اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Tuesday, September 2, 2014

Tidak Setuju PAS Bersama PR, Sila Tinggalkan PAS

 


Saya telah membuat saranan supaya sekiranya terdapat ahli atau pimpinan PAS yang tidak bersetuju PAS kekal bersama PR dan berusaha untuk menggagalkan usaha memperkukuhkan PR agar samada meninggalkan PAS atau duduk diam sebagai ahli biasa. Saya agak hairan apabila saranan saya itu dibantah, diperlekehkan dan dianggap tidak releven. Ini menggambarkan bahawa mungkin ada ahli dan pimpinan yang bersikap sedemikian. Jika tidak maka sudah pasti tidak akan ada yang bermasalah dengan saranan saya itu. Adakah bagi mereka ini keputusan muktamar dan ucapan dasar Presiden tidak bernilai sama sekali?

Sebelum saya mengemukakan respon kepada ‘hujjah’ mereka, perlu terlebih awal, semua memahami asas saranan saya itu.

MUKTAMAR DAN UCAPAN DASAR PRESIDEN
Tentangan yang saya dapat apabila mengemukakan saranan tersebut mungkin disebabkan kurangnya kefahaman setengah golongan terhadap akhlak berorganisasi. Mungkin ada yang menganggap bahawa keputusan Muktamar dan isi kandungan Ucapan Dasar adalah sesuatu yang remeh yang tidak perlu diendahkan. Ianya dianggap prosedur dan ritual semata-mata. Maka ini yang perlu diperbetulkan.

Saranan saya adalah berasaskan hakikat bahawa arahan atau qarar untuk memperkukuhkan PR sememangnya terkandung dalam Ucapan Dasar Presiden PAS dalam setiap muktamar semenjak 2009. Dan Ucapan Dasar ini telah dibahas dan diterima secara sebulat suara di setiap muktamar tersebut. Begitu juga, ianya merupakan resolusi di setiap muktamar sejak 2009 yang telah turut dibahas dan diterima secara sebulat suara oleh perwakilan.

Oleh yang demikian, sekiranya ada yang bersikap sebaliknya dan ingin terus berpegang kepada pendirian peribadi mereka sendiri, mereka sepatutnya, samada keluar PAS atau bermufarakah dengan meletakkan semua jawatan dalam PAS dan menjadi ahli biasa. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka ingin berusaha untuk menggagalkan usaha PAS untuk terus bersama PR dan mengukuhkannya.

Kerana, apa erti para perwakilan menerima dan meluluskan Ucapan Dasar DS Presiden dan Resolusi Muktamar sekiranya ianya tidak dipatuhi dan dilaksanakan oleh sebahagian ahli dan pimpinan sendiri? Tidakkah itu merupakan tindakan tidak wala’ kepada Presiden dan keputusan parti yang dibuat di badan tertingginya, iaitu Muktamar?

Ucapan Dasar Presiden merupakan wawasan Presiden serta hala-tuju yang dikongsikan bersama dengan perwakilan. Ia menjelaskan suasana politik semasa dan menggariskan strategi yang ingin dilaksanakan yang perlu diikuti oleh semua ahli. Ia merupakan arahan yang bertujuan memantapkan lagi kedudukan PAS, di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam. Apabila ianya dibahas, dilulus dan diterima, maka ianya merupakan arahan Presiden yang perlu dilaksana yang telah dipersetujui bersama oleh para perwakilan. Semua perlu berusaha membantu Presiden dalam usaha beliau melaksanakan isi kandungan Ucapan Dasar tersebut. Begitu juga dengan Resolusi Muktamar.

Kebiasaanya Resolusi Muktamar mempertegaskan lagi apa yang terkandung dalam Ucapan Dasar Presiden. Ia mempertegaskan sikap perwakilan menyokong wawasan Presiden dan merupakan ikrar untuk membantunya dalam melaksanakannya.

Dalam erti-kata lain, Ucapan Dasar dan Resolusi muktamar bukan sekadar ‘tradisi’ atau ‘amalan prosedur’ yang dilakukan untuk sekadar melengkapkan muktamar. Tetapi sebaliknya, ianya adalah persetujuan antara pimpinan dan ahli, untuk sama-sama usahakan apa yang terkandung kerana dipersetujui ianya akan mendatangkan manfaat kepada perjuangan yang dibawa.

TIDAK SETUJU DENGAN ISI KANDUNGAN UCAPAN DASAR DAN RESOLUSI MUKTAMAR?
Pada tahun 1974, apabila muktamar PAS memutuskan supaya PAS bersama dalam kerajaan gabungan, iaitu Barisan Nasional, terdapat sebahagian dari ahli PAS yang tidak setuju dan membantah. Mereka keluar PAS dan membentuk parti lain atau bergerak melalui NGO seperti ABIM. Ada juga yang telah meletakkan semua jawatan parti dan menjadi ahli biasa, menunggu perubahan. Tetapi, setahu saya, tiada yang kekal dengan jawatan mereka dan pada masa yang sama berusaha untuk menggagalkan usaha PAS pada ketika itu dengan tindakkan sabotaj dan khianat dari dalam. Tindakan sebegini jauh lebih bermaruah berbanding menimbulkan masalah sehingga perlaksanaan dasar yang diterima parti menjadi rumit.

Ini dilakukan atas menghormati keputusan parti. Walaupun tidak bersetuju, namun ianya merupakan ijtihad siyaasah yang hukumnya harus pada dasarnya. Untung rugi merupakan anggaran, dikaji dari perspektif masing-masing. Maka biarlah parti melaksanakan strategi yang diputuskan dan biarlah keberkesanannya atau sebaliknya terbukti secara amali.

Begitu juga dewasa ini. Apabila parti telah membuat keputusan, maka biarlah yang bersetuju dengannya melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Yang tidak bersetuju dan tidak sanggup menerima keputusan tersebut, harap ketepi. Samada bantu atau diam, tetapi sabotaj dan merumitkan keadaan, jangan sesekali. Itu tidak wala’ yang sebenar namanya.

Bagi menghayati keputusan muktamar dan mesej terkandung di dalam Ucapan Dasar DS Presiden, saya menyeru semua ahli dan pimpinan PAS yang benar-benar wala’ kepada pimpinan untuk hentikan serangan antara satu sama lain dan antara parti rakan. Begitu juga rakan dalam PR supaya hentikan serangan terhadap PAS. Biarlah kita kembali berusaha mengukuhkan kembali PR untuk bersedia menghadapi UMNO/BN. Halakan senjata dan serangan kita kepada lawan kita yang sebenar, ia itu UMNO/BN.

HUJJAH PIHAK YANG MENYANGGAH
Yang menyanggah saranan saya mengemukakan hujjah yang agak pelik. Tindakan menyanggah itu sendiri pada saya sudah pelik. Seperti yang dikatakan tadi, adakah mereka anggap isi kandungan Ucapan Dasar dan Resolusi Muktamar yang telah diterima dan diluluskan tiada nilai?

Namun oleh kerana mereka cuba berhujjah, walau sedangkal mana sekalipun hujjah mereka, perlu saya jawab. Paling kurang mereka berusaha berhujjah.

1. “Tidakkah Presiden juga dipilih dalam muktamar yang sama?”
Hujjah ini memang saya tidak faham. Ada mana-mana pihak mempertikaikan pemilihan Presiden? Atau adakah dimaksudkan bahawa Presiden juga dipilih dalam muktamar maka beliau boleh sahaja langgar keputusan muktamar dan isi kandungan Ucapan Dasarnya sendiri? Tetapi adakah benar Presiden melanggarnya? Sejak bila pula Presiden menolak kebersamaan PAS dalam PR? Setakat ini, walaupun dalam kenyataan DS Presiden berhubung sokongan terhadap TSKI sebagai MB Selangor, tempoh hari, DS Presiden tetap menyatakan perlunya diperkukuhkan PR. Oleh itu saya pohon supaya sekiranya ada DS Presiden menyeru supaya PAS keluar dari PR sila kemukakannya.

Sebenarnya Presiden sendiri berkewajipan untuk melaksanakan apa yang terkandung dalam Ucapan Dasarnya yang telah diterima oleh muktamar. Begitu juga Presiden berkewajipan untuk melaksanankan resolusi yang telah diluluskan dan diterima oleh muktamar. Itu di antara apa yang dimaksudkan dengan kata-kata ‘jawatan itu adalah amanah’. Amanah dari perwakilan seluruhnya supaya apa yang diputuskan oleh muktamar dilaksanakan oleh Presiden dan seluruh AJK PAS Pusat yang dipilih. Bukan bertindak sesuka hati mengikut kehendak mereka dan membelakangkan keputusan muktamar. Alhamdulillah itulah yang berlaku sehingga ke saat ini.

2. Tidak wala’ kepada Presiden dan Majlis Syura Ulama’!
Ini pun satu saya hairan. Lain yang orang cakap, lain pula yang dijawab!

Kenapa pula saya tidak wala’ pada Presiden dan Majlis Syura Ulama’? Adakah mereka tolak kebersamaan PAS dengan PR? Setakat yang saya tahu mereka juga sering berpesan untuk dikukuhkan PR. Ini termasuklah kenyataan dari Mursyidul ‘Am sendiri berhubung sokongan terhadap TSKI tempoh hari yang turut diakhiri dengan pesanan, “wajib ingat, kukuhkan PR”.

Oleh itu, kalau ada yang tidak wala’ sudah pasti ianya adalah mereka yang menolak PR dan berusaha menggagalkannya, bukan saya!


Mungkin mereka menganggap saya tidak wala’ kepada DS Presiden dan MSU atas sebab saya mencadangkan supaya PAS menarik semula sokongannya terhadap TSKI dalam sidang media saya pada 13 Ogos. Sedangkan, mengikut mereka, DS Presiden dan MSU telah nyatakan sokongan jelas terhadap TSKI! Yang mereka tidak (mahu) faham ialah sokongan yang disuarakan oleh DS Presiden dan MSU terhadap TSKI adalah sebelum beliau dipecat dari PKR. Setelah beliau dipecat pada 9 Ogos, sepertimana yamg telah saya sebut, pendirian DS Presiden dan juga MSU perlu dikaji kembali.

Ini adalah atas dasar kebersamaan PAS dengan PR yang mana telah turut disebut dalam kenyataan menyokong TSKI tempoh hari. Maka adalah mustahil, setelah TSKI menjadi ADUN bebas, untuk PAS menyokongnya dan pada masa yang sama menyokong PR! Pada ketika itu PAS perlu memilih di antara TSKI atau PR; dan oleh kerana tahaluf siyaasi PAS adalah bersama PR, maka perlu ditarik semula sokongan kepada TSKI.

Kaedah fiqh ada menyebut, “Taghaiyirul ahkam bi taghaiyiril Azminah au Amkinah au Ahwal” iaitu berubahnya hukum dengan berubahnya zaman atau tempat atau suasana/keadaan. Maka keadaan TSKI telah berubah. Dengan itu hukum menyokong TSKI juga turut berubah. Pendirian dan kefahaman saya terbukti benar apabila dalam mesyuarat pada 17 Ogos, isu sokongan terhadap TSKI tidak timbul sama sekali dan PAS putuskan untuk menyerahkan dua nama, kedua-duanya dari PKR, sebagai calon pengganti bagi jawatan MB.

Maka, di manakah yang saya dituduh tidak wala’ pada Presiden dan MSU sila nyatakan. 

Oleh yang demikian, saya menyeru sekali lagi kepada mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan Muktamar untuk memperkukuhkan PR agar beralih ketepi; kerana kami sedang memikul amanah besar yang perlu dilaksanakan. Amanah yang datangnya dari ahli PAS yang ingin melihat PR sebagai kerajaan di peringkat Negeri dan Pusat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment