Menterinya, Dato’ Hasan Malek menyatakan kempen tersebut dilaksanakan kerana mahu mengubah persepsi rakyat bahawa perubahan harga petrol bukan penyumbang utama kenaikan harga barangan. Apakah tindakan yang dilakukan kerajaan ini benarbenar membantu rakyat?
Wartawan Kanan Harakah, NYZA AYOB mencungkil pandangan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir mengenai isu ini. Ikuti wawancara bersama beliau.
WARTAWAN: Adakah kempen ini mencapai sasaran sebenar bagi menggalakkan peniaga menurunkan harga barang?
MOHD ANUAR TAHIR: Saya melihat kempen ini lebih kepada gimik politik bagi menunjukkan kerajaan mengambil berat dengan kenaikan harga barangan yang berlaku hari ini.
Kerajaan gunakan pasarayapasaraya untuk menurunkan harga barangan dengan harapan boleh mempengaruhi kedaikedai runcit lain. Jika kita lihat pasaraya ini mempunyai barangan yang banyak. Tetapi untuk menghabiskan stok barangan ini, maka diisytiharkan potongan harga sehingga 70 peratus sedangkan ada barangan yang hampir tarikh luput.
Mungkin enam bulan sebelum tarikh luput diberi diskaun sehingga 70 peratus. Dengan cara ini pasaraya-pasaraya sudah mengaut keuntungan.
Jadi, kempen ini bukanlah kaedah sebenar untuk menggalakkan peniaga menurunkan harga, sebaliknya ia ‘membantu’ memperkukuhkan lagi pasaraya-pasaraya besar ini. Sistem ini menjadikan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin.
Jadi saya tidak nampak cara melalui kempen ini merupakan langkah yang benar-benar jitu dan terancang. Golongan konglomerat inilah yang makin untung dan makin untung.
Adakah kempen ini hanya dilihat bermusim dan bukan jangka masa lama?
Saya juga melihat Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Hassan Malek tidak mempunyai idea. Jadi, sekarang ini beliau hendak gambarkan dia mempunyai idea dan bersungguh-sungguh. Kempen ini merupakan langkah sementara dan hanya bersifat publisiti. Ia bukanlah langkah untuk sesuatu yang agak revolusioner. Jika pasaraya menawarkan potongan harga atau diskaun, ia samalah dengan Jualan Mega sebelum ini. Adakah Jualan Mega ini membantu pengguna dan membantu ekonomi negara? Kempen penurunan harga ini hanyalah penerusan kepada Jualan Mega.
Bermakna kempen ini hanyalah kempen terpilih kerana kebanyakan pasaraya besar hanya berada di kawasan bandar?
Pasaraya besar ini hanyalah di kawasan bandar. Jadi diskaun harga itu juga hanya dinikmati pengguna-pengguna kawasan bandar. Saya menyeru kerajaan prihatin kepada nasib pengguna-pengguna di kawasan luar bandar. Untuk penurunan harga barangan ini sungguhpun kerajaan libatkan pakar ekonomi dari Bank Negara sekalipun, ia tidak akan selesaikan masalah.
Kita tidak mahu kerajaan bercakap tidak serupa bikin.
Tetapi kerajaan boleh libatkan ahli-ahli ekonomi rakyat, pemikir-pemikir rakyat dan pejuang-pejuang nasib rakyat bagi membantu menyelesaikan masalah ini. Begitu juga libatkan persatuan-persatuan pengguna dan dapatkan nasihat mengenai perkara ini. Sebagai contoh Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang dilihat paling efektif dan berkesan dalam memperjuangkan isu-isu pengguna.
Jika kempen seperti ini dilaksanakan, apakah perkara yang perlu diberi keutamaan?
Bagi saya kerajaan harus kempen ke arah ‘keselamatan makanan’, iaitu isu yang diperjuangkan golongan alternatif sekarang ini.
Kerajaan mesti pertingkatkan pengeluaran dan bekalan. Sebab itu saya kecewa dengan bajet yang disebut Perdana Menteri dahulu yang tidak menyebut langsung persoalan pertanian yang sustainable yang ada di negara kita ini. Ia termasuklah penanaman bahan-bahan makanan secara organik dan bebas daripada dikuasai syarikat-syarikat baja gergasi dunia.
Malaysia perlu belajar dari negara-negara seperti Cuba.
Sepatutnya Hassan Malek hantar wakil ke Cuba belajar mengenai perkara-perkara ini.
Ada negara-negara dunia ketiga yang diboikot Amerika tetapi boleh survive. Ini kerana ia melibatkan semua pihak untuk meningkatkan pengeluaran dan pendapatan negara. Begitu juga dengan Venezuela yang boleh dicontohi.
Negara seperti Venezuela ditekan oleh kuasa-kuasa besar. Tetapi Venezuela juga boleh survive kerana pemerintah ada komitmen hendak menyelamatkan rakyat dan pemerintah ikut serta membangunkan rakyat. Jika hanya duduk di bilik sejuk, sampai bila tidak akan selesai masalah yang dihadapi rakyat ini. ‘Keselamatan makanan’ ini boleh membawa kepada penurunan harga barang.
Bagaimanakah kaedah paling berkesan supaya penurunan harga barang ini dapat dilaksanakan?
Seperti yang saya nyatakan, kerajaan kena pergi ke negerinegeri kecil untuk belajar bagaimana sebuah kerajaan yang ditekan kuasa asing boleh menyediakan makanan yang cukup, makanan yang sihat dan dapat menghasilkan ubatubatan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir juga mengakui Cuba telah berjaya dalam bidang perubatan alternatif.
Sekali lagi saya menyeru menteri-menteri berkaitan supaya menukar mindset. Jangan hanya belajar dari Amerika, Korea dan Jepun sahaja.
Negara-negara kecil inilah yang mengutamakan rakyatnya.
Adakah kaedah atau tuntutan dalam Islam berkaitan perniagaan dan jualan ini dipraktikkan di negara ini?
Walaupun pada zaman Rasulullah dahulu tidaklah sofistikated seperti sekarang ini, Baginda melarang kaedah menyorok barangan dan jualan hendaklah barangan yang benarbenar genuine.
Jika sekarang ini peniaga mula mencampur makanan yang dijual itu dengan pelbagai bahan untuk lebih menguntungkan. Ertinya walaupun sedikit berkurangan timbangan pun dilarang dalam Islam.
Sejauh mana kerajaan boleh memantau taktik penipuan harga yang dilakukan peniaga?
Apa yang berlaku hari ini kita dapat lihat, ada barangan yang kononnya dikatakan diskaun tetapi sebenarnya adalah harga asal. Pengguna memang tertipu.
Kita boleh lihat harga asal yang diletakkan sebelum potongan itu kadang-kadang tidak munasabah. Pengguna sentiasa ditipu oleh konsep jualan murah ini.
Sebenarnya kerajaan mempunyai segala peralatan yang canggih dan amat mustahil kerajaan tidak boleh kesan penipuan peniaga kepada pengguna. Jika kerajaan boleh tangkap orang yang baru sahaja membuat persiapan untuk ke Syria, takkanlah kerajaan tidak boleh mengesan peniaga yang menipu. Jika kerajaan gagal melakukan tangkapan, ini kerana di belakang tauke-tauke besar ini adanya golongan VIP.
Selagi rasuah tidak ditangani, memang masalah ini tidak akan selesai. Betapa besarnya kuasa golongan ini yang wewenang mengawal semua ini. Golongangolongan korporat inilah yang merosakkan ekonomi negara.
Di pihak pengguna sendiri, apakah tindakan yang boleh dilakukan mereka supaya tidak terus terpedaya dengan kempen-kempen yang sebenarnya tidak memberi keuntungan kepada mereka?
Seruan ikhlas saya agar pengguna betul-betul berhatihati dan jangan mudah tertipu dengan kempen-kempen seperti kempen GST yang sedang giat dilaksanakan dengan momokan GST memberi faedah kepada rakyat dan membangun ekonomi negara.
Pengguna harus belanja sebijak mungkin dan jangan terpengaruh dengan jualan murah yang hanya untuk mengaburi mata mereka.
Pengguna juga harus membina networking sesama mereka.
Persatuan-persatuan penduduk juga boleh memainkan peranan dengan mengadakan wacana kepenggunaan. Rakyat juga patut menyokong mana-mana NGO yang membuat kempen berkaitan kepenggunaan.
Posted on Sunday, March 15 @ 07:50:13 MYT by paktam
No comments:
Post a Comment