اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Sunday, March 8, 2015

Resipi lama Umno hilangkan keyakinan menang PRU


  Oleh Nur Jazlan

Genap setahun sudah hari ini, misteri kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 anak kapal dan penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing masih belum dapat dirungkai mana-mana pihak atau teknologi termaju di dunia pada ketika ini.
Dengan terlalu banyak teori konspirasi berhubung kehilangan pesawat misteri itu, keluarga mangsa terus menuntut penjelasan daripada kerajaan Malaysia mengenai tragedi berkenaan, secara langsung membuktikan setiap “engagement” yang dilakukan sebelum ini gagal menyakinkan mereka.


Mengimbas kembali ke malam 8 Mac tahun lepas, kalaulah MH 370 ditinjau terlebih awal sewaktu beberapa jam ia berpatah balik dari Laut China Selatan oleh Jabatan Penerbangan Awam dan Tentera Udara maka mungkin tragedi ini boleh dielakkan dan tidak timbul isu ketidakyakinan kepada tindak tanduk kerajaan.


Apa yang berlaku seterusnya dengan ketiadaan “inquiry” dan tindakan tegas kepada mereka yang bertanggungjawab memburukkan lagi keyakinan rakyat kepada kerajaan Isu ketidakyakinan terhadap pemimpin dan pegawai tertinggi kerajaan ini sebenarnya, semakin melarat dan bertukar menjadi barah yang boleh menjadi bala kepada parti Umno dan Barisan Nasional (BN).

Lebih mengecewakan sindrom penafian yang berlaku di kalangan pemimpin pertengahan Umno di peringkat bahagian semuanya “goes well” dalam parti terus menyebabkan rakyat semakin meluat dan menyampah.
Bagi rakyat, Umno terlalu sombong dan bongkak dengan tidak mahu untuk berubah sebaliknya terus berpaut kepada krisis yang berlaku dalam pakatan pembangkang untuk menarik sokongan rakyat.
Seperti yang saya tulis dalam artikel sebelum ini bertajuk “Nasib Umno dan BN kini seperti pernah dialami kerajaan empayar Inca” di mana pemimpin kerajaan purba berkenaan dipuja seperti dewa…segala apa yang diperkatakan mereka dituruti rakyat.

Mengimbau semula kegagahan Umno suatu ketika dahulu, segalanya adalah berpusat kepada gerakan ahli akar umbi yang sentiasa kreatif dalam menjalankan gerak kerja untuk memenangi pilihan raya.
Sistem Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang diamalkan Umno Bahagian Pulai pimpinan saya sejak 11 tahun lalu dan terbukti kejayaannya dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini iaitu 2004 dan 2008 tetapi tidak berapa menjadi pada PRU 2013 dan ia membuktikan perlu ada strategi baru yang dilaksanakan bagi menghadapi PRU 14 nanti.

Namun, apa yang berlaku di peringkat Umno pusat pula adalah sesuatu yang amat berbeza apabila baru hendak dilaksanakan di semua peringkat Umno bahagian.
Selain itu, pada masa sama gerak kerja Wanita Umno yang menumpukan kepada Kumpulan 10 atau lebih dikenali sebagai K10 dengan mendekati masyarakat serta pengundi secara peribadi sudah kurang sesuai dilaksanakan dengan perubahan demografi sosiopolitik serta kecanggihan teknologi maklumat.

Masyarakat terutama sekali di kawasan bandar dan separuh bandar semakin terdedah dengan isu yang berlaku di peringkat nasional, negeri atau tempatan hingga mengakibatkan mereka tidak mahu lagi mendekati Umno dan BN yang sering dilihat, digambarkan dan diberikan persepsi sebagai parti yang korup dan mengamalkan penyelewengan kuasa.

Justeru, mereka tidak mahu lagi mendengar apa yang hendak diperkatakan ahli akar umbi Umno yang berhempas pula cuba menarik sokongan rakyat kepada parti tetapi terbeban dengan pelbagai isu serta masalah yang melanda pemimpin parti dan kerajaan di peringkat pusat.
Inilah keluhan dan kegusaran ahli akar umbi Umno dan BN untuk membawa rakyat menyokong parti dalam berhadapan dengan PRU14 dalam tempoh tiga tahun lagi kerana mereka tidak lagi mempunyai resipi istimewa untuk ditawarkan kepada rakyat.

Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan, Tun Abdullah Ahmad Badawi mendapat keputusan yang amat cemerlang dalam PRU 2004 tetapi momentum berkenaan gagal diteruskan dalam PRU 2008, dengan BN kehilangan majoriti dua per tiga.
Selepas itu bermulalah episod untuk mencari resipi istimewa bagi menarik semula sokongan rakyat dan calon terbaik Umno adalah timbalan presidennya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Namun Najib sedar beliau tidak boleh menggunakan resipi istimewa dengan bersandarkan kepada Umno dan BN semata-mata berikutan perubahan sokongan rakyat terhadap parti semakin terhakis.
Berbekalkan keyakinan daripada “punahsihat” yang mengelilingi Najib, beliau menggunakan jenama diri sendiri sebagai resipi istimewa bagi menarik sokongan rakyat tanpa menyedari ia adalah strategi yang boleh memakan tuannya sendiri.

Akhirnya, keputusan PRU 13 menceritakan segalanya apabila keputusan BN lebih teruk berbanding PRU 12 walaupun Umno mencatatkan peningkatan tetapi ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan kerana ternyata strategi menjual imej perdana menteri gagal menarik sokongan rakyat kepada BN secara keseluruhannya.

Kini Umno masih tercari-cari rentak dan resipi istimewa dalam menarik sokongan rakyat menjelang PRU 14 dan ramai mengakui pengalihan landasan perjuangan parti yang selama ini, sederhana beralih sedikit menjadi berhaluan kanan dengan menggunakan imej Melayu dan Islam dalam cuba menarik sokongan orang Melayu.
Saya pernah bertemu dengan seorang rakan dalam Umno yang juga seorang ketua Umno Bahagian yang berpendapat parti berada dalam keadaan lemah dan gagal mengatur strategi baru disebabkan tidak berupaya menggunakan pendekatan ilmiah.

Kegagalan ini adalah disebabkan ramai ahli-ahli parti terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah, kurang berpendidikan tinggi serta bergantung kepada parti untuk menambah pendapatan atau mendapat kesenangan.
Ia sekali gus menyebabkan perjuangan Umno pada ketika ini dilihat terlalu bersifat untuk masyarakat luar bandar dan golongan miskin hingga mengakibatkan masyarakat Melayu bandar dan separuh bandar yang terdiri daripada golongan atas serta menengah merasa terpinggir.

Kegagalan merencanakan strategi secara inklusif terhadap semua golongan masyarakat terus menghantui Umno pada waktu ini, walaupun pimpinannya berulang kali melaungkan supaya ahli dan pemimpinnya perlu memperjuangkan nasib semua golongan masyarakat dan kaum…ia ternyata hanya bersifat retorik.
Selain itu, semua ahli Umno juga seakan sudah lali dengan laungan pemimpin atasan Umno supaya parti sentiasa membuka peluang kepada golongan muda yang berpendidikan untuk menyertainya dan menjadi pemimpin.

Hakikatnya, ia amat sukar berlaku dalam kepimpinan Umno termasuk di peringkat cawangan sendiri apabila pemimpinnya yang sudah memasuki usia warga emas terus bergayut untuk memegang kuasa dan bayangan sama juga dilihat dalam barisan Kabinet kerajaan sendiri.
Sebenarnya, mahu tidak mahu Umno secara keseluruhan perlu mengakui kegagalan mengadun resipi istimewa adalah disebabkan kegagalan untuk melahirkan pemimpin berilmiah yang mampu membawa politik matang serta moden dalam parti termasuk dalam media sosial.
Anak muda kini yang akan menjadi majoriti pengundi PRU 14 nanti amat mementingkan keadilan sosial dan tidak mahu melihat wang kerajaan dibazirkan dengan amalan rasuah serta penyelewengan kuasa.

Jika dilihat pada pakatan pembangkang, walaupun mereka dilihat seakan berpecah tetapi disebabkan berpegang pada matlamat sama untuk menyakinkan rakyat bahawa kerajaan yang wajar memerintah adalah parti selain daripada Umno dan BN, perpecahan dilihat amat mustahil akan berlaku.
Keupayaan pemimpin atasan Umno dan BN untuk melaksanakan perubahan secara “hard reset” dengan padam dan mula semula juga amat mustahil berlaku kerana sudah pasti menjejaskan banyak pihak berkepentingan yang pasti memberontak sekali gus memendekkan usia Umno untuk berkuasa.
Sebenarnya, dapat dilihat terdapat gelombang di kalangan rakyat yang mahu sistem dua parti berlaku di Malaysia dan gerakan ini akan terus berkembang membuatkan peluang Umno dan BN untuk terus berkuasa dalam jangka masa panjang semakin sulit.

Dalam keadaan retorik agama dan perkauman yang digunakan Umno pada waktu ini, ia sebenarnya akan berjaya mengekalkan kuasa tetapi tidak akan memberi sebarang makna terhadap perpaduan di kalangan rakyat.
Ia memandangkan negara akan terbelah dengan wujudnya jurang luas di kalangan etnik, agama dan ekonomi selain berlaku jurang antara Malaysia dengan dunia antarabangsa yang mampu menjejaskan imej negara sendiri.
Dan ini bukannya strategi atau resipi istimewa memakmurkan negara seperti yang diasaskan pejuang kemerdekaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama termasuk Allahyarham Tun Razak Hussein sendiri yang membina semula Malaysia selepas kemusnahan yang berlaku akibat tragedi Mei 1969.

Ambil saja contoh kerajaan Inca pada tahun-tahun akhir kemusnahan empayar itu, pemimpinnya mengorbankan nilai baik dalam empayar itu yang terkenal dengan ekonomi yang kukuh serta kejuruteraan tinggi, menggunakan kezaliman untuk menakluki utara Ecuador.
Akhirnya disebabkan kerakusan pemimpin empayar itu sendiri yang mengorbankan nilai baik kerajaan selama ini, mereka kecundang hanya dengan 200 penjelajah Sepanyol kerana terlalu taksub dengan adat istiadat, kepercayaan agama dan bermewah-mewahan.

Pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan tidak akan membiarkan pengikut atau negara yang dipimpinnya tenggelam bersama sekiranya berhadapan dengan masalah sebaliknya perlu berjiwa besar untuk mencari resipi istimewa termasuk melepaskan jawatan bagi menarik semula sokongan rakyat.

Tetapi pemimpin yang mementingkan diri dan puak sendiri dan bukan keikhlasan berkhidmat untuk negara akan berjaya mengaibkan rakyat untuk berkuasa tambah seketika lagi tapi padahnya akan dirasai negara untuk jangka masa panjang sehingga timbul pemimpin baru yang ikhlas menjalankan tugas untuk agama, bangsa dan negara yang mampu melaksanakan “hard reset” untuk kepentingan negara seperti yang dilakukan Tun Razak selepas Mei 1969 dulu.

 Posted on Sunday, March 08 @ 12:07:16 MYT by paktam

No comments:

Post a Comment