Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah bercakap kepada media pada sidang akhbar di Menara PKNS, semalam.
Maria Chin Abdullah bercakap kepada media pada sidang akhbar di Menara PKNS, semalam.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) memberi taklimat kepada 20 diplomat asing semalam berhubung cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula di Sarawak dengan mendedahkan kepincangan dan kurang ketelusan pelaksanaannya.
Diplomat dari negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Rusia, Britain, Australia dan Singapura menghadiri sesi dua jam itu yang mendedahkan kepincangan proses tersebut.
Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, notis yang dikemukakan SPR tidak lengkap dan menyukarkan pengundi di Sarawak untuk mengemukakan bantahan.
“Kami berkongsi apa yang berlaku dalam persempadanan di Sarawak. Ia sudah bermula dan apa yang kami lihat kurang ketelusan,” katanya selepas acara itu di Petaling Jaya.
“Peta yang diberi tidak boleh diterima kerana tidak menunjukkan jalan, bukit, sungai dan sebagainya. Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga tidak dinyatakan dan tidak boleh dikesan.
“SPR berharap orang ramai akan faham dan membuat bantahan tetapi sangat mustahil,” katanya.
Difahamkan diplomat asing berkenaan mungkin akan mengadakan pertemuan bersama SPR bagi mendapat penjelasan isu yang dibangkitkan Bersih 2.0 semalam.
Pegawai Sumber Maklumat Bersih 2.0 Rama Ramanathan memberikan penerangan pada media berhubung persempadanan semula di Sarawak.
Pegawai Sumber Maklumat Bersih 2.0 Rama Ramanathan berkata, cadangan persempadanan semula Sarawak kali ini mengejutkan kerana hanya 52 daripada 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditunjukkan dengan jelas di atas peta.
Katanya, SPR juga tidak memberi penjelasan kewajaran penambahan 11 DUN baru di negeri itu yang turut menyaksikan persempadanan yang tidak sekata.
“Bila penganalisis melakukan kajian, mereka mendakwa sebanyak 118 PDM yang tidak dijumpai di atas peta. Apa yang berlaku kepada PDM ini?
“Mereka disembunyikan dalam terang. Dengan Google Maps, Google Earth dan peta yang digunakan sekarang, SPR tidak boleh lagi bersembunyi,” katanya.
Rama berkata, hasil kajian juga menunjukkan 35% nama dalam daftar pemilih di negeri itu tidak mempunyai alamat.
Katanya, berdasarkan cadangan persempadanan baru, lebih 120, 000 pengundi tidak tahu nama mereka dipindahkan ke kawasan mengundi baru.
“Jika tiada alamat, bagaimana pengundi tahu mereka dipindahkan? Ini jumlah besar. Bagaimana pengundi mahu mengemukakan bantahan,” katanya.
Awal bulan ini, SPR mempamerkan syor jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Sarawak yang ditambah 11 bahagian menjadikan kepada 82 bahagian keseluruhan.
11 bahagian pilihan raya negeri yang baru disyorkan itu ialah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Triboh, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Telian, N63 Selirik, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Long Lama.
Selain kerusi baru, SPR turut mencadangkan perubahan nama 1 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN.
Pertambahan 11 kerusi baru itu susulan usul yang diluluskan DUN Sarawak pada November lalu bagi membolehkan ia dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.
Persempadanan semula pilihan raya dijangka bermula penghujung tahun lalu bagi seluruh negara, namun banjir yang melanda negeri pantai timur memaksa SPR menundanya ke tahun ini, namun masih belum ada tarikh untuk perkara itu dilaksanakan.
Bersih dan pengkritik lain khuatir kerajaan Barisan Nasional akan menggunakan persempadanan semula sebagai alat melukis semula sempadan atau meningkatkan jumlah kerusi untuk memberikan kelebihan kepada mereka. – 20 Januari, 2015.
http://www.themalaysianinsider.com.
No comments:
Post a Comment