Kertas Putih mengenai peristiwa Memali yang dibentangkan oleh kerajaan
di Parlimen penuh pembohongan, dakwa salah seorang saksi kejadian itu,
Datuk Muhamad Yusuf Husin.
Muhamad Yusuf mendakwa kerajaan meminta saksi-saksi kejadian Memali
supaya mengaku bahawa Ibrahim Mahmod atau lebih dikenali sebagai Ibrahim
Libya sebagai pengganas.Bekas orang kanan Ibrahim Libya turut mendakwa
dalam Kertas Putih itu, beliau juga dituduh oleh kerajaan sebagai Ketua
Mujahidin dan timbalan ketua gerakan revolusi.
"Seramai 161 saksi diminta membuat kenyataan menggambarkan bahawa Ustaz
Ibrahim Libya adalah seorang pengganas, mengajar ajaran sesat dan ingin
menjatuhkan kerajaan secara revolusi bersenjata," katanya dalam satu
forum di Kampung Memali pada Jumaat.
Forum khas itu bertajuk 'Tragedi Memali: Pembetulan fakta sejarah
menolak pembohongan kertas putih Kerajaan Malaysia'.Ia diadakan sempena
program Himpunan Keadilan Untukmu Memali anjuran PAS Pusat.
Muhamad Yusuf juga mendakwa punca sebenar peristiwa Memali berlaku
adalah kerana ketegasan Ibrahim Libya yang menentang Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA).Katanya Ibrahim menyifatkan ISA sebagai akta zalim
dan bercanggah dengan perinsip keadilan Islam.
"Dia pernah kata, dia tak redha ditangkap di bawah ISA. Dia sanggup
serah jasad tanpa nyawa," katanya.Muhamad Yusuf juga mendakwa ketika
kejadian itu tidak lebih dari 40 orang berada di kawasan rumah Ibrahim
Libya dan bukan seperti jumlah yang dilaporkan di dalam kertas putih
itu.
Seorang lagi saksi, Aisyah Ahmad menafikan dakwaan rumah Ibrahim Libya
menjadi tempat menyimpan senjata untuk tujuan revolusi.Aisyah mendakwa
terdapat maklumat bahawa pihak polis bertindak mengumpul parang dari
seluruh rumah di kampung itu selepas kejadian itu berlaku, dan bukan
parang yang terdapat di rumah Ibrahim.
Beliau juga menafikan terdapat lebih 100 orang di rumah Ibrahim Libya
ketika hari kejadian dengan bersenjata parang."Orang kampung, bila
dengar lembu kena langgar, penuh orang keluar tengok.
"Ini pula orang nak ambik tok guru kita, tentu la kita datang nak
tengok, bagaimana mereka nak ambik."Mereka ini ada kerja menebas, jadi
mereka datang dari tempat kerja sambil pegang parang" katanya.Forum yang
berlangsung di Madrasah Islahiah Memali dihadiri lebih 1000 hadirin.
~awani
No comments:
Post a Comment