H FANSURI
PENYAIR
Seberang Takir, Terengganu, T Alias Taib pernah menurunkan catatan
berhubung perasaan sugul seorang penukang keranda yang mata pencariannya
sangat bergantung kepada kematian orang-orang di sekelilingnya. Cerita
kematian orang akan disambut sang penukang keranda ini dengan senyum
melebar.
Entah
cerita kecil ini, hanya muncul dalam mimpinya sahaja, atau ia sebuah
kisah rekaan yang terpencil atau boleh jadi ia diangkat daripada sebuah
peristiwa benar. Kita sendiri tiada mengetahuinya.
Tiada
orang yang ingin mengambil peduli ke atas kesan jiwa seorang penyair
yang menyokong Pakatan Rakyat pada akhirakhir hidupnya selepas Reformasi
1998.
Di dalam
buku kumpulan puisinya; Opera (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988) segala
plot dan gumpalan isi cerita itu menari-nari di medan fikiran beliau
seperti di bawah:-
TUKANG KERANDA
“Mudah-mudahan ada di antara kamu
akan segera mati”
Si tua berambut perak tak putus-putus
berdoa pada lalu-lalang yang
mengombak di
kaki lima kedainya. Ada yang sempat
menangkap
gelombang doa itu, berhenti sejenak,
sambil memerhatikan susunan keranda
yang menyeramkan.
yang lain, tak mempedulikannya dan
berjalan terus meninggalkannya.
“mudah-mudahan ada di antara kamu
yang akan segera mati.”
Sehabis berdoa, si rambut perak kembali
mengasah baki papan yang belum
berketam.
“kematian mengharukanku,
memendekkan usia dan
meninggalkan pedih pada keluarga si
mati.
sebaliknya kematian juga akan
memanjangkan
usia dan membawa bahagia ke tengah
keluargaku.” katanya
Sehabis berkata, ketam tiba-tiba terlucut
dari genggaman. Ia terguling dengan mata
yang mengerikan. di udara tergantung
sepi
siling meneteskan sedu pertama. petang
ini,
salah sebuah keranda-kerandanya akan
mengiringinya, sekaligus menemaninya,
dalam
perjalanan terakhir yang jauh. ia tak
akan
pulang lagi untuk berdoa. doanya
telah berjawab.
Tamat
pengucapan T Alias Taib. Mungkin ada banyak sajak yang berkisar
persoalan moral sebegini. Iaitu sajak mengenai sikap manusia yang
gembira atas derita orang lain. Hal ini sungguh menjelekkan. Derita
insan sepatutnya diringankan dengan kata rangsangan yang membolehkan
orang yang berduka lara menjadi tenang semula dalam menyambung kehidupan
yang geloranya bersulam pancaroba.
Arakian,
sejurus pemergian Ahli Parlimen Bukit Gelugor pada 17 April lalu, maka
berpusu-pusu orang mengirimkan takziah. Tapi ada juga yang menghamparkan
kata-kata dahsyat yang menyiat-nyiat ke jiwa ahli keluarganya.
Sesetengah orang berkata, “Perginya seorang penentang hudud yang paling
tegar...”
Daripada
satu sudut, kita boleh memahami kenapakah ada yang bersikap demikian.
Tetapi yang membuat kita boleh pening, kepala berputar, pengsan lantas
boleh jadi terkoma adalah ucapan dalam kalangan Umno yang turut
diapungkan dalam nada yang sama juga, “Demikianlah balasan Tuhan ke atas
penentang hudud...” “Orang-orang Umno yang kecam Karpal sebagai
penentang hudud ni, mereka ni sokong hudud sangat ke?” seorang teman
bertanya. Sebenarnya, Umno berasa lega dengan pemergian seorang pemimpin
pembangkang di negara ini yang sudah banyak memberikan tekanan dan
musibah yang paling dahsyat dalam sejarah gelap mereka.
Tetapi,
kecaman ke atas ahli parlimen Bukit Gelugor itu mestilah dinyatakan
dalam bentuk keagamaan guna memikat hati orang-orang sekali gus memberi
warna putih jernih terhadap rasional kecaman itu. Sama ada orang bukan
Islam di negara ini menentang hudud atau tidak, maka perkara itu sudah
boleh diterima oleh kalangan Melayu Muslim sendiri.
Mutakhir ini, kita menyaksikan kehadiran orang-orang bukan Islam yang tiada masalah lagi dengan hukum hudud itu.
Maka,
bukannya hudud yang dipentingkan Umno, tetapi soal bagaimana mahu
mengecam Dap sebagai musuh mereka agar tiada kelihatan kecaman itu
sebagai kecaman yang tiada munasabah. Maka, sekali lagi, agama
dipolitikkan untuk memberi makna baik ke atas kecaman terhadap seteru
politik mereka itu.
Di dada
ahli-ahli Umno terselit keriangan dengan pemergian musuh mereka, dan
dalam masa yang sama, wajah-wajah para pemimpin Umno itu dipura-purakan,
dihias dandan dengan kesedihan yang dibuat-buat seperti biasa.
Ketika inilah, umat boleh mengukur sejauh mana pegangan dan kefahaman Islam manusia Umno hari ini.
Keislaman
Umno tiada berdiri di atas asas Islam yang ditegakkan oleh baginda
Rasulullah s.a.w. Keislaman Umno itu, walaupun mereka berqasidah burdah,
berselawat di Putrajaya dan ber’yahanana’, tapi akhlak dan perilaku
mereka membatalkan segala amalan dan usaha baik mereka selama ini dengan
sebab pengkhianatan, perasaan hasad dan kedengkian yang lama terkurung
dan dipertaruhkan ke dalam jiwa mereka.
Di dalam
sabda nabi, ada disebutkan betapa perasaan hasad dengki itu boleh
membakar amalan baik seperti mana api boleh membakar hangus sepotong
kayu sehingga rentunglah kayu amalan tersebut.
Amalan
baik Umno akan hangus walau mereka melakukan kebaikan, kerana tetap ada
rasa hasad dengki untuk menjahanamkan musuh-musuh politik mereka dengan
katakata (rohani) dan fizikal (jasmani).
Diriwayatkan
dalam satu hadis oleh al-Bukhari dan Muslim, “Sesungguhnya, telah
berlalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk
menghormati). Lalu diberitahukan hal itu kepada baginda: “Itu jenazah
seorang Yahudi”. Lalu, baginda pun bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa
(insan)?” Memang Yahudi paling banyak menentang nabi. Ketika hampir
wafat, baginda tersiksa oleh racun yang diberikan Yahudi. Baginda turut
disihirkan Yahudi.
Tepatlah
firman Tuhan dalam Surah al- Maidah ayat 82, “Sesungguhnya kamu dapati
mereka yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman
adalah Yahudi dan musyrik...”
PAS
menunjukkan sikap yang hampir dengan keperibadian Nabi s.a.w dengan
tiada berhenti mendakwahkan rakan partinya hingga ke hujung nyawa mereka
walau wujud perbezaan pendapat sesama mereka. Walau berbeza pandangan,
tapi seperti nabi yang diancam musuhnya, baginda tetaplah menghormati
satu jiwa walau musuhnya meninggal dunia.
Kenapakah
Umno bergembira atas kematian orang lain seperti penukang keranda yang
dilukis kisahnya oleh penyair T Alias Taib itu? Jawabnya, keislaman Umno
bukanlah keislaman yang diwakili nabi s.a.w seperti yang kerap disebut
baginda dalam setiap hadisnya dengan kata, “...laisa minna (bukan dalam
kalangan kami)...” Jelasnya, Umno adalah muslim, tetapi Umno bukanlah
muslim dalam kelompok yang direstui oleh baginda Rasulullah s.a.w
apabila mereka bergembira di atas derita dan kesusahan orang lain
seperti tukang pembuat keranda dalam sajak penyair dari Seberang Takir
itu.
No comments:
Post a Comment