Mejar Zaidi Ahmad dibuang kerja selepas didapati bersalah melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera dengan memberi kenyataan media tanpa kebenaran.
"Mahkamah secara sebulat suara menjatuhkan hukuman dibuang kerja dari perkhidmatan Seri Paduka Baginda," kata Yang Dipertua Mahkamah, Kolknel Saadon Hasnan.
Menurut Saadon, hukuman itu dibuat dengan mengambil kira rekod cemerlang Zaidi selama 26 tahun satu hari yang tiada masalah disiplin.
Mahkamah diberitahu Zaidi pernah dianugerahi pingat Kesatria Angkatan Tentera - pingat tertinggi yang dikurniakan kepada pegawai berpangkat Leftenan Kolonel ke bawah.
"Pesalah telah banyak berbakti kepada TUDM selama 26 tahun dan sewaktu berkhidmat di Bosnia.
"Rekod pesalah adalah cemerlang dan bersih dan faktor kesalahan pertama diambil kira dalam mitigasi hukuman ini," kata Saadon.
"Isunya bukan dakwat kekal tetapi membuat kenyataan media tanpa kebenaran," kata Saadon lagi.
Hukuman yang lebih berat bagi kesalahan ini adalah penjara selama dua tahun atau dibuang kerja dengan keji.
Zaidi yang bercakap kepada media selepas mahkamah ditangguhkan petang ini bagaimanapun berkata enggan merayu terhadap hukuman itu.
Beliau menjawab ringkas "tak" sewaktu ditanya jika akan merayu kes ini.
"(Saya) terima takdir Allah," kata juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.
Ditanya wartawan jika beliau menyesal dengan keputusan hari ini, Zaidi menjawab ringkas , "Nak menyesal buat apa, kita buat benda betul".
Melangkah sugul
Bagaimanapun, wajah Zaidi kelihatan seperti cuba menyembunyikan riak-riak kesedihannya.
Matanya kemerah-merahan dan senyumannya petang ini ringkas dan tidak seceria sebelum ini apabila melemparkan pandangan kepada lensa kamera.
Beliau juga hanya bercakap ringkas kepada wartawan sewaktu menjawab soalan.
Sebelum itu, dalam galeri mahkamah Zaidi juga kelihatan sugul selepas keluar dari kandang tertuduh apabila hukuman dijatuhkan.
Sementara itu, BERSIH dalam reaksi segera menyifatkan hukuman hari ini sebagai pengorbanan seorang perajurit kerana bercakap benar dalam hal ehwal tanah airnya.
"BERSIH kecewa dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas beliau.
"Ini terutamanya apabila kita semua maklum bahawa beliau memperjuangkan isu ini (dakwat kekal) kerana komitmennya kepada tanah air.
"Beliau membayar harga kerana bersuara terhadap pilihan raya yang sumbang," kata Bendahari BERSIH, Masjaliza Hamzah.
No comments:
Post a Comment