ANDAI kata wujud anugerah untuk pemimpin kerajaan paling optimistik ke atas ekonomi walaupun apa jua dan betapa besar sekalipun krisis ekonomi yang melanda dunia, pasti penerima paling ramai adalah dari kalangan pemimpin kerajaan Umno-BN seperti dilihat hari ini.
Lihat sahaja krisis kejatuhan harga minyak dan penyusutan ketara matawang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat yang melatari iklim ekonomi negara, namun Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak boleh tersenyum riang-ria dan bercuti-cuti Hawaii/ Bangkok sambil membawa keluarga “bershoppingshopping.”
Seorang menteri pula berkata kita tidak perlu bimbang manakala seorang lagi pula berkata rakyat tak usah risau dan panik. Malah ada pula yang mengatakan kejatuhan ringgit sebenarnya akan memberi kesan positif terhadap ekonomi.
Pendek kata, semuanya okay belaka. Malaysia seolah-olah negara tunggal planet bumi yang berdagang dengan planet lain dan bukannya berdagang dengan negara-negara lain sehinggakan apa pun jua krisis ekonomi global tidak langsung memberikan sebarang impak.
Di peringkat kehidupan para pemimpin ini, ialah, apalah yang nak disibuk-sibukkan sangat tentang ekonomi negara. Matlamat hidup adalah untuk jadi menteri, jadi manusia bergelar Dato’ dan sebagainya, ada hubungan rapat dan bergesel bahu dengan mereka yang berkuasa dan yang penting dalam bank ada banyak duit, bila sampai waktu bercuti, pergi bercuti, sampai waktu “bershopping” pergi “bershopping,” rakyat biasa beli rumah teres dan berhempas pulas membayar ansuran hutang bank, pemimpin beli tunai rumah banglo, kondo mewah dan penthouse.
Justeru krisis ekonomi seperti dipersepsi dan dialami oleh rakyat tentulah berbeza dengan persepsi dan apa yang dialami oleh pemimpin (apatah lagi pemimpin yang tidak pernah dibesarkan dalam serba kekurangan atau pemimpin yang pernah dibesarkan dalam kesempitan hidup tetapi bila sudah jadi menteri sudah ada banyak duit lupa kepada rakyat marhaen).
Selain daripada para menteri Umno-BN, turut bersorak-sorai menyokong dan mengatakan “usah bimbang,” “jangan ragu,” “tak perlu sangsi” atau yang senada dengan “everything is gonna be okay and fine” terhadap keadaan ekonomi masa kini adalah sesetengah ahli akademi (kebanyakan bertaraf profesor dan berlagak seperti ‘“dewa ekonomi”) dan sesetengah penganalisis ekonomi dan kewangan yang menyamakan keperluan mengampu kerajaan dengan kestabilan jawatan masing-masing.
Sebenarnya seseorang tak perlu menjadi profesor atau berlagak seperti seorang dewa ekonomi yang maha mengetahui tentang ekonomi kewangan.
Apa yang perlu dilakukan ialah memerhatikan apa yang berlaku dan kemudian membuat perbandingan.
Bidang ekonomi dan kewangan mungkin mempunyai pelbagai teori, konvensyen, hukum dan entah apa lagi setidak-tidaknya dalam dunia akademik dan dunia kertas analisis para penganalisis di bank), tapi dalam dunia sahih ia tidak semestinya mematuhi segala konvensyen dan hukum yang dipelajari dan difahami.
Apa yang perlu dilakukan hanya toleh ke belakang dan kepada kemelut kewangan dunia yang tercetus pada 1990-an. Sementara para pemimpin kerajaan Umno- BN dan pengampu mereka beroptimistik-optimistik, sejarawan ekonomi, para ahli bank pusat, pengatur strategi kewangan dunia ratarata bersetuju Krisis Tequila Mexico, Krisis Kewangan Asia dan krisis kegagalan membayar semula hutang Rusia, walaupun semua itu insiden berbeza tetapi berkongsi punca yang sama.
Krisis kewangan Mexico 1994 menyaksikan negara Amerika Latin itu melakukan pinjaman darurat sebanyak AS$40 bilion dengan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan AS. Malangnya aliran keluar modal itu gagal diperolehi kembali dengan segera atau pada tempoh sepatutnya dan menjadi titik peralihan kepada matawang dolar Amerika.
Walaupun campur tangan kerajaan AS ke atas krisis Mexico mengembalikan ketenteraman ke atas pasaran tukaran asing, ia juga mengakibatkan pelaburan matawang dolar AS tertumpu ke Asia Tenggara di mana menyaksikan matawang ringgit Malaysia, baht Thailand, rupiah Indonesia, peso Filipina dan won Korea Selatan dilonggokan di pasaran tempatan sekitar 1998.
Tak payahlah disebutkan apa yang terjadi ketika itu dan bagaimana ringgit dinilaikan berbandingkan dolar AS.
Memadailah dikatakan ketika itu turut melatari suasana ialah jebak atau lebihan bekalan berbanding permintaan ke atas minyak dunia.
Ketika itu Malaysia adalah sebahagian daripada Harimau Asia. Justeru sekiranya harimau pun “surrender” dengan keadaan, inikan pula ketika ini di mana “harimau tua” sudah lama pencen dan cuma mampu mengaum secara serak-serak.
Justeru, kepada para pendokong panji-panji optimism, benarkah kita tidak perlu bimbang, ragu dan sangsi.
Sumber : Detikdaily.
No comments:
Post a Comment