* Tulisan ini sebagai respons terhadap surat panjang Zul Sulong kepada saudara Lim Kit Siang
Saudara Zulkifli Sulong,
Izinkan saya menyebut saudara sebagai “saudara”, sesuai dengan kebiasaan parti yang saya anggotai.
Setelah membaca surat panjang saudara kepada Lim Kit Siang dan
membandingkannya dengan surat panjang kepada Tuan Guru Nik Aziz, nada
surat terbaru ini membuatkan saya mengesyaki bahawa ia bukan ditulis
oleh saudara sendiri. Bagaimanapun, memandangkan memang nama saudara yang dibubuh di situ sebagai pengarang, saya terima saja seadanya.
Ada beberapa hal yang sangat mengganggu tentang surat saudara itu.
Perenggan awal surat saudara membuatkan saya tersenyum.
Memang hampir mustahil untuk orang Melayu memanggil tokoh yang sehebat
dan seusia Kit Siang dengan “saudara”.
Memang itulah dilema orang,
terutama ahli-ahli DAP yang Melayu, berdepan dengan pembawaan DAP dan
para pemimpinnya yang serba sederhana.
Bagaimanapun perenggan-perenggan seterusnya mengejutkan
saya. Menurut saya, banyak perkara dalam surat itu, maaf kalau di sini
agak kasar, adalah karut-marut. Lebih mengejutkan, ada kebiadaban yang
ditunjukkan oleh saudara dalam surat itu – biadab menurut ukuran seorang
yang pada awal suratnya teragak-agak untuk berbahasa “saudara” dengan
Kit Siang.
Saudara Zul,
Saya ingin sentuh beberapa hal lain dulu sebelum menjelaskan pada bahagian mana surat itu boleh dianggap biadab.
Pertama, dan yang paling utama, saudara melihat prinsip
mencadangkan hanya satu nama dalam konteks “Pakatan menentang istana”.
Ini sesuatu yang amat membingungkan.
Tidak mungkin ‘orang lama’ seperti saudara tidak faham
bahawa keputusan untuk tetap mencadangkan hanya satu nama itu
berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan dan untuk mempertahankan
sistem itu.
Bukankah, secara ringkas, sistem yang kita pakai sekarang begini:
- Rakyat memilih parti politik dalam pilihanraya, bererti
parti politik diberi kepercayaan oleh rakyat untuk membuat keputusan
bagi pihak mereka;
- seterusnya parti yang dipilih membentuk kerajaan dan memilih ketua kerajaan yang diyakini oleh majoriti wakil rakyat; dan
- Sultan memperkenankan nama ketua kerajaan yang
dicadangkan oleh majoriti wakil rakyat kerana nama itu boleh dianggap
sebagai cadangan daripada rakyat.
Saya bukan pakar perlembagaan, tetapi pada masa yang sama
peruntukan perlembagaan tentang perkara yang berkaitan tidaklah pula
terlalu rumit.
Dalam soal mengemukakan nama, menurut perlembagaan, nama
yang dicadangkan mesti mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan, maka
kalau Pakatan mengemukakan dua nama, yang satu paling mendapat
kepercayaan majoriti dan yang kedua kurang mendapat kepercayaan,
tidakkah langkah ini boleh dianggap mempersendakan Sultan?
Tidak rumit juga untuk difahami bahawa nama yang mendapat
kepercayaan majoriti sekarang adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail.
Kedua, saudara membuat tuduhan berat bahawa “Tindakan DAP
kebelakangan ini seolah-olah memaksa PAS pergi bekerjasama dengan Umno.”
Bagaimana kalau saya pula ambil giliran buat tuduhan,
bahawa PAS selama ini membuat tindakan-tindakan yang memaksa DAP untuk
bertindak seolah-olah memaksa PAS bekerjasama dengan Umno?
Atau saya susun tuduhan itu dalam ayat lain: DAP melihat
PAS seolah-olah sudah tidak sabar hendak bergabung dengan Umno, maka DAP
pun mengambil tindakan yang memudahkan PAS untuk bergabung dengan parti
kesukaannya.
Saudara bukan saja menuduh DAP, malah juga PKR. Kata
saudara, “Cara PKR dan DAP bertindak dalam isu Selangor sekarang ini
sememangnya memaksa dan menolak PAS ke dalam jurang yang dalam.”
Di sini cukup kalau saya bertanya, mengapa saudara memilih
untuk melihat PAS sebagai mangsa? Dalam surat terbaru itu, mengapa
saudara memilih untuk melihat dalam isu Selangor ini hanya PAS yang
bersih dan suci, manakala PKR dan DAP sedang berkomplot untuk
memangsakan PAS untuk tujuan yang hanya Tuhan mengetahui?
Siapa untung bila kita mula tuduh-menuduh begini kalau bukan Umno?
Saudara,
Seterusnya, yang ketiga, saudara mengandaikan apabila PAS dan Umno bergabung, Malaysia akan diperintah 60% Melayu.
Apakah saudara mengandaikan bahawa saya dan semua saudara
saya dalam DAP akan keluar parti dan masuk Umno/PAS kalau kedua-duanya
bergabung? Dan apakah saudara ingin memberitahu bahawa pemimpin dan ahli
PAS 100% pasti akan menyokong gabungan PAS dan Umno dalam BN?
Apakah saudara ingin mengatakan bahawa semua pengundi
Melayu yang mengundi Pakatan selama ini akan beralih kepada gabungan
Umno-PAS, dan jika tidak mereka tidak lagi boleh dianggap sebagai
Melayu? Jika bukan, dari manakah angka 60% itu?
Keempat, saudara mengungkit konon PKR mencuri dua Adun PAS,
maka, kata saudara, “Mana-mana parti pun akan marah apabila dibuat
demikian.”
Saudara pun tentu tak lupa isu pil kuda dan Kota Damansara, bukan?
Akhirnya yang akan terbentuk nanti ialah cerita dendam tak sudah.
Kenyataan saudara itu juga menyiratkan bahawa dua Adun PAS
itu adalah bukan pemimpin sejati – tidak mampu membuat keputusan
sendiri, mudah “dicuri” atau dibeli.
Apakah perkara sedemikian wajar dikatakan tentang tokoh seperti Saari Sungib?
Kelima, dan biar ini jadi yang terakhir, pada sekurang-kurangnya suatu titik surat saudara boleh dianggap biadab.
Saudara mengugut untuk menyalahkan Lim Kit Siang jika PAS bergabung dengan Umno.
Paling utama, kita perlu jelaskan di sini, la taziru
waziratun wizra ukhra, terjemahannya: DAP tidak menanggung dosa kalau
PAS memilih untuk menyambut “ranting zaitun Umno”.
Tercatat sepanjang sejarah sekian banyak pejuang besar yang
walau ditindih dengan batu besar di tengah terik matahari, walau disiat
kulitnya, dibunuh anaknya, dirogol isterinya, tetap saja dia teguh di
jalan yang diyakininya benar.
Atau apa saudara ingin menyatakan bahawa sebahagian besar pemimpin PAS selama ini tidak begitu yakin dengan perjuangan Pakatan?
Sekian, wassalam.
Yang benar,
Al-Mustaqeem M Radhi