PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh
menerima laporan interim mengenai kehilangan penerbangan Malaysia
Airlines MH370 dan khuatir terdapat 'permainan teknologi' berhubung
kehilangan pesawat tersebut.
Beliau berpendapat adalah sesuatu yang amat pelik pada zaman ini apabila
sebuah pesawat yang beratnya 230 tan boleh hilang sehingga tidak boleh
dijumpai.
"Saya masih tidak boleh terima segala laporan ini. Dalam zaman
komunikasi yang begitu baik, kita tidak tahu apa jadi. Sedangkan kita
boleh tengok rupa bentuk kawan kita yang duduk 12,000 batu dari sini.
"Tapi pesawat ini misteri, hilang semua. Tidak pernah jadi dalam sejarah
dunia. Saya khuatir ada permainan teknologi," katanya ketika diminta
mengulas mengenai laporan interim Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran
13 ICAO Malaysia mengenai pesawat MH370 yang dikeluarkan, pada Ahad.
Dr Mahathir ditemui selepas berakhir 'International Conference On The
New World Order: A Recipe For War or Peace' (Persidangan Antarabangsa
Mengenai Orde Baharu Dunia: Resipi untuk Peperangan atau Keamanan) di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini Isnin.
Beliau turut menyifatkan dakwaan bahawa juruterbang menenggelamkan pesawat berkenaan di Lautan Hindi sebagai tidak logik.
"Saya ingat ini agak pelik. Kalau dia nak bunuh diri, dia bunuh diri
tempat dia mulalah (terbang). Apa hendak bawa kapal terbang empat lima
jam cari tempat paling dalam (di Lautan Hindi)," jelas Dr Mahathir.
Pada Ahad, laporan interim yang disediakan Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia mengenai MH370, diumumkan.
Laporan itu, antara lain menyatakan pasukan berkenaan telah menemubual lebih 120 orang dan mengunjungi pelbagai badan berkaitan.
Antara yang ditemubual ialah petugas DCA, MAS, waris anak kapal, pengisi
minyak pesawat, penyaji makanan untuk penerbangan, pencuci pesawat,
pengendali dan operator kargo, penghantar barangan, pembekal dan
penerima konsain.
Penerbangan MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, hilang
daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke
Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac tahun lepas. - MStar/10/3/15.
No comments:
Post a Comment