Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mengambil kesempatan pertemuan
dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama untuk mendedahkan
kepincangan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai punca ekstremis
agama dan kaum berleluasa di Malaysia.
Maria yang turut aktif dalam gerakan hak asasi manusia di Malaysia
berkata, slogan demokratik dan kesederhanaan yang dilaungkan oleh Najib
hanya topeng semata-mata.
"Saya ambil peluang ini untuk menegaskan Malaysia
bukan sebuah negara demokratik dan tidak sederhana, saya beritahu beliau
(Obama)," kata Maria kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur malam
tadi.
"Kami berbincang dalam tempoh 50 minit... perbincangan berkenaan
undang-undang dan akta tekanan, termasuk tahanan tanpa bicara seperti
Akta Hasutan.”
Dalam pertemuan itu, Maria juga sempat berkongsi dengan Obama bagaimana
pentadbiran Najib bermain politik agama selepas gagal mendapatkan
sokongan majoriti rakyat Malaysia.
"Kerajaan sedia ada ini adalah sebuah kerajaan minoriti, dan kerana
tidak mendapat sokongan kerajaan, terpaksa membina asas berdasarkan
agama Islam hingga menyebabkan ekstremisme agama berlaku," kata beliau.
Maria juga menerangkan mengenai kemelut dalam isu kalimah Allah, serbuan
dan serangan ke atas gereja dan mengenai usaha Najib menyokong
pelaksanaan hukum hudud.
"Jika tiada perubahan yang tulen sekarang, ia pasti akan membawa kepada
perpecahan dalam negara kerana isu agama dan kaum," katanya.
"Dalam isu ini, kerajaan mesti menghentikannya jika mereka mengiktiraf
masyarakat yang pelbagai kaum, tetapi mereka tidak lakukannya."
Selain politik agama, Maria juga mendedahkan penemuan Tribunal Rakyat
yang dijalankan oleh Bersih 2.0 di mana banyak berlaku kepincangan dalam
Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
"Kami juga bawa isu tentang senarai pemilih, penipuan, rasuah, kempen
berbentuk ugutan yang membantu kerajaan minoriti mengekalkan kuasa,"
katanya.
Selain Maria, antara yang berpeluang bertemu Obama di Hotel Ritz
Carlton, Kuala Lumpur semalam adalah Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia Malaysia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam, peguam dan aktivis hak
asasi manusia Datuk Ambiga Sreenevasan, Presiden Majlis Peguam Malaysia
Christopher Leong dan ahli majlis Honey Tan, Pengerusi dan Pengarah
Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa, Pengarah Eksekutif
Sisters In Islam (SIS) Ratna Osman dan wakil Majlis Gereja-Gereja
Malaysia (CCM), Rev Dr Herman Shastri.
"Isu rampasan Injil berbahasa Melayu juga diberi perhatian dan saya
bangkitkan mengenai jurang sempit yang dihadapi penganut agama Kristian
di sini, di mana kami sering terperangkap dalam tekanan antara majoriti
lawan minoriti," kata Dr Herman.
Selain itu, isu-isu seperti pendakwaan berat sebelah oleh Putrajaya
serta pelaksanaan undang-undang baru yang bertentangan dengan hak asasi
manusia juga dibincangkan.
"Kami juga bangkitkan mengenai penggunaan Akta Hasutan sebagai alat
dakwaan bermotifkan politik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga
aktivis sosial.
"Pengerusi Majlis Peguam, Christopher Leong menjelaskan secara
terperinci mengenai penggunaan akta yang menindas dalam negeri serta
pengenalan akta baru yang membawa perbicaraan tanpa bicara atau Akta
Pencegahan Jenayah (PCA)," kata Maria.
Malah, semasa perbincangan itu, pihak Suhakam juga memberitahu Obama
mengenai kuasa terhad yang diberikan kepada mereka, kata Maria lagi.
Lebih mengecewakan lagi, Maria berkata Najib juga tidak mempunyai
keberanian dan mengambil inisiatif untuk bertemu dengan kumpulan sivil,
walhal Obama sanggup meluangkan masa hampir sejam berbincang dengan
mereka.
"Kami juga beritahu Obama, Perdana Menteri tidak pernah berjumpa dengan kami.
"Tapi beliau ambil masa hampir sejam untuk bertemu dengan kami, malah menjemput kami," kata beliau.
Obama tiba di Malaysia pada Sabtu dalam siri lawatan tiga harinya serta mengadakan mesyuarat dua hala dengan Malaysia.
"Kami juga menerangkan berkenaan situasi hak asasi di Malaysia, dan
meminta AS tidak lagi menggelar Malaysia sebagai negara demokratik dan
negara sederhana, kerana ia memberi kesan kepada tugas hak asasi
manusia," kata Maria.
"Kita memerlukan transformasi demokratik.”
Maria berkata, Obama mempunyai tahap diplomasi yang tinggi dan akan
mengambil tindakan lanjut terhadap segala isu yang dibangkitkan mereka.
Hari ini, Obama akan berlepas ke Filipina sebagai destinasi terakhir lawatannya ke Asia sebelum pulang ke AS. ~tmi
No comments:
Post a Comment