اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Monday, January 12, 2015

Bunuh Dan Kerat - 9 Warga Myanmar Didakwa

 

Sembilan daripada 12 lelaki Myanmar yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh membabitkan rakan senegara mereka di Pulau Pinang akan didakwa di beberapa mahkamah esok dan lusa.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis telah mendapat arahan daripada Ketua Unit Perundangan negeri untuk mendakwa sembilan lelaki terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh, yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

Manakala dua lelaki lagi akan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 dan seorang akan dibebaskan kerana didapati tidak terlibat dalam kejadian itu.

“Mereka (sembilan lelaki) akan didakwa esok dan lusa di mahkamah di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan mengikut lokasi kejadian pembunuhan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini.

Kes pembunuhan melibatkan rakyat negara itu mendapat perhatian apabila kumpulan rakyat Myanmar terbabit dikatakan memotong anggota badan mangsa mereka dan membuangnya di beberapa tempat di Nibong Tebal dan Bukit Mertajam.

Sejak awal tahun lepas, 21 kes pembunuhan rakyat Myanmar dilapor di Pulau Pinang dan pada peringkat awal mayat dibungkus dengan kain putih seperti dikafan dan ditinggalkan di tepi-tepi jalan.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata polis akan menggunakan semua elemen termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi mengesan empat lagi lelaki Myanmar yang dipercayai anggota kumpulan suspek pembunuhan yang kini sedang ditahan.

Mereka dikenali sebagai Mohd Yahyar Khan Mohd Rafie, 42, pemegang kad UNCHR bernombor 354-13C05627; Lokman dan Gemuk berusia lingkungan 20-an serta seorang lagi yang berusia 30-an dan dipercayai telah keluar dari Pulau Pinang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung empat lelaki berkenaan diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kata Abdul Rahim lagi, usaha mengesan kumpulan kedua yang disyaki terlibat dalam kes sama juga giat dijalan dan polis kini mengumpul maklumat mengenai mereka.

Beliau berkata ada antara mereka yang identitinya telah dikenal pasti dan dipercayai bersembunyi di beberapa lokasi di negara ini.



 

No comments:

Post a Comment