (bertarikh 17 April 2001), Perjanjian Induk Kemudahan BBA (bertarikh 30 April 2001) dan perjanjian-perjanjian jual beli mengikut BBA (bertarikh 30 April 2001).

Terma-terma utama perjanjian pinjaman BBA yang ditandatangani adalah seperti berikut:

Bank Islam membeli 39,681.562 saham Guthrie Berhad milik YAB Tan Sri Khalid Ibrahim pada harga USD56.5 juta (bersamaan RM214.7 juta) sebagai cagaran kepada hutang tertunggak YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Bank Islam


Sebagai mematuhi kaedah pembiayaan BBA, Bank Islam akan menjual kembali saham-saham ini kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim pada harga kos pinjaman dan kadar keuntungan 0.75%


Urusniaga jual-beli saham (YAB Tan Sri Khalid Ibrahim membeli balik saham untuk membayar pembiayaan) mengikut kaedah pembiayaan BBA ini akan dijalankan setiap 6 bulan agar YAB Tan Sri Khalid dapat melunaskan hutang-hutang asalnya yang telah distrukturkan melalui pencagaran saham-saham itu


Sekiranya YAB Tan Sri Khalid Ibrahim gagal membeli kembali saham-saham ini mengikut perjanjian, Bank Islam berhak untuk menjual saham-saham ini untuk mendapatkan kembali hutang tertunggak


Setelah menandatangi perjanjian kemudahan pembiayaan BBA bertarikh 30 April 2001 ini, YAB Tan Sri Khalid sekali lagi engkar dengan perjanjian dan gagal membeli kembali saham-sahamnya untuk melunaskan hutang seperti yang ditetapkan perjanjian. Bank Islam mula menjual saham-saham itu seperti yang diperuntukkan di dalam perjanjian untuk mengutip kembali hutang yang telah diambil oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

Setelah proses melupuskan saham yang dicagarkan ini berjalan, Bank Islam mendapati hutang YAB Tan Sri Khalid Ibrahim masih berbaki sebanyak USD18,521,806.12 (bersamaan RM59.5 juta setakat 13 November 2006). Bank Islam telah menghantar notis agar jumlah ini dibayar oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim melalui 2 notis bertarikh 18 Julai 2005 dan 4 Ogos 2005[3].

Ekoran dari notis menuntut hutang itu, pada 10 Mei 2007 YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi terhadap Bank Islam bersabit kemudahan pembiayaan BBA ini. Saman beliau menuntut agar Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa:

Mengikut Akta Perbankan Islam 1983, Bank Islam tiada lesen untuk memeterai perjanjian kemudahan BBA seperti yang ditandatangani dengan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim


Kemudahan BBA seperti yang ditawarkan oleh Bank Islam tidak mengikut syariat Islam dan oleh itu Bank Islam melanggar syarat-syarat lesen perbankan Islamnya[4]


Pada 24 Mei 2007, Bank Islam memfailkan saman di Mahkamah Tinggi menuntut baki hutang dari YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kerana melanggar syarat perjanjian kemudahan pembiayaan BBA.

Kedua-dua saman ini akhirnya dibicarakan sekaligus sehinggalah proses undang-undang dihentikan secara tiba-tiba dalam Februari 2014.

Keputusan Mahkamah

Sepanjang kes ini dibawa dan dibicarakan di mahkamah, keputusan secara keseluruhannya memihak kepada Bank Islam.

Kronologi keputusan mahkamah adalah seperti berikut:

Pada 21 Ogos 2009, Hakim Mahkamah Tinggi YA Rohana Yusuf membenarkan permohonan Bank Islam untuk mendapatkan balik baki hutang seperti permohonan saman yang difailkan tanpa perlu dibicarakan. YA Rohana Yusuf dalam penghakimannya merujuk kepada pengakuan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri yang tidak menafikan bahawa beliau berhutang dengan Bank Islam[5] (perenggan 25 dan 26 penghakiman).


YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.


Pada 3 Mac 2010, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Tan Sri Khalid Ibrahim dan mengarahkan supaya kes itu dibicarakan secara penuh di Mahkamah Tinggi. Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 2 hingga 4 Ogos 2010, 9 hingga 11 Ogos 2010 dan 23 hingga 26 Ogos 2010.


Pada 9 Ogos 2010, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memfailkan permohonan untuk melucutkan kelayakan hakim YA Rohana Yusuf dari mendengar kes itu.


Pada 22 September 2010, Mahkamah Tinggi menolak permohonan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk melucutkan kelayakan hakim YA Rohana Yusuf. YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.


Pada 1 November 2010, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan YAB Tan Sri Khalid dan mengarahkan kes ini dibicarakan di hadapan hakim yang baru iaitu YA Dato’ Mohd Zawawi Salleh. Perbicaraan kes ditetapkan untuk didengari pada tarikh-tarikh 11 hingga 14 Julai 2011, 18 hingga 21 Julai 2011 dan 25 hingga 28 Julai 2011.


Semasa perbicaraan, oleh kerana kes pembelaan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim bersandarkan sepenuhnya kepada persoalan syariah (sama ada pembiayaan BBA itu mengikut lunas Islam atau tidak), Bank Islam memfailkan permohonan kepada hakim supaya persoalan-persoalan ini diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) mengikut peruntukan Seksyen 56 Akta Bank Negara Malaysia. Permohonan ini dibantah oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.


Dalam penghakiman bertarikh 2 Disember 2011, hakim YA Dato’ Mohd Zawawi Salleh membenarkan permohonan Bank Islam[6] agar Majlis Penasihat Syariah BNM dirujuk untuk menentukan sama ada hujah YAB Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa pembiayaan BBA yang ditandatanganinya itu tidak berunsurkan Islam. Ini bermakna, sekiranya Majlis Penasihat Syariah BNM memutuskan bahawa kemudahan pembiayaan BBA yang ditawarkan oleh Bank Islam menepati ciri-ciri perbankan Islam, pembelaan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim akan terbatal dan beliau perlu membayar jumlah baki hutangnya kepada Bank Islam.


Pada 8 Disember 2011, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim YA Dato’ Mohd Zawawi Salleh yang membenarkan rujukan kepada Majlis Penasihat Syariah BNM.


Pada 14 Mei 2012, Mahkamah Rayuan menolak rayuan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim[7]. Ini bermakna keputusan sama ada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim perlu membayar baki hutangnya tetap bergantung kepada keputusan Majlis Penasihat Syariah BNM sama ada kemudahan BBA yang ditawarkan Bank Islam adalah berunsurkan perbankan Islam atau tidak.


Berikutan keputusan itu, YAB Tan Sri Khalid membuat permohonan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Pendengaran kes pada mulanya ditetapkan pada 24 April 2013 tetapi ditangguhkan beberapa kali ke tarikh-tarikh 2 September 2013 (tangguh), 21 Oktober 2013 (tangguh) dan 12 Februari 2014.


Dalam bulan Februari 2014, Mahkamah Persekutuan dimaklumkan bahawa plaintif dan defendan mahu menyelesaikan kes di luar mahkamah dan perbicaraan tidak diteruskan.


Dalam pengurusan kes pada 31 Mac 2014, kedua-dua pihak memaklumkan secara rasmi kepada Mahkamah Persekutuan bahawa tindakan mahkamah tidak akan diteruskan.


Keraguan Bersabit Integriti YAB Tan Sri Khalid Ibrahim Berikutan Pelupusan Hutang RM70 juta Secara Mengejut

Sejak dari awal, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim tidak pernah menafikan bahawa beliau berhutang dengan Bank Islam. Malah, perkara ini turut dijadikan asas penghakiman YA Rohana Yusuf yang menyebut bahawa “Tan Sri Khalid beberapa kali mengaku bahawa beliau mempunyai tanggungjawab untuk membayar hutang-hutang yang diambil di bawah pembiayaan al-murabaha dan al-bai bithaman ajil”[8].

Pada masa yang sama, Bank Islam mempunyai hujah yang kukuh untuk memenangi kes di mahkamah yang akan memaksa YAB Tan Sri Khalid Ibrahim membayar baki hutangnya. Satu-satunya pembelaan yang dibawa oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim ialah cuba menimbulkan keraguan bahawa pembiayaan al-bai bithaman ajil yang disediakan oleh Bank Islam tidak memenuhi syariah sepenuhnya. Atas hujah itu, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim cuba mendapatkan arahan mahkamah untuk membatalkan perjanjian pinjaman BBA yang ditandatangani sebelum itu dengan Bank Islam.

Jika hujah YAB Tan Sri Khalid Ibrahim itu diterimapakai, bermakna semua pinjaman yang dibuat di bawah kaedah BBA perbankan Islam yang diambil oleh semua rakyat Malaysia juga perlu diisytiharkan tidak sah dan terbatal. Ini termasuk pinjaman rumah dan pelbagai pinjaman lain yang banyak dibuat oleh rakyat kebanyakan di bawah kaedah BBA.

Malah, YA Dato’ Mohd Zawawi Salleh menulis di dalam penghakimannya hujah Bank Islam bahawa di bawah undang-undang sivil dan syariah, pihak yang memeterai perjanjian adalah terikat dengan perjanjian itu (aufu bit uqud) dan Tan Sri Khalid Ibrahim adalah tidak terkecuali dari prinsip undang-undang ini[9].

Kronologi keputusan mahkamah juga jelas menunjukkan bahawa Bank Islam mempunyai kes yang kukuh dan mahkamah telah berpihak kepada Bank Islam dalam penghakiman-penghakiman di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Oleh yang demikian, apabila Bank Islam tiba-tiba secara mengejut memutuskan untuk tidak meneruskan kes di mahkamah dalam keadaan ia mempunyai kedudukan yang kukuh, ia menimbulkan banyak tanda tanya. Tindakan Bank Islam tidak meneruskan kes yang bakal dimenanginya untuk mengutip hutang dari si penghutang adalah satu keputusan luar biasa yang sangat jarang berlaku kepada rakyat biasa.

Rundingan di antara Bank Islam dengan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menyelesaikan tuntutan hutang ini diluar mahkamah juga dibuat di luar pengetahuan peguam Bank Islam iaitu Tetuan Tommy Thomas[10]. Tetuan Tommy Thomas hanya tahu keputusan Bank Islam untuk menggugurkan saman tuntutan baki hutang melibatkan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim di saat-saat akhir pada pertengahan Februari 2014 dan beliau langsung tidak terlibat dalam sebarang rundingan untuk menyelesaikan tuntutan ini (seperti lazimnya yang mana peguam terlibat sama merundingkan sebarang penyelesaian di luar mahkamah).

Keraguan munasabah mula timbul apabila maklumat yang diperolehi dari pejabat YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan sumber Bank Islam seawal Januari 2014 menyebut bahawa penyelesaian di luar mahkamah di antara Bank Islam dan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dirundingkan oleh seorang tokoh korporat dan peguam bernama Tan Sri Rashid Manaf sebagai orang tengah. Akhirnya Setiausaha Politik YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri mengesahkan bahawa Menteri Besar ada beberapa kali berjumpa dengan Tan Sri Rashid Manaf untuk merundingkan penyelesaian hutangnya[11].

Setelah berita Bank Islam menggugurkan tindakan saman tuntutan hutang terhadap YAB Tan Sri Khalid Ibrahim ini disahkan pada 13 Februari 2014 (apabila kes rayuan di Mahkamah Persekutuan tidak didengari walaupun tarikh telah ditetapkan pada 12 Februari 2014), keraguan munasabah ini menjadi lebih kuat dan mempunyai asas apabila dilihat dari perspektif empat perkara iaitu:

Tan Sri Rashid Manaf adalah seorang tokoh korporat yang rapat dengan Umno. Beliau adalah bekas peguam Tun Daim Zainuddin dan dikenali sebagai “orang Daim”[12]


Dalam bulan Mac 2014 iaitu sebulan selepas Bank Islam bersetuju menggugurkan tuntutan baki hutang di mahkamah, Ecoworld Berhad iaitu syarikat pemaju yang berhubungkait dengan Tan Sri Rashid Manaf memeterai perjanjian-perjanjian melibatkan projek dan hartanah Kerajaan Selangor bernilai ratusan juta ringgit (akan dihuraikan lebih lanjut dalam bab seterusnya). Tan Sri Rashid Manaf adalah pengerusi Lembaga Pengarah dan pemegang saham utama Ecoworld Berhad


Tan Sri Khalid Ibrahim menyegerakan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) penstrukturan air dengan Kerajaan Persekutuan pada 26 Februari 2014 tanpa merujuk kepada pimpinan KEADILAN atau Pakatan Rakyat. Tan Sri Khalid Ibrahim juga mengakui bahawa MOU itu tidak pernah dibentangkan sebagai satu kertas EXCO untuk diluluskan, sebaliknya hanya dimaklumkan sebagai sebahagian dari agenda mesyuarat EXCO[13]. Isi kandungan MOU itu dipertikaikan oleh banyak pihak kerana dilihat berat sebelah apabila hanya mengikat komitmen Kerajaan Selangor untuk meluluskan Projek Langat 2 sedangkan tidak mempunyai apa-apa komitmen undang-undang di pihak Kerajaan Persekutuan (akan dihuraikan lebih lanjut dalam bab seterusnya)


Perlakuan Tan Sri Khalid Ibrahim yang berbaik-baik dengan pimpinan Barisan Nasional dan muncul berkali-kali di dalam media Barisan Nasional membuat kenyataan yang merugikan KEADILAN dan Pakatan Rakyat di dalam minggu-minggu kritikal sebelum penamaan calon Plihanraya Kecil Kajang (minggu di antara 23 Februari 2014 hingga 9 Mac 2014). Ini memberi ruang kepada media Barisan Nasional menyerang hebat kepimpinan KEADILAN terutamanya Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dipercayai dirancang sebagai persiapan menangani sentimen rakyat apabila beliau dijatuhkan hukuman bersalah oleh Mahkamah Rayuan. Serangan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut berpunca dari ruang yang dibuka sendiri oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim itu memuncak pada 7 Mac 2014 apabila Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim


Siasatan ke atas garis masa peristiwa-peristiwa yang berlaku merumuskan kesimpulan berikut:

Rundingan menyelesaikan tuntutan hutang di luar mahkamah dipercepatkan selepas KEADILAN mengumumkan Kajang Move pada 28 Januari 2014. Sebelum pengumuman dibuat, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim telah terlebih dahulu dimaklumkan keputusan dan permintaan parti pada 26 Januari 2014 supaya beliau berundur dan beliau menyatakan persetujuan kepada keputusan parti itu[14]


Sebaik sahaja Kajang Move diumumkan, berita mula berlegar bahawa berlaku rundingan di antara YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan Bank Islam untuk menyelesaikan tuntutan hutang Bank Islam diluar mahkamah yang diuruskan oleh Tan Sri Rashid Manaf


Pada 13 Februari 2014 iaitu 2 minggu selepas Kajang Move diumumkan, pendengaran kes rayuan tuntutan hutang Bank Islam terhadap YAB Tan Sri Khalid Ibrahim di Mahkamah Persekutuan tidak diteruskan dan mahkamah dimaklumkan bahawa kedua-dua pihak sedang merundingkan penyelesaian di luar mahkamah


Pada 26 Februari 2014, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim tiba-tiba mengumumkan bahawa satu MOU penstrukturan air telah ditandatangani di antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan


Pada 27 Februari 2014, Pendaftar Mahkamah Rayuan memanggil peguambela Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan bahawa pengurusan kes beberapa permohonan rayuan bersabit kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan didengari pada pagi itu juga


Pada 28 Februari 2014, secara luar biasa hakim YA Dato’ Aziah Ali telah mengendalikan sendiri pengurusan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Beliau mengejutkan peguambela dengan membuat keputusan untuk mempercepatkan pendengaran-pendengaran rayuan kes Dato’ Seri Anwar pada 3 Mac 2014 dan 6 hingga 7 Mac 2014 sedangkan tarikh perbicaraan telah pun ditetapkan pada 7 hingga 10 April 2014 sebelum itu


Pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwaraya terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan menjatuhkan hukuman bersalah terhadap beliau sekaligus menghilangkan kelayakan beliau untuk bertanding di dalam Pilihanraya Kecil Kajang


Pada 19 Mac 2014, Tropicana Corporation Berhad mengumumkan bahawa ia telah menjual 308.72 ekar tanah yang dibelinya dari Kerajaan Selangor (dalam bulan April 2013) kepada Ecoworld Berhad. Ini bermakna sebanyak 308.72 ekar tanah milik Kerajaan Selangor akhirnya dipindahmilik ke syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Rashid Manaf[15]


Pada 25 Mac 2014, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menandatangani satu lagi MOU dengan Ecoworld Berhad yang menganugerahkan projek pembinaan 2,400 unit rumah pangsa mampu milik di bawah Kerajaan Selangor yang dianggarkan bernilai RM591 juta kepada Ecoworld Berhad[16]


Pada 31 Mac 2014, Bank Islam dan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah semasa pengurusan kes bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang berikutan penyelesaian di luar mahkamah yang telah dicapai[17]


Pada 23 April 2014, Bank Islam memfailkan circular resolution kepada pemegang saham sebagai sebahagian dari peraturan Bursa Malaysia. Ia turut menyenaraikan perjalanan kes tuntutan baki hutang dari YAB Tan Sri Khalid Ibrahim. Circular resolution itu turut mengesahkan bahawa Bank Islam telah bersetuju menggugurkan tuntutan saman baki hutang dari YAB Tan Sri Khalid Ibrahim walaupun “peguam Bank Islam berpendapat Bank Islam mempunyai kes yang kuat terhadap lawan”[18]


Kesemua fakta-fakta ini menimbulkan keraguan terhadap integriti YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan mengundang pelbagai spekulasi terutamanya dari kalangan media. Pihak media mula mengajukan pelbagai soalan kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mendedahkan terma dan syarat-syarat penyelesaian hutangnya yang mencecah RM70 juta (baki hutang pokok dan faedah).

Mengambil kira pelbagai kontroversi dan spekulasi ini, pimpinan parti termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim memohon supaya YAB Tan Sri Khalid Ibrahim berlaku telus dan menjelaskan kepada pimpinan parti dan Pakatan Rakyat terma-terma utama penyelesaian hutangnya dengan Bank Islam untuk menghentikan spekulasi.

YAB Tan Sri Khalid Ibrahim Enggan Berterus Terang Mengenai Pelupusan Hutang RM70 juta Secara Mengejut

Sikap YAB Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai penyelesaian hutangnya dan pelbagai spekulasi menunjukkan beliau tidak mahu berlaku telus. Sehingga ke hari ini, beliau masih belum membuat penjelasan kepada pimpinan KEADILAN mengenai perkara itu walaupun dinasihatkan.

Semasa diasak oleh pihak media, jawapan beliau ialah “penyelesaian hutang itu adalah soal peribadi beliau dan beliau tidak perlu memberi penjelasan”. Pendirian ini dikecam oleh pihak media terutamanya penerbitan perniagaan utama negara iaitu The Edge yang menegaskan bahawa kedudukan beliau sebagai seorang Menteri Besar menyebabkan perkara seperti penyelesaian hutang beliau menjadi perkara berkepentingan awam.

KEADILAN telah memberikan beberapa kali memberikan arahan kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membuat penjelasan kepada pimpinan parti dan Pakatan Rakyat tetapi tidak dihiraukan. Tambahan pula, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim jarang sekali menghadiri apa-apa mesyuarat parti dan ini menyukarkan lagi usaha untuk mendapat penjelasan dari beliau setelah spekulasi mula bertiup kencang bahawa beliau berunding dengan tokoh yang rapat dengan Umno untuk menyelesaikan hutang beliau.

Rekod yang boleh disahkan menunjukkan beliau hanya pernah menerangkan mengenai hutang beliau ini sebanyak satu kali kepada pimpinan Pakatan Rakyat iaitu dalam satu mesyuarat khas di antara beliau dan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat pada 6 Mac 2014 bertempat di Quality Hotel antara jam 9 malam hingga 11 malam. Mesyuarat tergempar itu dipanggil oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim setelah YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menandatangani MOU penstrukturan air dengan Kerajaan Pusat tanpa memberi maklumat terlebih dahulu kepada pimpinan parti sehingga menimbulkan kontroversi apabila MOU dilihat berat sebelah.

Wakil-wakil parti yang hadir di dalam mesyuarat tertutup itu adalah:

Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai pengerusi
Saudara Azmin Ali (wakil KEADILAN)
Dato’ Saifuddin Nasution Ismail (wakil KEADILAN)
Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (wakil PAS)
Dato’ Mustafa Ali (wakil PAS)
Saudara Lim Kit Siang (wakil DAP)
Saudara Tan Kok Wai (wakil DAP)
Saudara Rafizi Ramli (dijemput untuk membincangkan perincian khusus MOU air)
Saudara Tony Pua (dijemput untuk membincangkan perincian khusus MOU air)
Sebagai pengerusi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menanyakan secara khusus kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim supaya beliau (Tan Sri Khalid) menerangkan sendiri terma-terma sehingga membolehkan Bank Islam menarik balik tindakan mahkamah menuntut hutang daripadanya.

Berikut adalah penjelasan yang dibuat oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat[19]:

“… bahawa beliau mempunyai kenalan dari Bank al-Rajhi dari Arab Saudi yang sudi membantu tetapi beliau perlu merahsiakannya kalau tidak urusniaga itu bocor.

… bahawa Bank Islam bersetuju untuk menghentikan tindakan mahkamah kerana YAB Tan Sri Khalid (dalam masa satu hingga dua bulan dari tarikh itu) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Permodalan Nasional Berhad (PNB). Beliau yakin akan menang dan menyatakan akan mendapat wang bayaran RM300 juta dari PNB yang akan digunakan untuk melunaskan hutangnya dengan Bank Islam.

… bahawa berdasarkan janjinya untuk mengambil tindakan terhadap PNB dan bakal menang wang RM300 juta, Bank Islam bersetuju untuk menggugurkan tindakan undang-undang menuntut hutang dari beliau.”

Penjelasan beliau itu tidak masuk akal dan tidak dapat diterima oleh pimpinan KEADILAN yang menguatkan lagi keraguan terhadap integriti beliau apabila beliau tidak dapat menerangkan dengan telus dan baik kenapa beliau diberi layanan paling istimewa oleh Bank Islam yang sudah beberapa kali menang kes terhadap beliau di mahkamah.

Tidak ada bank di dunia ini yang akan menggugurkan tuntutan hutang di mahkamah (apatah lagi dalam kes yang begitu kuat seperti kes Bank Islam terhadap YAB Tan Sri Khalid Ibrahim) atas alasan mahu menunggu tindakan mahkamah yang lain yang akan diambil oleh penghutang, seperti yang didakwa oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

Malah, sehingga kini setelah lima bulan berlalu dari tarikh mesyuarat itu, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mengambil sebarang tindakan mahkamah terhadap PNB seperti yang didakwanya dalam mesyuarat dengan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat itu.

Sehingga kini, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim enggan memberi penjelasan yang telus dan boleh diterima akal mengenai perkara-perkara berikut:

Kenapa beliau mendapat layanan istimewa sehingga hutangnya yang mencecah RM70 juta dimaafkan oleh Bank Islam?


Kenapa beliau merundingkan penyelesaian di luar mahkamah dengan Bank Islam melalui Tan Sri Rashid Manaf, bekas peguam Tun Daim Zainuddin?


Apakah terma-terma penyelesaian di luar mahkamah yang dipersetujui di antara beliau, Bank Islam dan pihak-pihak lain?


Kenapa beliau mengambil tindakan (dalam isu air dan penganugerahan kontrak/penjualan aset) yang dianggap sebagai serong dan menimbulkan syak wasangka secara mengejut dalam dua minggu selepas Bank Islam bersetuju untuk tidak meneruskan kes tuntutan hutang di mahkamah?


Kenapa beliau membuat kenyataan dan muncul dalam media Barisan Nasional yang memberi ruang kepada Barisan Nasional menyerang KEADILAN dalam 2 minggu sebelum hukuman dijatuhkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim?


Apakah benar dakwaan dan maklumat bahawa sebagai tukaran kepada penyelesaian hutang RM70 juta beliau, antara lain beliau perlu bersetuju dengan penstrukturan air termasuk memberikan kelulusan serta merta kepada Projek Langat 2?


Sebagai parti yang pernah melalui kesukaran akibat pengkhianatan dari bekas-bekas wakil rakyatnya yang melompat, sudah menjadi kebiasaan pimpinan KEADILAN untuk mengambil berat mengenai dakwaan dan tindakan wakil rakyatnya yang menimbulkan syak wasangka.

Keengganan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memberi penjelasan yang masuk akal dan berlaku telus dalam soal penyelesaian hutang banknya yang bernilai RM70 juta itu, terutamanya setelah tindakan-tindakan beliau yang terburu-buru dalam tempoh sebulan selepas tindakan mahkamah dihentikan oleh Bank Islam, menguatkan kesimpulan pimpinan KEADILAN bahawa ada keraguan munasabah yang mempersoalkan integriti YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

KEADILAN mengambil ketetapan bahawa tidak ada kompromi dalam persoalan integriti. Oleh itu, atas kegagalan dan keengganan beliau memberi penjelasan dan bukti yang munasabah untuk mempertahankan integriti beliau, ada asas yang kukuh untuk melucutkan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dari jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

URUSNIAGA MELIBATKAN KERAJAAN SELANGOR DAN ECOWORLD BERHAD YANG DIKAWAL OLEH TAN SRI RASHID MANAF

Penglibatan Tan Sri Rashid Manaf sebagai “orang tengah” yang merundingkan penyelesaian hutang bank berjumlah RM70 juta dengan Bank Islam menimbulkan keraguan terhadap integriti YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

Keraguan ini diperkuatkan lagi apabila Kerajaan Selangor disabitkan di dalam dua urusniaga berjumlah ratusan juta ringgit yang memberi keuntungan kepada Ecoworld Berhad iaitu syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Rashid Manaf sebagai pengerusi dan pemegang saham utama.

Dua urusniaga tersebut adalah seperti berikut:

Pada 19 Mac 2014, Tropicana Corporation Berhad mengumumkan bahawa ia telah menjual 308.72 ekar tanah yang dibelinya dari Kerajaan Selangor (dalam bulan April 2013) kepada Ecoworld Berhad.
Tanah seluas 308.72 ekar ini adalah sebahagian dari sejumlah 1,172 ekar tanah milik Kerajaan Selangor yang dijual kepada Tropicana Corporation Berhad dalam bulan April 2013.

Pada 15 April 2013, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menandatangani perjanjian dengan Tropicana Corporation Berhad untuk menjual sejumlah 1,172 ekar tanah kepada Tropicana Corporation Berhad.

Urusniaga ini menimbulkan kontroversi kerana Kerajaan Selangor menandatanganinya setelah pembubaran Parlimen diisytiharkan dan sewajarnya Kerajaan Selangor pada ketika itu adalah caretaker government yang tidak membuat sebarang komitmen besar. Tindakan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menandatangani perjanjian penjualan tanah itu telah mengundang kontroversi besar dan mencemarkan nama KEADILAN sebelum Pilihanraya Umum ke-13 walaupun parti tidak tahu menahu mengenai urusniaga tersebut.

Kontroversi yang lebih besar ialah jadual pembayaran yang dipersetujui oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Tropicana Corporation Berhad yang dilihat memberi keistimewaan besar kepada Tropicana. Walaupun tanah seluas 1,172 ekar itu dijual pada harga RM1.3 bilion, bayaran hanya perlu dibuat oleh Tropicana Corporation Berhad dalam tempoh 20 tahun dari tarikh perjanjian.

Tropicana Corporation Berhad hanya perlu membayar deposit sebanyak RM50 juta diikuti dengan dua bayaran awal dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjanjian. Baki RM537 juta akan dibayar dalam bayaran ansuran tahunan selama 12 tahun dari perjanjian. Baki terakhir RM458 juta hanya perlu dibayar dalam bentuk 5% pegangan dalam projek yang akan dibangunkan oleh Tropicana Corporation Berhad di atas tanah itu dalam tempoh 18 tahun akan datang[20].

Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) adalah anak syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) iaitu agensi pelaburan milik penuh Kerajaan Selangor. Pengerusi Lembaga Pengarah MBI dan PNSB adalah YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri. Ketua Pegawai Eksekutif MBI adalah Puan Faekah Hussein, bekas Setiausaha Politik YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan penasihat politik utama Menteri Besar.

Tropicana Corporation Berhad dikawal dan dimiliki oleh Tan Sri Danny Tan, adik kepada Tan Sri Vincet Tan (yang dikenali kroni utama Barisan Nasional).

Belum pun kontroversi penjualan tanah itu reda kerana perjanjian berat sebelah, satu lagi kontroversi timbul apabila sebahagian tanah itu dijual pula kepada Ecoworld Berhad yang dikawal oleh Tan Sri Rashid Manaf.

Penjualan dari Tropicana Corporation Berhad kepada Ecoworld Berhad pada 19 Mac 2014 bermakna tanah seluas 308.72 ekar yang dimiliki Kerajaan Selangor akhirnya dipindahmilik kepada syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Rashid Manaf.

Ini berlaku dalam tempoh sebulan persetujuan penyelesaian hutang di antara YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan Bank Islam yang rundingannya diuruskan oleh Tan Sri Rashid Manaf.

Pada 25 Mac 2014, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menandatangani satu lagi MOU dengan Ecoworld Berhad yang menganugerahkan projek pembinaan 2,400 unit rumah pangsa mampu milik di bawah Kerajaan Selangor yang dianggarkan bernilai RM591 juta kepada Ecoworld Berhad[21].
Projek perumahan mampu milik di Sungai Sering, Ukay Perdana ini pada asalnya melalui proses tender terbuka dan sebuah syarikat lain telah dikenalpasti untuk dilantik. Proses rundingan dengan syarikat itu berlanjutan sehingga beberapa tahun selepas proses tender terbuka.

Selepas rundingan yang berpanjangan itu, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim mengejutkan industri apabila projek itu dianguerahkan secara tiba-tiba kepada Ecoworld Berhad yang tidak terlibat sebelum itu.

Projek dan tanah yang terbabit dianugerahkan dalam tempoh sebulan dari tarikh penyelesaian hutang RM70 juta dengan Bank Islam yang dirundingkan oleh Tan Sri Rashid Manaf.

URUSNIAGA PENSTRUKTURAN AIR YANG DILIHAT MERUGIKAN KERAJAAN SELANGOR[22]

Perbezaan pendapat mengenai pendekatan Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim merundingkan urusniaga penstrukturan air ini berkisar kepada 3 perkara pokok:

Apa kaedah nilaian untuk menilai bayaran/pampasan yang adil kepada syarikat-syarikat pemegang konsesi agar syarikat-syarikat ini menyerahkan aset mereka kepada Kerajaan Selangor dalam satu urusniaga suka sama suka (willing buyer willing seller)

Berapakah jumlah bayaran yang adil kepada setiap syarikat konsesi dan dari mana wang ini boleh diperolehi untuk membayar setiap syarikat konsesi

Apakah terma-terma perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan yang adil kepada rakyat Selangor untuk mengelakkan perjanjian konsesi yang membebankan rakyat dalam jangka masa panjang seperti yang ada sekarang

Sejak dari awal, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memilih untuk menggunakan pendekatan korporat (ala board room deals) untuk menyelesaikan penstrukturan ini walaupun beliau tahu ada kepentingan politik di belakang syarikat-syarikat pemegang konsesi utama iaitu Puncak Niaga dan Syabas yang dimiliki dan dikawal oleh Tan Sri Rozalli Ismail. Beliau tidak mahu menggunakan tekanan awam (public pressure) sebagai salah satu pendekatan untuk mendapatkan persetujuan dari syarikat-syarikat pemegang konsesi sedangkan umum mengetahui hubungkait syarikat ini dengan Umno dan Barisan Nasional.

Akibatnya, rundingan berlanjutan dan seringkali menemui kebuntuan. Pada masa yang sama, masalah bekalan air yang sering terganggu di Selangor dan Lembah Klang menjadi senjata utama terhadap Pakatan Rakyat yang dimainkan secara berterusan oleh Barisan Nasional.

Pentadbiran YAB Tan Sri Khalid Ibrahim akhirnya membuat tawaran akhir kepada pemegang-pemegang konsesi dalam Februari 2013. Tawaran kepada pemegang konsesi swasta adalah seperti berikut:

Puncak Niaga & Syabas Splash
Hutang yang diambilalih
(RM bilion)


4.06


1.6

Pampasan keuntungan
(RM bilion)


1.07


2.5



Tawaran ini ditolak oleh Puncak Niaga dan Syabas walaupun dipersetujui oleh syarikat pemegang konsesi yang lain.

Menjelang akhir 2013, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengubahsuai tawaran asal yang dibuat dalam Februari 2013 agar lebih menguntungkan Syabas dan Puncak Niaga.

Dalam tawaran akhir yang ditandatangani dengan Kerajaan Persekutuan melalui MOU penstrukturan air, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim telah menaikkan bayaran pampasan keuntungan kepada Tan Sri Rozalli Ismail (melalui Puncak Niaga dan Syabas yang dikawal oleh beliau) sebanyak RM568 juta.

Pada masa yang sama, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim juga telah memotong nilaian terhadap satu lagi pemegang konsesi iaitu Splash (yang beliau sendiri muktamadkan beberapa bulan sebelum itu) sebanyak sekitar RM2 bilion, dipercayai untuk memastikan harga keseluruhan tawaran kepada syarikat-syarikat pemegang konsesi tidak terlalu jauh dari jumlah yang pernah diumumkan beliau walaupun beliau telah menaikkan jumlah pampasan kepada Puncak Niaga dan Syabas.

Maka, tawaran akhir yang ditandatangani oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan mengikut MOU penstrukturan air pada 26 Februari 2014 adalah seperti berikut:

Puncak Niaga & Syabas Splash
Hutang yang diambilalih
(RM bilion)

4.06 1.6
Pampasan keuntungan
(RM bilion)

1.638 0.251
Perubahan tawaran dari tawaran asal Februari 2013
(RM bilion)


Dinaikkan sebanyak

RM568 juta


Dikurangkan sebanyak

RM2 bilion



Selain dari pertikaian mengenai nilaian pampasan kepada syarikat-syarikat pampasan, MOU yang ditandatangani oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim secara tergesa-gesa tanpa mendapat kelulusan parti dan tidak dibentangkan di mesyuarat EXCO juga mengundang kontroversi kerana dilihat berat sebelah.

Mengambil kira kesemua isu-isu ini, pimpinan KEADILAN merumuskan bahawa ada isu-isu penting bersabit penstrukturan air yang menyentuh soal prinsip perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat yang perlu dijawab oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim seperti berikut:

Apakah kewajaran membayar pampasan yang begitu tinggi kepada syarikat-syarikat pemegang konsesi kerana dasar KEADILAN dan Pakatan Rakyat menentang penggunaan wang rakyat untuk mengkayakan kroni atas nama penswastaan.
Jumlah keseluruhan yang akan dibayar oleh Kerajaan Selangor untuk membeli pemegang konsesi akan ditanggung sepenuhnya oleh rakyat Selangor. Lebih tinggi harga tawaran, lebih tinggi kadar tarif air di masa hadapan. Tanggungjawab Kerajaan Selangor adalah memastikan harga yang paling rendah untuk memastikan kadar tarif air yang berpatutan di masa hadapan.

Tawaran yang dibuat oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim bermakna bukan sahaja pemegang-pemegang konsesi akan dibebaskan dari tanggungjawab membayar hutang mereka (kerana hutang akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan dan dibayar oleh Kerajaan Negeri secara ansuran tahunan), mereka juga diberi pampasan yang tinggi sebagai “pampasan keuntungan”.

Tindakan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menaikkan secara tiba-tiba pampasan keuntungan kepada Tan Sri Rozalli Ismail sebanyak RM568 juta untuk mendapatkan persetujuan kroni Umno itu mengundang syak wasangka dan memangsakan rakyat.

Apatah lagi apabila nilaian syarikat-syarikat milik Tan Sri Rozalli Ismail itu menunjukkan nilai aset bersih (aset dan keuntungan ditolak hutang) adalah negatif sekiranya syarikat itu dinilai secara amalan biasa (berdasarkan aset dan hutang). Malah, sebelum ini pun dalam tahun 2011 Syabas dan Puncak Niaga telah pun diselamatkan menggunakan wang rakyat oleh Kerajaan Persekutuan apabila Kerajaan Persekutuan mengambil alih bon-bon hutangnya (dan pemegang konsesi yang lain) yang melibatkan RM6.5 bilion dana awam[23] setelah syarikat-syarikat itu dijangka gagal membayar ansuran hutang yang dijadualkan kepada pemegang bon.

Pendirian Pakatan Rakyat pada ketika itu[24] adalah syarikat pemegang konsesi yang tidak mempunyai aliran tunai yang baik untuk membayar ansuran hutang mereka seperti Syabas dan Puncak Niaga tidak wajar diselamatkan kerana tekanan untuk membayar hutang itu akan memudahkan Kerajaan Selangor merundingkan harga tawaran yang munasabah.

Jika tidak kerana tindakan Kerajaan Persekutuan menyelamatkan Syabas dan Puncak Niaga dalam tahun 2011, syarikat-syarikat ini telah pun muflis dan boleh diambilalih dengan lebih mudah bagi tujuan penstrukturan air.

Oleh sebab itulah, keputusan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menaikkan bayaran pampasan sehingga RM568 juta dan menjadikan pampasan keseluruhan sebanyak RM1,638 juta dikira bertentangan dengan prinsip perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

Pada pandangan pimpinan KEADILAN, membayar pampasan keuntungan sebanyak RM1,638 juta kepada kroni bagi syarikat yang hampir muflis tidaklah berbeza dengan tindakan-tindakan BN dalam siri bail out seperti menghapuskan hutang Tan Sri Tajuddin Ramli, membayar pampasan yang lebih tinggi kepada Mirzan Mahathir dan lain-lain yang selama ini ditentang KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

MOU yang ditandatangani tidak pun menjamin penstrukturan air dapat dijalankan di bawah kawalan Kerajaan Selangor seperti yang dimandatkan oleh KEADILAN dan Pakatan Rakyat kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.
Umum mengetahui bahawa MOU itu adalah berat sebelah dan hanya mengikat di sisi undang-undang Kerajaan Selangor sedangkan komitmen Kerajaan Persekutuan tidak diikat.

Kerajaan Persekutuan berjaya mendapatkan kelulusan Kerajaan Selangor untuk meneruskan Projek Langat 2 dan memperolehi bayaran pampasan yang lumayan kepada Syabas dan Puncak Niaga.

Sebaliknya, selepas ditandatangani Kerajaan Selangor tersasar dari tempoh masa yang diumumkan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri untuk menyempurnakan pengambilalihan semua pemegang konsesi kerana keengganan Kerajaan Persekutuan memenuhi komitmen yang dinyatakan secara longgar di dalam MOU untuk menggunakan kuasa Kerajaan Persekutuan di bawah akta untuk mengambilalih pemegang-pemegang konsesi yang enggan menerima tawaran.

Sehingga kini iaitu 5 bulan selepas MOU ditandatangani dan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim muncul di kaca televisyen memberi gambaran beliau lebih selesa berurusan dengan Barisan Nasional untuk menyelesaikan masalah air rakyat berbanding Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan KEADILAN yang mempersoalkan kandungan MOU, Kerajaan Persekutuan masih enggan menggunakan kuasanya mengambilalih pemegang konsesi yang menolak tawaran Kerajaan Selangor.

Ini bermakna, walaupun kelulusan Projek Langat 2 telah diberikan, status penstrukturan air yang diusahakan Kerajaan Selangor seperti yang dimandatkan oleh KEADILAN dan Pakatan Rakyat masih berada di takuk yang sama.

Pada 1 Ogos 2014, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sekali lagi membelakangkan pimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat apabila beliau menandatangani pula perjanjian induk (heads of agreement) dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperincikan lagi perjanjian-perjanjian berkenaan penstrukturan air yang dibuat di dalam MOU.

Rumusan terma-terma utama yang diedarkan oleh Raja Idris Kamaruddin (Pengerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad dan orang kanan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dalam rundingan penstrukturan air) kepada beberapa orang pimpinan KEADILAN, DAP dan PAS[25] pada 2 Ogos 2014 menunjukkan bahawa perjanjian yang ditandatangani itu masih belum mengikat Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan kuasanya mengambilalih pemegang konsesi yang menolak tawaran Kerajaan Selangor.

Oleh itu, pimpinan KEADILAN percaya YAB Tan Sri Khalid Ibrahim perlu menjelaskan kenapa beliau secara berterusan menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak pun menyelesaikan masalah air di Selangor tetapi memberi kelebihan kepada Kerajaan Persekutuan sahaja.

Sehingga sekarang YAB Tan Sri Khalid Ibrahim mengelak dari menjawab persoalan-persoalan pokok yang bersabit prinsip perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat ini. Lebih malang lagi apabila individu yang rapat dengan beliau seperti Puan Faekah Hussein dilihat menggunakan media sosial dan blogger anti Pakatan Rakyat seperti Raja Petra Kamaruddin[26] untuk menyerang kepimpinan KEADILAN dengan membuat tuduhan liar dan tidak berasas.

Tuduhan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Saudara Rafizi Ramli dan KEADILAN Mengambil Komisen RM60 Juta dari SPLASH

Tuduhan yang paling sering diulang adalah kononnya KEADILAN melalui Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Saudara Rafizi Ramli telah mengikat perjanjian sulit untuk mendapatkan komisen sebanyak RM60 juta dari Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah, salah seorang pemegang saham utama Splash.

Tuduhan ini dimainkan di dalam blog Raja Petra Kamaruddin dan kemudiannya dipetik oleh media milik Barisan Nasional.

Tidak pernah ada satu bukti pun yang dikemukakan oleh Raja Petra Kamaruddin melainkan tohmahan semata-mata. Tidak ada satu dokumen pun yang pernah ditampilkan oleh Raja Petra Kamaruddin.

Tuduhan ini dibawa untuk mengalihkan perhatian dari isu sebenar iaitu bagaimana pemenang terbesar dari penstrukturan air ialah Tan Sri Rozalli Ismail, kroni utama Umno yang akan mendapat pampasan keuntungan sebanyak RM1,638 juta. Tuduhan terhadap KEADILAN itu juga bertujuan untuk menutup satu fakta yang paling jelas iaitu YAB Tan Sri Khalid Ibrahim telah menaikkan nilai pampasan keuntungan sebanyak RM568 juta dari tawaran asal kepada Tan Sri Rozalli Ismail.

Sudah tentu keputusan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim itu yang dibuat pada akhir tahun 2013 dibantah oleh Splash kerana nilaian pampasan Splash dipotong mendadak sebanyak RM2 bilion sedangkan pampasan Tan Sri Rozalli Ismail dinaikkan RM568 juta.

Splash memohon untuk bertemu dengan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim beberapa kali untuk membincangkan pertukaran nilaian mendadak ini di antara bulan Oktober 2013 hingga Disember 2013 tetapi tidak dilayan oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim. Beliau menyatakan secara terbuka bahawa beliau tidak berniat untuk memberi ruang kepada Splash untuk membincangkan pertukaran nilaian yang diputuskan itu.

Perkara ini kemudiannya dibawa ke pengetahuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan KEADILAN.

Keengganan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk berjumpa dan menjelaskan kenapa beliau mengambil tindakan mengejut menukar dan memotong nilaian kepada Splash sehingga RM2 bilion dilihat sebagai tidak adil memandangkan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim terus berurusan dan berjumpa dengan tokoh niagawan yang rapat dengan Barisan Nasional seperti Tan Sri Rozalli Ismail, Tan Sri Rashid Manaf dan Tan Sri Danny Tan.

Oleh yang demikian, di dalam beberapa mesyuarat (sama ada pertemuan khusus Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim atau di dalam mesyuarat Biro Politik) pimpinan KEADILAN menyatakan pendirian seperti berikut berhubung keengganan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim bertemu dengan Splash untuk menerangkan rasional pemotongan nilaian:

Adalah tidak adil di pihak YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menidakkan peluang mana-mana pemegang konsesi untuk duduk berbincang mengenai penstrukturan air di Selangor. Jika YAB Tan Sri Khalid Ibrahim selesa berbincang dan mencapai persetujuan dengan Syabas dan Puncak Niaga, beliau juga perlulah mengambil sikap yang sama kepada mana-mana pihak lain termasuklah Splash


Kerajaan Selangor perlu berhati-hati berurusan dengan Splash supaya ia (dan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim) tidak dilihat berat sebelah dan prejudis terhadap Splash sebagai salah satu pemegang konsesi. Nilaian dan pampasan yang diputuskan perlulah boleh dipertahankan secara komersial dan adil berdasarkan aset, hutang dan prestasi syarikat supaya ia setara dengan prinsip yang digunapakai dalam menilai pampasan kepada pemegang konsesi lain seperti Syabas dan Puncak Niaga.
Pimpinan KEADILAN juga berulang kali mengingatkan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa jika nilaian dan pampasan terhadap Splash dilihat tidak adil berbanding pemegang konsesi lain seperti Syabas dan Puncak Niaga, Splash boleh mengambil tindakan menyaman Kerajaan Selangor di mahkamah.

Jika nilaian itu apabila dibicarakan di mahkamah diputuskan tidak adil dan tidak seragam apabila dibandingkan dengan Syabas dan Puncak Niaga, mahkamah boleh mengarahkan Kerajaan Selangor membayar pampasan tambahan kepada Splash.

Jika ini berlaku, rakyat Selangor juga yang akan menanggung kos yang lebih tinggi untuk mengambilalih industri air.

Oleh sebab itu, pimpinan KEADILAN menasihati adalah lebih baik sekiranya YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memberi layanan sama rata kepada semua pemegang konsesi termasuklah Splash.

KEADILAN dan pimpinannya tidak pernah campur tangan dalam sebarang rundingan dengan Splash seperti yang didakwa oleh Raja Petra Kamaruddin selain dari dua pendirian yang dinyatakan di atas.

Kedua-dua arahan parti itu tidak dilayan oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sehingga kini.

Beliau juga tidak menghormati arahan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang mengarahkan secara khusus tidak ada sebarang perjanjian mengenai penstrukturan air yang boleh ditandatangani tanpa melibatkan semakan dan maklumbalas Panel Air Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh Saudara Tony Pua (DAP), Saudara Rafizi Ramli (KEADILAN), Dr Dzulkifly Ahmad (PAS) dan Saudara Tommy Thomas (peguam bebas)[27]. YAB Tan Sri Khalid Ibrahim tidak pernah memberi salinan perjanjian-perjanjian sebelum ia ditandatangani bertentangan dengan arahan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Justeru, apabila YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri membuat kenyataan media yang memberi gambaran seolah-olah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan KEADILAN cuba mempengaruhi rundingan penstrukturan air untuk mendapatkan habuan wang ringgit, ia adalah satu tindakan yang sangat dikesali oleh KEADILAN.

Tindakan itu bersifat tidak jujur, mengundang fitnah terhadap parti dan tidak menerangkan perkara yang sebenar. Ia satu permainan politik yang mengelirukan rakyat.

Sikap sebegini menguatkan lagi pendapat pimpinan KEADILAN yang merasakan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim lebih mendepankan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar dari keutuhan dan kesepakatan KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

SOKONGAN YAB TAN SRI KHALID IBRAHIM UNTUK MELAKSANAKAN LEBUHRAYA KIDEX

Populariti YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menjunam di kalangan pengundi bukan Melayu terutamanya di sekitar Petaling Jaya akibat keengganan beliau untuk memberi ruang kepada bantahan terhadap projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX).

Setakat ini, bantahan terhadap KIDEX telah bertukar menjadi isu nasional yang boleh mengancam sokongan bukan Melayu di seluruh Malaysia kepada Pakatan Rakyat.

Penduduk-penduduk di Petaling Jaya yang terkesan dengan KIDEX membantah projek ini atas 3 alasan utama iaitu:

Projek ini tidak menguntungkan penduduk kerana hanya melalui kawasan mereka di Petaling Jaya. Malah, mereka mempersoalkan sama ada projek ini boleh menyelesaikan masalah trafik yang dialami


Projek bernilai RM2.2 bilion ini telah dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada dua buah syarikat yang dikawal oleh tokoh-tokoh yang rapat dengan Umno iaitu Datuk Hafarizam Harun (peguam Umno) dan Tun Zaki Azmi (bekas Ketua Hakim Negara melalui isteri beliau)[28]. Selain pembinaan lebuhraya itu, syarikat-syarikat ini akan diberi hak untuk mengutip tol selama 40 tahun.
Sokongan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim agar projek ini dilaksanakan dilihat bertentangan dengan dasar dan prinsip KEADILAN dan Pakatan Rakyat yang menentang penswastaan berat sebelah yang memberi keuntungan melampau kepada kroni

Lebuhraya bertol ini bertentangan dengan janji manifesto Pakatan Rakyat untuk menghapuskan tol secara berperingkat-peringkat. Sokongan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kepada projek lebuhraya yang akan mengenakan tol selama 40 tahun dilihat bertentangan dengan dasar dan prinsip KEADILAN dan Pakatan Rakyat
Malah, sokongan terbuka YAB Tan Sri Khalid Ibrahim yang enggan memberi ruang kepada pendapat yang menentang KIDEX juga bertentangan dengan arahan khusus yang dibuat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai pendekatan KEADILAN mengurangkan bebanan rakyat dengan menentang kenaikan tol[29].

Walaupun telah diberikan arahan berkali-kali dan dinasihati oleh pimpinan parti supaya memberi ruang kepada pandangan yang membantah KIDEX, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim terus tidak menghiraukan arahan dan nasihat ini melalui pertembungan terbuka dengan kumpulan penduduk yang menentang KIDEX.

Ini dikhuatiri membawa kesan mendadak kepada tahap sokongan pengundi bukan Melayu di Selangor terhadap Pakatan Rakyat.

PRESTASI PENTADBIRAN KERAJAAN SELANGOR DI BAWAH KEPIMPINAN YAB TAN SRI KHALID IBRAHIM

Prestasi pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim pada penggal pertama adalah baik dan memuaskan.

Bersama-sama dengan semangat perubahan yang dijana oleh Pakatan Rakyat di peringkat pusat, pentadbiran yang baik di peringkat kerajaan Selangor menjadi kombinasi faktor yang membantu Pakatan Rakyat menang besar dalam PRU13 di Selangor.

Walau bagaimana pun, ada beberapa perkara berbangkit mengenai pentadbiran Selangor yang perlu diperbaiki demi mempertahankan kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor. Lebih penting, prestasi dalam penggal pertama perlu dipertingkatkan agar boleh dijadikan batu loncatan untuk memenangi Putrajaya.

Strategi menjadikan Selangor sebagai negeri model pemerintahan Pakatan Rakyat adalah strategi utama KEADILAN yang akan membantu PAS dan DAP di negeri-negeri lain.

Oleh yang demikian, perbincangan berterusan dengan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai prestasi pentadbiran Kerajaan Selangor berlaku dan menyentuh perkara-perkara ini:

Penyelesaian yang lebih lestari dan konsisten kepada prestasi kutipan sampah di Selangor.
Masalah kebersihan dan prestasi kutipan sampah masih menjadi isu utama di Selangor yang perlu diselesaikan segera. Walaupun tindakan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memotong orang tengah dan berurusan terus dengan kontraktor untuk menjimatkan belanja dipuji, ia perlulah disertai dengan prestasi kutipan sampah yang memuaskan hati penduduk.

Kajiselidik Penilaian Asas Untuk Menambahbaik Prestasi PBT Selangor[30] menunjukkan bahawa masalah pengurusan sampah adalah isu ketiga terpenting yang disenaraikan oleh responden apabila ditanya masalah setempat yang perlu diberi perhatian segera oleh Kerajaan Negeri.

Apabila ditanya apakah tindakan segera yang boleh diambil Kerajaan Negeri yang boleh meningkatkan kualiti hidup penduduk, responden menamakan pengurusan sampah sebagai tindakan yang paling penting.

Kajiselidik itu yang dibuat oleh Kerajaan Selangor sendiri mengesahkan bahawa prestasi kutipan sampah di Selangor perlu ditangani secepat mungkin dan diperbaiki.

Masalah ini telah berlarutan beberapa tahun dan kelambatan memperbaiki prestasi kutipan sampah menjejaskan imej kecemerlangan pentadbiran Pakatan Rakyat

Satu lagi aduan utama yang menjejaskan imej kecemerlangan pentadbiran Pakatan Rakyat ialah aduan jalan berlubang yang sering didengari.
Masalah ini turut disahkan oleh Kajiselidik Penilaian Asas Untuk Menambahbaik Prestasi PBT Selangor sebagai salah satu masalah teratas yang perlu diperbaiki oleh Kerajaan Selangor.

Responden menamakan masalah infrastruktur awam sebagai masalah terpenting (di tangga teratas) yang perlu diberi perhatian segera oleh Kerajaan Selangor. Apabila ditanya tentang isu-isu yang perlu diselesaikan segera yang boleh meningkatkan kualiti hidup rakyat, responden menamakan “kemudahan awam” (di tempat kedua) dan “jalan berlubang” (di tempat keempat).

Pimpinan KEADILAN sebelum ini pernah beberapa kali memberi arahan dan menasihati YAB Tan Sri Khalid Ibrahim supaya membelanjakan sepenuhnya geran persekutuan yang diberikan setiap tahun untuk membaiki jalan.

Prestasi YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dalam membelanjakan geran persekutuan untuk membaiki jalan sering menjadi titik perbincangan di peringkat KEADILAN kerana peratusan geran yang dibelanjakan adalah rendah iaitu hanya 69.3% dibelanjakan dalam tahun 2010, 59.3% dibelanjakan dalam tahun 2011 dan menurun kepada 42.7% dibelanjakan dalam tahun 2012.

YAB Tan Sri Khalid Ibrahim mempunyai kecenderongan untuk menyimpan geran tersebut sebagai hasil terkumpul Kerajaan Selangor dan tidak dibelanjakan sehingga mempunyai kesan kepada kualiti jalan di Selangor.

Di antara tahun 2010 hingga 2012, hanya RM640.24 juta dibelanjakan seperti yang sepatutnya untuk membaiki jalan sedangkan baki RM499.76 juta disimpan sebagai wang terkumpul[31].

Pimpinan KEADILAN menyatakan secara tegas bahawa adalah tidak adil menyimpan wang ini dengan harapan menunjukkan prestasi pengurusan kewangan yang baik melalui simpanan rizab RM3 bilion sedang sebahagian dari dana ini sepatutnya dihabiskan setiap tahun untuk membaiki jalan di seluruh Selangor.

Arahan dan nasihat pimpinan KEADILAN tidak diendahkan sehinggakan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dikritik di dalam laporan Ketua Audit Negara 2012 kerana tidak membelanjakan geran penjagaan jalan yang diberikan Kerajaan Persekutuan.

Oleh kerana prestasi Kerajaan Selangor tidak meningkat dalam perkara ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mula membuat kenyataan terbuka menegur YAB Tan Sri Khalid Ibrahim supaya membelanjakan geran dan dana untuk projek-projek yang menguntungkan rakyat.

Keputusan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menaikkan lesen perniagaan di Selangor sehingga 3 kali ganda di saat rakyat sudah berdepan dengan tekanan kenaikan harga yang lain dilihat bertentangan dengan dasar dan pendirian KEADILAN dan Pakatan Rakyat.
Tindakan itu menimbulkan tanda tanya kerana kenaikan kadar lesen itu diluluskan oleh pentadbiran Barisan Nasional di bawah Dato’ Seri Khir Toyo. Pimpinan KEADILAN tidak melihat rasional kenapa perlu diberi ruang agar KEADILAN dan Pakatan Rakyat diserang dengan melaksanakan dasar tidak popular dan menekan rakyat yang diluluskan oleh Barisan Nasional sebelum ini.

KESIMPULAN

KEADILAN percaya bahawa sebuah pentadbiran itu adalah hasil muafakat satu pasukan dan tidak boleh bergantung kepada seorang sahaja tidak kiralah bagaimana pintar dan handal seorang pemimpin itu.

Kehandalan dan kecekapan seorang pemimpin sebagai pentadbir juga tidaklah boleh mengenepikan soal prinsip dasar, integriti, kejujuran, hormat kepada keputusan bersama dan kebertanggungjawaban.

Mengambil kira semua bukti dan fakta yang dihuraikan di sini yang menyentuh terutamanya soal integriti, KEADILAN berpendapat ada keraguan munasabah yang tidak berjaya dijawab oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

Berdasarkan semua pertimbangan yang dihuraikan di dalam laporan ini dan perkara-perkara lain, KEADILAN membuat keputusan untuk mengangkat kepimpinan pentadbiran baru dengan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar yang baru.


LAPORAN DISEDIAKAN

IBU PEJABAT KEADILAN

3 OGOS 2014









[1] Kenyataan Bersama Majlis Pimpinan PR, 23 Julai 2014



[2] Minit mesyuarat Majlis Setiausaha PR (7 Julai 2014), laporan-laporan akhbar termasuk yang terbaru “DAP backs woman as MB, asks others to follow” (Malaysiakini, 1 Ogos 2014)

[3] Kesemua fakta ini terkandung di dalam penghakiman YA Hakim Rohana Yusuf dalam kes bernombor D4-22A-216-2007 dan D4-22A-217-2007 bertarikh 21 Ogos 2009 (perenggan 3 hingga 8) yang disertakan bersama di dalam lampiran

[4] Perenggan 4 penghakiman YA Datuk Wira Low Hop Bing semasa menolak rayuan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim di Mahkamah Rayuan kes bernombor W-02(IM)-3019-12/2011 yang disertakan bersama di dalam lampiran



[5] Ibid

[6] Rujuk laporan kes yang terkandung di dalam Malaysian Law Journal (MLJ) yang disertakan bersama



[7] Ibid

[8] Ibid



[9] Ibid, para 14

[10] Rujuk laporan The Edge, 13 Februari 2014 “Cancellation of Bank Islam – Khalid suits prompts political speculations”. Tetuan Tommy Thomas tidak pernah menyatakan bahawa beliau terlibat di dalam rundingan penyelesaian di luar mahkamah



[11] Saudara Azman Bidin, percakapan telefon 29 Julai 2014, selain maklumat dalaman industri perbankan yang disampaikan kepada parti



[12] The Edge 17 Februari 2014 “PDZ’s asset acquisition is off” dan Kinibiz 17 Februari 2014 “How powerful is Daim Zainuddin?”

[13] Taklimat penstrukturan air dan MOU air oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kepada wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat, 5 Mac 2014



[14] Mesyuarat di antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Tan Sri Khalid Ibrahim di kediaman Dato’ Seri Anwar Ibrahim antara jam 11 pagi hingga 12 tengahari 26 Januari 2014

[15] The Edge Malaysia 20 Mac 2014, “Tropicana sells land to Eco World”



[16] The Star 25 Mac 2014, “More affordable homes for Selangor folk”



[17] Rujuk Circular Resolution kepada pemegang saham Bank Islam Malaysia Berhad bertarikh 23 April 2014 yang menyenaraikan kes-kes guaman besar di antara Bank Islam dan penghutang yang difailkan di Bursa Malaysia. Rujuk Lampiran I, Perkara 3 perenggan (d) muka surat 21. Petikan Circular Resolution ini dilampirkan bersama sebagai bukti

[18] Ibid, peranggan (e) circular resolution

[19] Keterangan ini adalah berdasarkan rekod dan minit mesyuarat oleh wakil-wakil KEADILAN yang hadir iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan Saudara Rafizi Ramli. Minit dicatatkan oleh Saudara Fahmi Fadzil yang turut hadir sebagai pencatat minit pada malam itu

[20] Laporan The Edge 27 Mac 2014, “Selangor wants full payment, now”



[21] Ibid

[22] Maklumat lanjut penstrukturan industri air Selangor boleh diperolehi dari Lampiran (Nota Penstruturan Air Selangor) yang disertakan bersama laporan ini

[23] The Edge 25 Mei 2011, “PAAB to acquire water bonds”



[24] Ibid, kenyataan Tony Pua mengenai tindakan Kerajaan Persekutuan menyelamatkan syarikat pemegang konsesi

[25] Edaran dibuat dalam satu email yang dihantar kepada ahli-ahli satu jawatankuasa public relations yang baru ditubuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim setelah dikritik kerana membelakangkan parti. Email itu menyenaraikan beberapa terma utama heads of agreement tetapi tidak menyertakan perjanjian yang sebenar

[26] Raja Petra Kamaruddin adalah abang kepada Raja Idris Kamaruddin iaitu orang kanan Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor. Tan Sri Khalid Ibrahim melantik Raja Idris Kamaruddin sebagai CEO Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) iaitu syarikat induk pelaburan terbesar milik Kerajaan Selangor.



Banyak berita-berita yang cuba merosakkan imej KEADILAN berpunca dari blog Raja Petra Kamaruddin. Ada berita-berita ini yang hanya sulit diketahui oleh Tan Sri Khalid Ibrahim sahaja (dan mungkin dikongsikan dengan beberapa pegawai terdekat seperti Faekah Hussein) tetapi disiarkan serta merta dalam beberapa jam selepas berita itu disampaikan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.



Contoh yang terbaik adalah perjumpaan pada 26 Januari 2014 di antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khalid Ibrahim untuk memaklumkan Kajang Move dan keputusan parti memohon Tan Sri Khalid Ibrahim berundur. Perjumpaan berlangsung sehingga jam 12 tengahari dan hanya melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Tan Sri Khalid Ibrahim.



Walau bagaimana pun, menjelang jam 4 petang hari itu berita mengenai perjumpaan itu telah pun disiarkan di blog Raja Petra.



Serangan yang berterusan ke atas pimpinan KEADILAN oleh Raja Petra di blognya menguatkan kepercayaan KEADILAN bahawa ada sumber yang rapat dengan Tan Sri Khalid Ibrahim yang terus mensabotaj parti dengan memberikan cerita yang tidak tepat untuk dijadikan modal serangan oleh Raja Petra.

[27] Ibid, ketetapan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat bertarikh 6 Mac 2014 di Hotel Quality, Shah Alam. Ketetapan ini diumumkan keesokan harinya dalam satu kenyataan media

[28] The Malaysian Insider 21 Februari 2012, “Umno lawyer confirms highway award, says not a ‘deal’ for Perak”



[29] Kenyataan media Dato’ Seri Anwar Ibrahim, “Keadilan akan tentang kenaikan tol melalui pegangan saham kerajaan selangor di dalam LDP, SPRINT dan KESAS”



[30] Kajiselidik oleh firma kajiselidik bebas untuk Kerajaan Selangor melibatkan 6,436 responden di seluruh Selangor. Kajiselidik dibuat di antara 16 Mei 2014 hingga 6 Julai 2014, menjadikannya ia antara kajiselidik yang terkini mengenai prestasi Kerajaan Selangor

[31] Laporan Ketua Audit Negara 2012

This entry was posted in Blog by rafiziramli. Bookmark the permalink.

No comments:

Post a Comment