(Oleh Amirul Azhan)
IPOH
20 APRIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mendedahkan
barangan apa sebenarnya yang dibawa dalam kargo MH370 dan cuba
disembunyikan daripada pengetahuan umum, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata, banyak persoalan berhubung misteri
kehilangan pesawat berkenaan belum dijawab Kerajaan Malaysia termasuk
penjelasan mengenai kandungan kargo.
“Setiap kapal terbang yang berlepas mesti ada ‘cargo manifest’, maknanya
keterangan barangan yang dibawa dan semuanya direkodkan, (tapi) yang
ada (dalam MH370) hanyalah empat tan manggis dan bateri (lithium ion).
“Sampai sudah Kerajaan Malaysia dan MAS belum bagi maklumat dan masih
lagi berahsia. Kenapa takut sangat? Benda apa yang nak dicuri? Apa
sebenarnya barang yang nak dibawa ke China? Najib tolong beritahu,” kata
Anwar, di hadapan 4,000 hadirin pada ceramah Jelajah Reformasi 2.0 di
Wisma KEADILAN, Bandar Ipoh Raya, Jumaat lalu.
Sehingga kini tiada laporan bahawa kerajaan menyerahkan butiran mengenai
kandungan kargo itu kepada Kerajaan Australia seperti diminta.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada 18 Mac menafikan
MH370 membawa barangan berbahaya, sebaliknya menyatakan hanya terdapat
tiga hingga empat tan manggis dalam pesawat itu. Namun, empat hari
selepas itu beliau mengesahkan pesawat itu membawa muatan bateri lithium
ion dan juga platform kayu untuk muatan kargonya.
Anwar selanjutnya, mempersoal kelemahan ketara yang cuba ditutup
kerajaan iaitu keupayaan sistem radar milik negara mengesan MH370.
Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, radar Malaysia sepatutnya
mampu mengesan MH370 kerana kerajaan membeli sistem radar daripada
Marconi untuk kawasan utara Malaysia.
“Radar Marconi dipasang di Pangkalan Udara (PU) Gong Kedak dibeli dengan
kos RM1.2 bilion adalah canggih. Lalu lintas pesawat pelbagai saiz
semua boleh nampak dan pesawat negara boleh memintas untuk tindakan
segera jika ada pesawat misteri yang dikesan melalui ruang udara.
Macamana radar boleh tak nampak? Kenapa rahsiakan maklumat ini dan tidak
disampai kepada rakyat?
“Radar ada, tentera udara ada, Menteri Pertahanan pun ada, kalau kapal
terbang tanpa kebenaran masuk dan lalu semua negeri dan jika dibom
Komtar dan datang ke Ipoh macamana? Tentunya keselamatan kita tak boleh
dijamin oleh Menteri Pertahanan, sebab itulah Hishammuddin (Hussein)
mesti letak jawatan,” tegas Anwar.
Turut dibangkitkan Anwar termasuk mengenai kehadiran dua penumpang warga
Iran yang menggunakan pasport curi semasa menaiki penerbangan itu.
“Bagaimana pasport curi dari Itali boleh dipakai oleh orang Iran dan
bolos masuk Imigresen sedangkan kita ada sistem canggih dan hal ini
terlebih dahulu diberitahu oleh Interpol sekiranya ada berlaku kecurian
pasport,” kata Anwar.
Tegasnya, tiga persoalan penting ini yang masih belum dijawab,
menguatkan dakwaan bahawa kerajaan Umno BN cuba menyembunyikan maklumat
kehilangan MH370.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=60871
No comments:
Post a Comment