Pilihanraya kecil Teluk Intan yang menyaksikan DAP mencalonkan Dyana
Sofya, anak seorang bekas pemimpin serta masih ahli UMNO membuatkan
parti itu bagaikan terkena renjatan letrik.
Ramai pemimpinnya terkejut, melatah, cuba menunjuk pandai dan tidak
kurang ada yang cuba berlagak "macho" seperti seorang lelaki budiman
yang dahagakan perhatian.
Ada pemimpin muda yang pantas cuba menyelar calon DAP itu sebagai tidak
mengenang budi UMNO dan ada pula yang memintanya mendesak MCA yang
memiliki Universiti Tunku Abdul Rahman agar turut mengamalkan dasar
terbuka.
Hanya setelah diselar oleh orangramai bahawa UiTM adalah milik kerajaan
dan bukannya milik UMNO dan dasar kerajaan pula mahu rakyat berilmu dan
berpendidikan tanpa mengira parti mana yang mahu dipilih sebagai
landasan perjuangan apabila tamat pengajian, pemimpin UMNO terbabit
sekarang ini sudah hilang tanpa berani bersuara lagi.
Seorang timbalan menteri yang mengaitkan MCA pula, apabila diselar
kembali oleh Presiden MCA sambil diberiksn fakta bahawa UTAR adalah
universiti yang terbuka kepada semua kaum tetapi mengambil kira soal
merit dan kecemerlangan akademik, turut terdiam entah ke mana sekarang
ini.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga menyentuh pencalonan Dyana
yang mendapat liputan meluas media dengan meminta pengundi menilai
bahawa pilihanraya kecil ini bukanlah pertandingan ratu cantik dan
pengalaman sepatutnya lebih diambil kira.
Bagaimanapun apabila beliau juga dilibas balik bahawa beliau juga
dulunya tiada pengalaman dan markahnya lebih dinilai berdasarkan
kedudukannya sebagai menantu Pak Lah yang menjadi Perdana Menteri ketika
itu serta pemilihan Dyana sebagai calon adalah proses memberinya
pengalaman, KJ juga nampaknya tidak berani berhujah lagi.
Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil juga memberi reaksi yang mengaitkan
pemilihan Dyana hanya sebagai boneka DAP dan untuk menarik sokongan
pengundi Melayu semata-mata, malangnya apabila isu lembu NFC dan
kegagalan Wanita UMNO sendiri menonjolkan ramai wanita muda sebagai
calonnya dijadikan peluru menembak balas, beliau nyata semakin
menyerlahkan kegagalannya.
Lebih dari itu, ramai yang meminta Ketua Wanita UMNO itu agar kurang
bercakap dah lebih baik berehat saja di Kuala Lumpur bagi mengelakkan
keceluparannya membuatkan calon BN lebih ditimpa malang.Abdul Rahman
Dahlan, menteri dari Sabah pula cuba bersikap "macho" dengan menulis di
twtternya yang menggambarkan pemilihan Dyana sebagai calon DAP yang
mewakili golongan muda haruslah diraikan.
Selain ramai pemimpin UMNO lain yang turut mengulas pemilihan Dyana
sebagai calon dan kedudukannya sebagai anak orang UMNO, bekas Perdana
Menteri, Mahathir Mohamad juga tidak ketinggalan mahu memberi respon
sama.
Sambil menyatakan pemilihannya sebagai hiasan luaran, Mahathir juga
menyalahkan kecondongan Dyana memilih DAP sebagai wadah perjuangan
kerana kegagalan ibu bapa memberitahu tentang sejarah, perjuangan dan
jasa-jasa UMNO kepada anak-anak mereka.
Namun demikian, ibu Dyana iaitu Yammy Samat segera menyindir Mahathir
dengan mengatakan beliau sebenarnya mahu anaknya menjadi seperti Mukhriz
tetapi apakan daya kerana akhirnya memilih untuk menjadi seperti Marina
Mahathir.
Dalam masa yang sama, hari ini Marina yang sering kelihatan berbeza
pendirian dengan bapanya, turut memuji Dyana sebagai calon yang sangat
bijak, boleh berfikir, petah berkata-kata serta boleh menulis dan
kelebihannya ini menurutnya lebih baik daripada kebanyakan ahli politik
yang lain.
Hanya Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang belum mengulas
mengenai Dyana ini. Mungkin selepas kembali daripada luar negara dan
tidak lagi dibelenggu kesibukan nanti, Najib juga turut terghairah mahu
bercakap mengenai Dyana dan Teluk Intan.
Kesimpulan daripada semua reaksi pemimpin UMNO itu ialah mereka semua
terkejut dan akhirnya melatah dengan kehadiran Dyana sebagai calon DAP.
Bukan saja kedudukannya sebagai wanita muda dan cantik menjadi
perhatian, malah latar belakang ibunya sebagai bekas pemimpin dan masih
ahli UMNO turut menjadi perdebatan.
Ketika penamaan calon dan berkempen di mana kehadiran Yammy yang
sentiasa menenami anaknya menjadi persoalan sehingga timbul desakan agar
beliau dipecat daripada UMNO, suasana kempen juga sehingga hari ini
masih lagi berkisar mengenai peribadi Dyana dan ibunya.
Serangan berbentuk peribadi jelas lebih kerap kedengaran sehingga
jentera BN terlihat seolah-olah lupa untuk menyerang dasar dan ideologi
DAP dan menonjolkan calon mereka sendiri, Mah Siew Keong.
Walaupun ada desakan daripada Veteran UMNO dan juga Mubarak agar ibu
Dyana dipecat daripada UMNO tetapi TPM, Muhyiddin Yassin nampaknya masih
lagi rasional dengan mengatakan perkara itu tidak menjadi pertimbangan
kerana sebagai ibu adalah menjadi hak Yammy untuk menemami anaknya yang
masih bujang itu.
KJ pula cuba bersikap budiman dengan menyokong pendirian Muhyiddin itu
dan mengatakan isu memecat ibu Dyana bukan menjadi keutamaan kepada UMNO
ketika ini.Soalnya benarkah Yammy tidak akan dipecat?
Bagaimana selepas pilihanraya Teluk Intan berakhir nanti, lebih-lebih
lagi jika calon BN tewas?Jika mengikut perlembagaan UMNO, memang tiada
peruntukan khusus untuk mengambil tindakan kepada seorang ibu yang
menemani anaknya yang menjadi calon parti lawan.
Yang ada berkaitan tanggungjawab dan hak ahli hanyalah fasal 6.1.4 iaitu
"menjalankan kerja-kerja parti dan mematuhi tata etika,
perintah-perintah dan disiplin parti" serta fasal 6.1.5 yang berbunyi
"menyokong calon-calon parti yang bertanding dalam pilihanraya".
Jelas bahawa peruntukan dalam perlembagaan ini agak longgar dan boleh
dipertikaikan. Walaupun veteran UMNO bertegas bahawa Yammy melanggar
perlembagaan parti manakala Mubarak pula mengatakan Yammy hanya boleh
berdoa untuk anaknya tetapi tidak boleh menonjolkan dirinya secara
terbuka tetapi memandangkan Dyana masih muda dan bujang lagi, keperluan
ibunya disisi tidak boleh diremehkan dari segi kemanusiaan dan budi
bicara.
Selain faktor kemanusiaan dan tidak mahu bersikap kejam yang mungkin
memburukkan lagi peluang BN memenangi pilihanraya kecil ini, kelonggaran
dalam perlembagaan UMNO sendiri barangkali menjadi pertimbangan
Muhyiddin.
Walaupun ahli UMNO dimestikan menyokong calon parti dalam pilihanraya,
apakah sekadar menjadi peneman anak yang masih bujang dan dalam
tangungjawab ibu bapa boleh dikategorikan sebagai melanggar
perlembagaan?
Oleh kerana kes seumpama ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan
pemimpin UMNO juga tidak terfikir ada anak orang UMNO bakal menjadi
calon parti lawan kerana merasakan UMNO itu bagaikan agama yang mesti
dianuti oleh semua anak dan keluarga ahli serta pemimpinnya, maka itu
sebabnya barangkali tiada pengkhususan dalam perlembagaan UMNO itu.
Tetapi dengan peredaran masa dan generasi muda makin terbuka serta
pelbagai seleranya, keadaan ini tidak mustahil menjadi tambah meluas.
Jika sebelum ini hanya adik-beradik Shahrir Samad dan Khalid Samad serta
pasangan suami isteri di Sabah yang berbeza parti menjadi perhatian,
kini nyata berlaku perbezaan parti antara ibu dan anak serta ibu menjadi
peneman anaknya pula.
Di masa akan datang, bukan saja berbeza anutan parti ini menjadi biasa
dalam keluarga, bahkan mungkin dalam keluarga pemimpin UMNO pun tiada
yang sekata lagi. Dalam masa yang sama, penglibatan ibu, bapa, suami
atau isteri, adik-beradik dan sebagainya dalam menyokong ahli keluarga
yang berbeza parti yang bertanding dalam pilihanraya turut bukan lagi
sesuatu yang luar biasa.
Adakah ini akan mendorong UMNO untuk meminda perlembagaannya dan memberi
tafsiran yang lebih khusus mengenai tanggungjawab dan hak seseorang
ahlinya?Walaupun Muhyiddin turut kelihatan budiman dan ada budi bicara
yang tinggi dalam hal ini tetapi kekalahan calon BN di Teluk Intan nanti
boleh saja membuatkannya berubah nada.
Sementara kedudukan ibu Dyana bakal jadi perhitungan sebaik pilihanraya
kecil ini berakhir, UMNO juga dipercayai akan bergerak selangkah lagi
dengan memberi tafsiran semula yang lebih detail dan terperinci dalam
perlembagaan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh
ahli-ahlinya.Dyana Sofya dan Yammy benar-benar memberikan kejutan kepada
UMNO. ~shahbudin
No comments:
Post a Comment