اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Sunday, April 27, 2014

MENGAPA AKTA PERHIMPUNAN AMAN(PAA) TIDAK MENGIKUT PERLEMBAGAAN !!!

 




Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada dakwaan tidak memberi notis mengadakan perhimpunan aman di bawah Akta Perhimpunan Aman. 

Majlis Peguam Malaysia memuji tindakan tiga hakim Mahkamah Rayuan yang menulis penghakiman secara berasingan dalam mengisytiharkan peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) sebagai tidak mengikut perlembagaan, semalam.

Presidennya, Christopher Leong, berkata adalah penting, terutama dalam isu perlembagaan, setiap ahli panel memberikan pendapat masing-masing sepenuhnya terhadap isu berkenaan dan mempunyai penjelasan sendiri berhubung alasan kepada keputusannya.

“Kami menunggu untuk membaca teks penuh penghakiman bertulis mereka,” kata Leong dalam satu kenyataan.
Keputusan penting dan bersejarah yang dibuat hakim, Datuk Mohd Arif Mohd Yusof, Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer itu akan siap secara bertulis pada Isnin.

Ketiga-tiga hakim berkenaan adalah peguam sebelum dilantik menyertai panel hakim.

Ahli persatuan peguam turut memuji langkah yang diambil tiga hakim mahkamah rayuan itu untuk menyampaikan penghakiman secara berasingan.

Robert Lazar berkata, penghakiman yang berasingan menunjukkan perkembangan undang-undang yang meletakkan keutamaan kepada kepentingan awam.

“Dalam kes ini, mereka mendapat kesimpulan yang sama tetapi nampaknya mengambil pendekatan berbeza. Persatuan peguam teruja untuk tahu prinsip perundangan yang akan diperkenalkan,” katanya.

Lazar berkata, adalah perkara biasa bagi kehakiman yang lebih matang seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia untuk hakim menulis penghakiman secara individu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo Chin Hock, berkata mengetahui hakim sudah mencapai keputusan adalah sama penting dengan keputusan itu sendiri.

“Amalan yang baik seperti itu patut digalakkan supaya kita dapat tahu apa yang ada di fikiran hakim,” katanya.

Secara lazimnya, amalan yang dilakukan hakim persekutuan dan rayuan ialah menyampaikan satu penghakiman bertulis jika keputusan mereka sebulat suara. Hanya jika ada hakim yang tidak bersetuju dalam kes itu, penghakiman bertulis akan dibuat oleh hakim yang menentang.

Dalam satu kes pada 1988 membabitkan Lim Kit Siang, yang pada ketika itu adalah ketua pembangkang Parlimen, mencabar rancangan kerajaan untuk menganugerahkan Lebuhraya Utara-Selatan bernilai RM3.4 bilion kepada UEM, syarikat yang dikaitkan dengan Umno.

Hakim Mahkamah Agung pada ketika itu menulis asas penghakiman berasingan dalam keputusan 3-2 yang berpihak kepada kerajaan. Panel hakim membubarkan injunksi interim terdahulu yang Lim perolehi daripada Mahkamah Tinggi dengan asas beliau hanya suka menjaga tepi kain orang dan tidak mempunyai lokus standi dalam perkara itu.

Semalam, ketika membebaskan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap tuduhan tidak memberi notis 10 hari untuk mengadakan rapat umum, hakim mahkamah rayuan mengakui hak asas rakyat untuk berhimpun secara aman.

Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak memberikan notis 10 hari untuk mengadakan himpunan Blackout di stadium Kelana Jaya, tahun lalu, selepas pilihan raya umum berlangsung.

Pada November lalu, Nik Nazmi gagal mendapatkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membatalkan pertuduhan terhadapnya atas alasan seksyen 9 (1) dan 9 (5) PAA adalah tidak mengikut perlembagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari berkata, dua klausa PAA yang menjadi dasar untuk caj Nik Nazmi ini, munasabah dan tidak melanggar Perkara 10 Perlembagaan atas alasan keselamatan negara.

Nik Nazmi menghadapi risiko didenda sehingga RM10, 000 jika sabit kesalahan, berhadapan kemungkinan hilang kelayakan daripada jawatan awam yang dipegangnya.

Hakim mahkamah rayuan berkata semalam, adalah ironi untuk mengisytiharkan perhimpunan aman sebagai haram kerana ia tidak dinyatakan dalam PAA.

Leong berkata, Majlis Peguam setuju Seksyen 9(5) dalam PAA adalah tidak mengikut perlembagaan apabila ia dijadikan kesalahan atas kegagalan memberi notis 10 hari kepada polis sebelum mengadakan perjumpaan itu.

“Kita juga bersetuju Seksyen 9(1) PAA mengikut perlembagaan kerana ia memerlukan penganjur himpunan itu memberi notis 10 hari kepada polis,” katanya.

Leong berkata, Majlis Peguam sentiasa berpegang kepada Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk mengadakan perhimpunan aman.

“Hak itu amat perlu dimasukkan dalam hak untuk membantah, sama ada di tempat yang ditetapkan atau ketika berarak.

“Proviso dalam Artikel 10(2)(b) tidak boleh diguna pakai untuk menewaskan hak dasar berkenaan,” katanya.

Leong berkata, proviso itu hanya membenarkan pihak berkuasa mengenakan sekatan mengikut keperluan atau wajar demi keselamatan negara.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan mengambil tindakan untuk membantu perhimpunan aman itu berlangsung dan dengan berbuat demikian, mengenakan sekatan diperlukan untuk menangani isu ketenteraman awam tertentu.

Leong berkata, perhimpunan yang ganas atau berniat untuk menjadi gaas tidak layak diadakan kerana hak yang dijamin mengikut Artikel 10 (1) ialah perhimpunan secara aman.

“Seksyen 9(1) PAA mengenai tempoh notis 10 hari sepatutnya dibaca untuk memberi pencerahan mengenai peruntukan perlembagaan supaya polis diberi masa yang mencukupi bagi mempertimbang, merancang dan melaksanakan tindakan membantu perhimpunan aman berlangsung,” katanya.

Katanya, perlembagaan, PAA dan Mahkamah Rayuan tidak mengiktiraf perhimpunan tidak aman sebagai hak dan tindakan boleh diambil mengikut Kanun Keseksaan.

Sumber : pkrl.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment