Malah ada yang tidak dapat menahan perasaan. Tiba-tiba berjurai titisan jernih di pipi melihat kekuasaan Yang Maha Pencipta.
Semuanya sudah bertukar menjadi padang jarak padang terkukur. Ketika melewati jambatan di Kampung Manek Urai Baru dari awal lagi sudah kelihatan kereta tertunggeng, terbalik dan terperusuk ke bawah lembah.
Pelbagai situasi yang tidak pernah disaksikan dapat dipertonton di kampung tersebut. Panoramanya hampir serupa dengan Acheh pada 2004. Cuma yang membezakan mangsa korban tidak ramai.
“Di Acheh tsunami ombak, di sini tsunami air sungai. Sama-sama kuat, sama-sama gagah. Biar apa pun kami bersyukur kerana tidak berlaku banyak kehilangan nyawa.
“Sepanjang tujuh malam kami berhempas pulas untuk menyelamatkan diri. Ada yang terpaksa dua kali berpindah selepas tempat pertama juga dinaiki air.
“Berteduh di tempat pemindahan dengan berhimpit-himpit dan berdepan dengan kekurangan makanan. Kami juga memasak nasi menggunakan air bah,” katanya seorang mangsa banjir di Kampung Manek Urai Lama.
Beliau berpindah ke Masjid Kampung Manek Urai Baru bersama keluarga dan penduduk lain. Hanya bukit di belakang masjid yang menjadi tempat mereka berlindung.
Kawasan lain semua tenggelam. Kampung Manek Urai Lama hanya tinggal Bukit Kajang. Dua kampung tenggelam sama sekali pada bah besar tersebut yang bermula 22 Disember.
Keadaan luar biasa yang berlaku di Manek Urai Lama mengundang ramai datang berbodong-bodong bagi melihat sendiri kesan tsunami air bah.
Kenderaan bertali arus biar pun terpaksa meredah selut yang agak tebal. Mereka tenggelam dalam kelu sambil merakam kesan bah besar yang tidak pernah disaksi sebelum ini.
“Orang tua yang meniti usia lebih 80 tahun di Kampung Chatang memberitahu tidak pernah melihat lagi bah besar seperti yang berlaku baru-baru ini.
“Bah merah yang dikatakan paling besar dalam sejarah pun tidak sebesar bah yang berlaku kali ini. Dahulu bah merah air lambat surut, sekarang banjir surut lebih cepat,” kata Zakaria Ibrahim, 57.
Menjejaki Kampung Manek Urai memperlihatkan suatu yang tidak pernah terlintas di fikiran manusia. Ada sisa-sisa rumah terletak di pokok, rumah menghimpit antara satu sama lain dan pokok tumbang merentangi jalan.
Masjid Urai Lama juga dihimpit sebuah rumah. Apa yang tinggal sekarang hanya tapak rumah, tiang dan simen konkrit. Banyak tiang elektrik juga menyembah bumi.
Ada juga besi rumah yang belum siap bengkok seperti dibelok seseorang menggunakan jentera. Ada dinding konkrit rumah pecah dan terhumbang ke bawah.
Masih banyak lagi jalan di kampung itu yang tidak boleh dilalui, kesan-kesan runtuhan rumah berserempak di sana sini.
Sementara itu Pengarah Bilik Operasi Bencana Banjir Kuala Krai, Hilmi Abdullah menafikan dakwaan bekalan bantuan banjir melimpah ruah di Kuala Krai.
Katanya, dakwaan itu mungkin dibuat mereka yang tidak berada di lapangan dan tidak terlibat samada sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir.
“Permintaan barang keperluan asas terutamanya beras, sardin, gula, biskut dan pampers amat tinggi dan belum mencukupi. Bekalan air mineral dan minuman masih dapat menampung permintaan setakat ini,” katanya di sini. - HARAKAHDAILY 1/1/2015
No comments:
Post a Comment