Sultan Selangor dilaporkan menolak calon menteri besar yang boleh dipengaruhi oleh individu tertentu melalui “kawalan jauh”.
Menurut laporan itu lagi, Sultan Selangor juga berhasrat agar calon
menteri besar yang baru itu bukan sahaja mendapat sokongan majoriti DUN,
tetapi turut berkemampuan untuk mentadbir negeri.
“Sultan Selangor mahu seseorang yang boleh menjaga keperluan rakyat dan
membangunkan negeri ke peringkat paling tinggi,” kata sumber itu seperti
dipetik dalam laporan tersebut.
Sumber tersebut turut menyalahkan Pakatan Rakyat kerana membangkitkan
masalah sehingga menimbulkan krisis politik di Selangor dan menjejaskan
pentadbiran negeri.
“Ini adalah masalah dalaman parti,” katanya.
Dalam satu lagi laporan berkaitan, The Star menyebut bahawa sultan
Selangor berpendapat Wan Azizah tidak perlu menghadap baginda buat masa
ini.
"Permohonan untuk menghadap itu menjadi isu akademik kerana Menteri
Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sudah mengumumkan peletakan jawatannya.
"Tidak perlu lagi Dr Wan Azizah bertemu sultan untuk menyampaikan
keputusan parti kerana ia soal dalaman," kenyataan sumber itu dipetik
dalam laporan tersebut.
Sultan Selangor juga pada pertengahan bulan lalu juga menolak untuk
bertemu Wan Azizah, selepas baginda bertemu dengan Menteri Besar Tan Sri
Khalid Ibrahim.
Sehingga hari ini, Wan Azizah masih belum berjaya menghadap baginda
untuk mempersembahkan 30 pengakuan berkanun bagi membuktikan sokongan
majoriti anggota DUN.