Pengarah Jawatankuasa Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Noorazmir Zakaria berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah memutuskan perkara itu tiga tahun lalu dan usaha membangkitkan isu itu semula dibuat semata-mata demi kepentingan politik.
"Tiga tahun lepas saya sendiri kendalikan kes tersebut berkaitan dengan demonstrasi mansuhkan ISA di mana beberapa petugas ditahan dan didakwa di mahkamah.
"Dalam kes tersebut mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan pihak kami berjaya mengenepikan kes itu di peringkat pendakwaan lagi di mana mahkamah putuskan pihak pendakwa gagal memutuskan kes itu secara prima facie bahawa perlunya mereka ini didaftar di bawah RoS.
"Sekiranya kes ini dibawa sekali lagi ke mahkamah, ia akan terhalang selepas diputuskan secara prinsipal di mahkamah," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam tidak menolak kemungkinan Unit Amal PAS juga akan dikenakan tindakan kerana tidak berdaftar dengan RoS.
Katanya, polis hanya menunggu masa sebelum bertindak terhadap pasukan sukarela parti Islam itu.
"Tindakan yang sama (terhadap Unit Amal) juga akan diambil pihak polis. Saya sangat yakin mereka akan diambil tindakan," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang hadir dalam sidang media sama berkata Unit Amal berada di bawah sayap Dewan Pemuda PAS dan segala aktivti tahunannya diserahkan kepada RoS.
Katanya, Zahid juga perlu lebih terbuka dan bersedia bersemuka dengannya bagi mengelak salah tanggap berhubung kewujudan unit berkenaan.
“Saya minta supaya Zahid lebih terbuka dan saya bersedia untuk bersemuka dengannya untuk memberikan penerangan sekiranya perlu baginya lebih faham peranan Unit Amal.
“Dari segi perundangan, Unit Amal tidak perlu didaftar di bawah RoS kerana penubuhannya di bawah Dewan Pemuda PAS di bawah perlembagaan PAS Fasal 54(9)(d) menyebut tugas Pemuda PAS untuk membentuk lajnah yang difikirkan perlu dan melantik ahlinya dengan persetujuan mesyuarat.
“Unit ini boleh ditubuhkan dengan lajnah yang diizinkan di bawah perlembagaan PAS. Itu jelas. Setiap tahun aktiviti Unit Amal dilaporkan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS dan diwajibkan dihantar kepada RoS. Sudah 23 tahun sejak wujudnya Unit Amal, laporan aktiviti dan program dilaporkan kepada RoS,” katanya.
– 2 September, 2014.
No comments:
Post a Comment